Wednesday, October 15, 2008

Arifnya Orang Dulu-Dulu



Siapa bercakap kasar langgar,
malangnya banyak celakanya besar
Siapa berkara kasar langgar, budinya
rendah imannya longgar

Tanda orang tidak berbudi,bercakap
suka tinggi meninggi
Tanda orang berhati keji, bual
selangit cakap meninggi

Tanda orang buruk pekerti, bercakap
selalu membuang budi
Tanda orang tak berharga diri,
bercakap dengan membuang budi

Sunday, October 05, 2008

Krisis Sub-Prima Merupakan Kejayaan Kapitalisme


Article by Wan Saiful Wan Jan from Malaysia Think Tank, London


Mereka yang berhaluan Kiri dan golongan sosialis mungkin beraya besar tahun ini. Apa tidaknya. Amerika Syarikat sedang menghadapi ancaman krisis ekonomi yang hebat. Amerika Syarikat yang dianggap sebagai lambang kemegahan kapitalisme kini berada diambang keruntuhan ekonomi. Maka tidak pelik jika ramai yang terpengaruh dengan tuduhan golongan Kiri dan puak sosialis bahawa ini juga lambang keruntuhan kapitalisme.

Mereka sebenarnya tersilap.

Sosialisme merupakan satu fahaman yang membawa kepada campurtangan kerajaan dalam pelbagai hal termasuklah dalam urusan ekonomi. Golongan sosialis dan mereka yang berhaluan Kiri beranggapan bahawa tidak salah untuk kerajaan menubuhkan dan menjalankan syarikat perniagaan, ataupun menjadikan syarikat korporat sebagai hak milik negara. Mereka tidak teragak-agak untuk menggunakan wang rakyat untuk menyelamatkan (bail-out) syarikat-syarikat tertentu. Mereka menafikan keberkesanan sistem pasaran dalam menghukum dan membuang syarikat yang melakukan kesalahan.


Baca Seterusnya

Friday, October 03, 2008

Masjid Malaysia Masjid Dublin Masjid Turki

Di hadapan Dublin Mosque

Ada banyak perbezaan antara puasa di Dublin dan di KL. Sejak pulang ke Malaysia tahun lepas, perbezaan ini semakin dapat dirasai. Ada kalanya aku agak merindui suasana puasa di South Circular Road, Dublin. Di sana, tarawikhnya cuma 8 rakaat. Tapi bacaan pada qiamnya agak panjang. Imam tarawikh akan menghabiskan satu juzuk atau lebih dalam 8 rakaat tersebut. Usai 4 rakaat, jemaah akan berehat seketika dan mendengar tazkirah yang disampaikan oleh Shaykh-Shaykh jemputan, biasanya dari negara Mesir. Bagaimanapun, kebanyakan student Malaysia (termasuklah aku) yang keluar sebentar dari masjid menuju ke 218 South Circular Road, rumah sahabat yang terletak betul-betul bertentangan masjid. Kebanyakan mahasiswa di sana tidak begitu faham tazkirah yang disampaikan dalam bahasa Arab. Kesudahannya, kami ke 218 dan berbual-bual sambil minum kopi bagi menunggu rakaat seterusnya(Ini bukan budaya yang baik untuk dicontohi)!

Di Taman Tun Dr Ismail, solat tarawikh 20 rakaat tetapi bacaannya sedikit pendek. Beberapa tahun lalu sudah menjadi tradisi untuk membaca satu juzuk bagi 20 rakaat yang disempurnakan setiap malam. Malangnya sejak tahun lepas, 'sistem' ini sudah diubah. Mungkin kerana 'complaints' dari jemaah-jemaah yang keletihan dan tidak larat untuk mengerjakan tarawikh yang panjang bacaannya satu juz. Masjid ini juga terkenal dengan hidangan moreh yang mewah. Sumbangan derma Ramadan untuk masjid ini begitu luar biasa. Lebih 100 000 ringgit didermakan untuk program Ihya Ramadan. Lebih 60% daripada sumbangan ini hangus untuk catering moreh dan berbuka puasa. Kadang kala aku memikirkan belanja sebegini agak keterlaluan. Majoriti jemaah di sini bukanlah orang susah atau golongan bawahan. Apa perlunya dijamu manusia yang memang sudah mampu untuk makan dan golongan kelas menengah? Aku mengharapkan pada masa akan datang satu mekanisme untuk perbelanjaan masjid akan dilaksanakan. Seeloknya, derma yang begitu besar ini dibelanjakan untuk golongan faqir miskin dan tidak berkemampuan, bukan untuk dijamu perut yang memang sudah sentiasa kenyang! Bagaimanapun, mudah-mudahan Allah SWT akan menerima derma ikhlas daripada jemaah-jemaah di sini.

Mengenangkan Dublin, aku sangat-sangat merindui bacaan Imam Abdul Aziz, imam kedua Dublin Mosque yang berasal dari Algeria. Beliau mempunyai suara yang sangat merdu. Qiraat Qalun yang dibacanya sangat lancar dan tidak ada seorang jemaah pun yang tidak tersentuh dengan bacaan beliau. Satu juz al-Quran dirasakan begitu pantas dihabiskan. Pada sepuluh malam yang terakhir, acara qiam begitu meriah. Sesetengah komuniti Arab dan Pakistan di sana akan mengambil cuti daripada bekerja dan duduk diam terus di masjid. Mereka memasang khemah umpama kelambu-kelambu besar di dalam ruang solat masjid untuk beriktikaf sepanjang hari dan malam bagi memburu lailatul qadr. Saban malam, solat tahajjud/witr akan didirikan secara berjemaah. Kali ini Imam Yahya dan Imam Abdul Aziz akan bergilir mengimami solat dan menghabiskan seluruh al-Quran dalam masa sepuluh malam terakhir tersebut. Jadi secara puratanya, mereka akan membaca 3 juz setiap malam ketika qiamulail.

Di Malaysia, budayanya agak berbeza. Memang ada tradisi qiam sepanjang sepuluh malam terakhir tetapi tidaklah begitu meriah. Tidak seperti orang-orang Arab yang lebih memahami keuntungan memburu lailatul qadr, masjid-masjid di KL semakin lengang bila tiba penghujung Ramadan. Mungkin kerana ramai yang pulang ke kampung. Namun, di masjid Taman Tun, it is not too bad. Ramai juga yang memburu malam al-qadr sepanjang sepuluh malam terakhir. Qiam pun ada, tapi tidaklah seperti di Dublin Mosque. Selepas bulan puasa, masjid-masjid akan lengang terus. Agak membimbangkan jika dibandingkan antara Malaysia dan negara-negara Eropah dan Timur Tengah. Di Malaysia, aku memerhatikan majoriti golongan yang berjemaah adalah golongan dewasa dan sudah berumur. Di Ireland, masjid dipenuhi oleh golongan remaja dan kanak-kanak. Begitu juga di negara-negara Arab yang aku lawati termasuk Mesir, Syria dan Jordan. Majoriti yang hadir ke masjid adalah golongan muda.Ini menunjukkan kesedaran yang tinggi oleh golongan remaja di sana untuk mendirikan solat jemaah. Di Malaysia, kalau tidak kerana ramai golongan yang sudah pencen, masjid-masjid kita mungkin akan dipenuhi oleh jin-jin Islam yang bersolat!

Aku rasa satu approach baru harus dibuat oleh masjid-masjid di Malaysia. Aku faham bahawa masjid di negara ini tidaklah begitu menarik untuk dikunjungi oleh golongan muda. Lebih buruk lagi kalau masjid-masjid ini dijadikan kuda tunggangan oleh parti-parti politik untuk mendominasi mimbar-mimbarnya. Pengurusan masjid dikuasai oleh golongan yang jarang kelihatan untuk solat berjemaah. Perebutan kuasa dalam kariah masjid adalah demi kepentingan peribadi. Hasilnya, program-program yang dijalankan tidak berkesan dan kurang appeal pada generasi muda. Attitude golongan pencen juga sangat mengecewakan. Bila ada generasi muda yang hadir ke masjid, mereka tidak bertegur sapa atau mengendahkan mereka. Secara jujurnya, sepanjang aku bersolat di masjid di KL ini, aku boleh membilang dengan jari berapa kalikah aku disapa oleh pakcik-pakcik yang berjemaah di sini. Majoritinya tidak 'ambil pot' tentang golongan muda dan tidak mesra dengan remaja yang datang berjemaah.

Solat Jumaat di Masjid Fatih, Istanbul

Aku teringat pengalaman bersolat di sebuah masjid tidak jauh dari Masjid Fatih di Istanbul, Turki. Aku keseorangan berkelana. Kesejukan dalm kedinginan musim sejuk di Istanbul. Masjid yang terkenal sebagai pusat aktiviti tariqat Naqshabandi ini dipenuhi oleh jemaah yang berserban dan berjubah panjang. Setiap kali selesai solat, meraka akan mencampak tasbih-tasbih dari saf hadapan untuk digunakan oleh jemaah yang berada di belakang. Seterusnya mereka akan berzikir secara berjemaah. Yang paling istimewa ialah adab orang Turki bila berdepan dengan musafir atau tetamu. Bila melihat orang asing seperti aku, mereka akan berkerumun sambil bertanyakan identiti aku, ke manakah destinasi yang aku tujui dan apakah keperluan-keperluan aku yang boleh mereka bantu. Tidak kurang juga yang mengajak ke rumah untuk makan! Dan pengalaman sebegini bukanlah terjadi hanya sekali. Bukan hanya di masjid di Istanbul semata-mata. Sepanjang permusafiran aku di Timur Tengah dan Turki, acapkali aku dilayani dengan sebegitu rupa. Di Dublin juga begitu. Meskipun banyak puak yang berbeza mazhab, ideologi dan kerakyatan, hubungan sesama jemaah sangat baik dan mesra. Banyak taaruf dan perkenalan bermula di masjid dan akhirnya berakhir dengan persahabatan akrab. Kondisi sebegini ialah tuntutan sunnah yang sebenarnya. Bukankah masjid adalah nukleus dan powerhouse Islam? Silaturrahim yang dipupuk di masjid yang membawa perpaduan serta solidariti Islam.

Mengingatkan pengalaman sebegini, aku semakin benci dan meluat dengan jemaah masjid di KL terutamanya di Taman Tun ini (Astaghfirullah!). Mungkin kata-kata aku sedikit keterlaluan namun kenyataan begini sangat berasas. Seperti yang aku sebutkan, jemaah di sini agak tenggelam dengan sifat individualistik. Golongan berada seperti mereka tidak 'ambil pot' apa yang berlaku dan siapa yang datang ke masjid. Mungkin ada memakai serban besar, berjubah panjang, dan berjanggut panjang tapi malangnya budaya meraikan mereka yang ke masjid sangat kurang. Selagi kita menganggap masjid kita sebagai zon eksklusif dan masih membawa gelaran (Dato'/Tan Sri/Datin/Puan Sri) ke masjid, selagi itulah target untuk melihat golongan muda ke masjid tidak kesampaian.


Thursday, October 02, 2008

Raya II

Di Malaysia, sambutan raya dah jadi terlalu komersial. Aku rasa ramai sekali umat Islam yang tak reti apa maksud, hakikat dan realiti sambutan Eid ini. Majoriti orang kita hanya melihat sambutan hari raya cumalah sambutan 'kemerdekaan' daripada puasa Ramadan selama sebulan. Sebab itu, pembaziran dan hiburan begitu 'excessive' pada musim perayaan sebegini. Bila raya mesti ada baju raya, kuih raya, ketupat raya, rendang raya, langsir raya dan sebagainya. Sudah pasti bila unsur materialism menyelinap masuk dalam falsafah sambutan perayaan sebegini, pandangan kita sudah menjadi begitu kacau. Hari mulia yang sepatutnya dipenuhi dengan laungan takbir, tahmid sudah tepu dengna program-program hiburan yang melampau. Zaman aku kanak-kanak dulu, raya sentiasa meriah dengan kunjungan-kunjungan mesra terhadap ahli-ahli keluarga. Sekarang budak-budak termasuk bapak-bapak budak lebih selesa melongo di hadapan tv.

Apapun, raya kali ini dibayangi dengan keresahan rakyat. Resah terhadap inflasi yang melepasi 8%, kenaikan harga minyak, krisis ekonomi di US yang bakal melarat ke Asia, isu kerajaan 'lompat' Pakatan Rakyat yang masih menjadi misteri , penangkapan beberapa individu di bawah ISA dan macam-macam lagi. Secara jujur pada 16 September lalu aku sangat mengharapkan pertukaran kerajaan akan jadi realiti. Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Raya di KL tahun ini agak membosankan. Memandangkan aku bercuti panjang, banyak masa dihabiskan untuk melayari internet. Tiba-tiba terjumpa klip dari Youtube yang menarik tentang calon Naib Presiden Amerika Syarikat. Patutlah dunia ini hura-hara. Calon-calon sebegini yang jadi pemimpin Ode Baru Dunia. Lantaklah.....