Thursday, April 17, 2008

Pesta Buku

Aku dah malas nak menulis atau bercakap pasal politik. Bukannya apa. Sejak PRU ke-12, demam politik masih tak kebah-kebah. Di mana-mana orang masih sibuk berbicara tentang situasi pasca PRU ke-12. Bagi aku, sejarah telah tercipta. Kita hanya boleh maju ke hadapan. Yang di hadapan sekarang ialah bagaimana Pakatan Rakyat akan 'deliver' janji-janji yang terkandung dalam manifesto pilihanraya lepas. Yang pastinya, harapan dan perasaan rakyat Malaysia masih bercampur-baur. Terutamanya orang-orang Melayu yang sangat sensitif dengan kedudukan mereka sebagai masyarakat pribumi yang dijamin dari sudut keistimewaan-keistimewaan tertentu. Di Kedah dan Kelantan, sudah tentu tiada masalah. Tapi di Pulau Pinang, Selangor dan Perak, masih ramai yang meragui kerajaan negeri yang terbentuk daripada majoriti ADUN yang bukan Melayu/Islam. Tak mengapa. Bukankah masih terlalu awal untuk menilai prestasi negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat. Jika ditakdirkan mereka gagal membela isu-isu yang berkaitan dengan rakyat atau yang berkaitan dengan umat Islam, solusinya sangat mudah. Pangkah sahaja parti lain pada PRU ke-13!

Baiklah, kita tutup sahaja perbincangan tentang politik. Aku nak menulis tentang buku dan pesta buku. Tempoh hari, aku singgah ke PWTC untuk 'memburu' buku-buku yang menarik pada perhatianku. Buat pertama kali dalam hidup aku, aku kini mempunyai pendapatan tetap dan berkemampuan untuk membeli mana-mana buku tanpa perlu berkira-kira tentang ongkosnya. Suasa di PWTC memang sangat meriah. Semua pengunjung terpaksa berjalan perlahan kerana keadaan dewan begitu sesak.

Inilah buku-buku yang sempat aku beli di PWTC.


  1. Dalam Ribuan Mimpi Gelisah oleh Said Zahari
  2. Studies in Hadith Methadology and Literature by M.M Al-A'zami
  3. Malay Nationalism Before UMNO : Memoir of Mustapha Hussain
  4. Memoir Shamsiah Fakeh: Dari AMS ke Rejimen ke-10
  5. May 13 by Kua Kia Soong
  6. Ibn Khaldun:His Life and Works by M. Abdullah Enan
  7. Ibn Khaldun's Philosophy of History by Muhsin Mahdi
  8. Ke Mana Nasionalisme Melayu? by Rustam A. Sani
  9. Social Roots of Malay Left by Rustam A. Sani
  10. The Unromatic Orient by Muhammad Asad
  11. The Reluctant Politician: Tun Dr Ismail and His Time by Ooi Kee Beng




Aku sememangnya tidak tahu bilakah aku berpeluang membaca kesemua judul yang aku beli. Azam aku pada tahun ini ialah untuk menghabiskan bacaan buku-buku ini sebelum 2008 melabuhkan tirai. Entah kesampaian atau tidak, hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui. Buku-buku yang aku beli di London tempoh hari pun, masih belum terusik. Namun, hujung minggu lepas aku tak dapat menahan daripada membaca 2 buku yang kubeli. Pertamanya, buku yang ditulis oleh Said Zahari, pemimpin Barisan Sosialis di Singapura yang ditahan selama 17 tahun di bawah regim Lee Kuan Yew. Yang kedua ialah Memoir Mustapha Hussein yang berjudul Malay Nationalisme Before UMNO.

Aku harus mengakui yang aku sangat terpaku dengan buku yang kedua ini. Kenapa? Satu-satunya sebab ialah kerana buku ini menceritakan tentang 'the unsung heroes of Malaya'. Mustapha Hussein ialah Timbalan Presiden KMM atau Kesatuan Melayu Muda. KMM adalah gerakan nasionalis terawal yang bangkit bagi menuntut kemerdekaan Tanah Melayu. Orang No. 2 Ibrahim Yaakob ini menulis catatan hidup yang sangat bernilai kerana memberi perspektif berlainan dalam sejarah Tanah Melayu.

Selama ini banyak generasi muda menganggap bahawa UMNO ialah parti yang berjuang untuk kemerdekaan sedangkan anggapan itu tidak benar.KMM ditubuhkan lebih awal daripada UMNO iaitu pada 1938. Malahan setelah seruan kemerdekaan dilaungkan oleh pemimpin-pemimpin Melayu haluan kiri, UMNO masih dengan slogan 'Hidup Melayu!'. Perjuangan UMNO pada permulaannya hanya terarah pada penentangan terhadap Malay Union dan masalah kepentingan Melayu.Umpamanya soal penyertaan bangsa Melayu dalam Malay Civil Service. Antara tokoh-tokoh yang merupakan pengasas dan ahli KMM ialah Ishak Haji Muhammad (Pak Sako), Ahmad Boestamam, Dr Burhanuddin Helmi, Hassan Haji Manan dan lain-lain.

Mustapha turut menulis peranan beliau yang berkhidmat untuk menyelamatkan nyawa, maruah dan kehormatan orang-orang Melayu semasa pendudukan Jepun. Ramai yang tidak mengetahui bahawa sebelum kedatangan Jepun, pemimpin KMM seperti Ibrahim Yaakob mempunyai pakatan rahsia dengan Jepun. Pakatan ini ialah untuk menjadikan KMM sebagai 'The Fifth Column'. Dalam erti kata lain, KMM dijadikan sebagai alat untuk Jepun menakluk Tanah Melayu dari tangan British. Bahkan Mustapha menukilkan bagaimana Ibrahim menerima ganjaran yang cukup lumayan dari Fujiwara Kikan, unit intelligensia Jepun untuk bekerjasama menakluk Tanah Melayu dari dalam.

Ahli-ahli KMM lain seperti Mustapha langsung tidak menyedari perjanjian rahsia antara Ibrahim Yaakob dan Jepun. Sebelum perang meletus, British dapat menghidu perkara tersebut dan menangkap ahli-ahli KMM di seluruh Malaya dan Singapura. Apabila Jepun mara dari utara Tanah Melayu, Mustapha diheret sama ke selatan dalam proses penaklukan Jepun dan pengepungan Singapura. Semasa periode inilah, jasa Mustapha sangat bermakna. Beliau meyelamatkan banyak 'kepala' daripada dipancung pedang samurai Jepun. Antara yang pernah diselamatkan oleh Mustapha ialah Dr Abbas Hj Alias, bekas Yang Dipertua PAS yang ketika itu berkhidmat sebagai Malay Regiment Volunteer di Singapura.


"My advance with Fujiwara Kikan from Taiping to Singapore was purely destiny; they came to invite me at my family home in Matang because Ibrahim (Yaakob) has colluded with them before the invasion. Completely unaware of the secret pact, I thank God for giving me the presence of mind to seize the advantage to help civilians, women, soldiers and their families. I went through bitter and harrowing experiences throughout the move. What had I not seen? But who knows how my heart, soul and mind suffered?Who knows how, for tens of years afterwards, many of these experiences lived within me. All that I saw- the horror, the gruesome spectacles, the blood- cannot be wiped clean from my mind. Somewhere in me, the past resides forever."

" My co-operation with the Japanese was not a sincere gesture to promote their interests. I was out to assist and save ill-fated victims of war. I hated all form of colonisation, Japanese or British but I fostered good relations with Japanese to ensure my activities to help my own people would go unnoticed under their noses." pg 240-241


Mustapha turut menuntut Jepun supaya memberikan kemerdekaan mutlak kepada Tanah Melayu. Malangnya idea ini tidak disukai oleh Jepun. Saat itu, barulah Mustapha sedar yang sikap penjajah adalah sama. Masing-masing tidak akan semudah itu untuk memberikan kemerdekaan.

Meskipun begitu, kekalahan demi kekalahan yang dialami Jepun menyebabkan Jepun mula membenarkan idea kemerdekaan Tanah Melayu. Ini diikuti dengan kongres KRIS dan proklamasi kemerdekaan Tanah Melayu yang dirancang pada 17 Ogos 1945. Malang sekali bagi KMM, Jepun menyerah kalah pada 15 ogos 1945. Ini bermakna tarikh tersebut hanya 48 jam daripada tarikh kemerdekaan yang diberikan oleh Jepun. Kekalahan Jepun bermakna ahli-ahli KMM akan terdedah kepada 3 ancaman. British, MPAJA dan Bintang Tiga. Ibrahim Yaakob angkat kaki dan melarikan diri ke Indonesia dengan 2 guni wang dan ketulan-ketulan emas yang disogokkan oleh Jepun. Ini meninggalkan hanya Mustapha keseorangan untuk membela nasib ahli-ahli KMM yang lain. Berbeza dengan Ibrahim Yaakob yang akhirnya hidup senang di Indonesia dan membuka Bank Pertiwi, Mustapha di Tanah Melayu pula ditangkap 2 kali oleh British dan merengkok dalam penjara Batu Gajah. Di mana-mana beliau dilabel sebagai 'tali barut' dan baruah Jepun. Namun, tiada sesiapa yang mampu menyangkal bahawa kalau bukan kerana Mustapha, banyak nyawa akan melayang. Setelah tidak dibenarkan berkhidmat lagi sebagai pensyarah pertanian, Mustapha menghadapi masa-masa yang sukar dalam hidupnya. Beliau bukan sahaja pernah bertani malahan pernah menjaja di stesen keretapi untuk meneruskan kehidupan. Ramai yang tidak mengetahui setelah Datuk Onn Jaafar keluar dari UMNO, Mustapha pernah dicalonkan untuk menjadi Presiden UMNO. Bagaimanapun, beliau kalah dengan Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj dengan 1 undi sahaja.

Tokoh seperti Mustapha adalah tokoh yang sering dilupakan. Banyak wira yang berjuang tapi hanya sedikit yang diberi ruang. Dibandingkan dengan Tunku, jasa beliau tidak kurang hebat. Sayang sekali, nama beliau tidak disebut pun dalam mana-mana buku teks sejarah. Kalau nak tahu perspektif kemerdekaan yang berbeza, aku cadangkan supaya kita menonton filem pendek oleh Fahmi Reza ini, '10 Tahun Sebelum Merdeka'