Sunday, April 23, 2006

ADAB & TA’DIB

ADAB & TA’DIB: MASALAH DALAMAN KAUM MUSLIMIN DAN
BEBERAPA ISU PENDIDIKAN ISLAM

Oleh: Mohd. Sani Badron

A. PENGENALAN

1. Keadaan umat Islam 200 tahun terakhir ini sangat-sangat buruk: kemelut ilmu; kegawatan iman; dan penghinaan oleh Penjajah Barat yang memperhambakan dan memecahbelahkan umat melalui 'senjata' pemikiran sekular seperti konsep-konsep kenegaraan, politik, pendidikan dan ilmu.

2. Ilmuwan dari aliran Islam berjasa menyedarkan umat supaya jangan bertempiaran sebaliknya percaya kepada kebolehan diri sendiri dan Islam, ada optimisme. Walau bagaimanapun, ramai yang tersilap besar dengan mengkritik para ilmuwan agung Islam silam dan tradisi pemikiran mereka.


3. Keadaan buruk ini — dan kesilapan besar dalam menyelesaikannya – dinamakan oleh Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas sebagai dilema: keadaan yang amat sukar dan sulit, lagi genting dan membingungkan.

4. Menurut beliau, punca kepada dilema tersebut datang dari 2 jurusan: luaran dan dalaman. Punca luarannya adalah PERTEMBUNGAN BERSEJARAH OLEH BARAT dalam agama (penciptaan Kristian pada awal Zaman Pertengahan), ketenteraan (Peperangan Salib, Reconquista, dll pada akhir Zaman Pertengahan) dan ilmu (zaman moden dan pasca-moden).


B. KEKELIRUAN ILMU, KERUNTUHAN ADAB, KEPEMIMPINAN PALSU

1. Ramai terkeliru mengenai masalah sebenar umat dan punca-puncanya. Ada yang menyalahkan madhhab-madhhab Islam sebagai membekukan kreativiti dan pemikiran umat. Ada pula yang menyalahkan Tasauf dan tarikat sebagai sebab kemerosotan umat Islam.

2. Ramai juga yang menganggap penyelewengan pemerintahan politik (dan kepimpinan yang selainnya) sebagai masalah terbesar. Ia cuba diatasi dengan merebut kuasa politik dalam masyarakat dan negara. Bagaimanapun, menurut Prof. al-Attas, penyelewengan kepemimpinan, sungguhpun benar, hanyalah masalah yang bersifat luaran yang sebenarnya membayangkan punca-punca masalah yang lebih dalam lagi mengakar.

3. Menurut Prof. al-Attas, punca dalaman kegentingan umat kini adalah KERUNTUHAN ADAB (loss of discipline).

4. Silap faham makna ADAB yang dibataskan kepada sopan-santun kepada orang-orang atau etiquette jamuan santapan sahaja.

5. Makna sebenar ADAB: right action, "perlakuan yang tepat," "perilaku yang betul," "pengamalan yang benar," "perbuatan yang baik" dalam sebarang keadaan – pemaduan antara ilmu dan amal, pengetahuan dan perbuatan, teori dan praktis, pengenalan dan pengakuan.

6. Contoh-contoh ADAB (untuk satu gambaran menyeluruh):

i. kepada diri sendiri: diri kehaiwanan berserah untuk dikawal oleh diri akliah
ii. kepada sesama manusia: keluarga dan anggota keluarga: ibu-bapa dan orang-orang tua; guru, kawan-kawan, masyarakat, pemimpin
iii. kepada bahasa: perkataan; ayat, rangkap kata, prosa, puisi - persuratan
iv. kepada alam tabii dan persekitarannya: pokok dan batu, gunung dan bukit, sungai, lembah dan tasik, haiwan dan habitatnya
v. kepada tempat kediaman dan alat perabotnya: alat perkakasan dan hiasan
vi. kepada warna, rupabentuk dan bunyi: seni lukis dan seni bunyi-bunyian
vii. kepada ilmu: pembahagian ilmu, ilmu aqli diseimbangkan dengan ilmu naqli, ilmu fardu 'ayn diseimbangkan dengan ilmu fardu kifayah

dan seterusnya...

7. Krisis alam sekitar; pencemaran udara, air, sungai dan lembah; penggondolan hutan belantara dan bukit-bukau; kepupusan spesies tumbuh-tumbuhan dan haiwan; bangunan-bangunan tanpa jatidiri Islam; kecelaruan jalan raya dan tempat tinggal; kegawatan bahasa, kesusasteraan dan kemelut seni; masalah-masalah besar rumahtangga; dan, ketidakbahagiaan diri – kesemuanya membayangkan KERUNTUHAN ADAB. Justeru itu juga aib umat Islam—yang sepatutnya menjadi umat terbaik (khayr ummah, ummah wasat)—yang telah sekian lama dipermalukan dan mendapat tamparan hebat dalam setiap urusan antarabangsa.

8. Adab membayangkan adanya KEADILAN (iaitu MENEMPATKAN SESUATU PADA TEMPATNYA YANG SEBENAR); keruntuhan adab membayangkan keruntuhan keadilan; keruntuhan keadilan pula membayangkan KEKELIRUAN ILMU-ILMU KEISLAMAN.

9. [1] KEKELIRUAN ILMU dan [2] KERUNTUHAN ADAB menyebabkan para pemimpin yang hakiki tidak lagi dikenal, diakui dan diiktiraf. Ini menjelmakan [3] PEMIMPIN YANG TIDAK MEMPUNYAI KELAYAKAN dari segi akhlak, akal dan rohaniah. Pemimpin-pemimpin sebegini—untuk mengekalkan kuasa mereka—akan meneruskan kekeliruan ilmu dalam masyarakat, keruntuhan adab dan penghasilan pimpinan pelapis sepertinya. Ketiga-tiga punca itu saling berkaitan dan berturutan (vicious circle): satu lingkaran yang rumit lagi tiada hujung pangkalnya.

10. Walaubagaimanapun, antara ketiga-tiganya, sebab yang utama adalah KEKELIRUAN ILMU. Untuk mengatasinya dan memutuskan vicious circle tersebut, pertama sekali harus diselesaikan masalah KERUNTUHAN ADAB terhadap ilmu-ilmu lslam, ilmuwan-ilmuwannya dan institusi-institusinya seperti madhhab-madhhab yang berkewibawaan.

11. Contoh al-Qur'an al-Karim – Sumber Ilmu; tetapi hanya boleh disentuh secara beradab, iaitu setelah bersuci daripada hadas.

12. Adab terhadap ilmu-ilmu keislaman:-

i. menghormati keagungannya, bersikap tawaduk dan rendah diri;
ii. tidak bersikap melulu, menganggapnya sembarangan, terbuka kepada semua orang, tanpa mengira niat, kemampuan dan kelengkapan akliah, rohaniah dan akhlak;
iii. mengenal dan mengakui kewibawaan ilmiah para ilmuwan dengan martabat dan darjatnya masing-masing sejajar dengan ilmu, kebijaksanaan (hikmah) dan kecemerlangan mutu pengabdian terhadap Tuhan (ihsan), berpuncak pada Rasulullah s.a.w.: iaitu dengan bersikap tawaduk, hormat, merendah diri, kasih, ikhlas dan insaf menerima pentafsiran dan penjelasan ilmu mereka.


C. MASALAH PENYAMARATAAN TARAF KEWIBAWAAN ILMU

1. Antara ciri keruntuhan adab terhadap ilmu keislaman: menyamaratakan taraf semua orang: sesiapa sahaja sama-sama boleh memberikan pandangan yang melibatkan ilmu, termasuk yang tiada atau kurang berkewibawaan.

2. Kritikan dan gugatan ilmuwan moden—tanpa benar-benar menguasai—terhadap tradisi (madhhab) dan para ilmuwan silam, seperti al-Shafi’i, al-Ash'ari, al-Ghazali; malahan terhadap ajaran-ajaran Tasauf dan para awliya'nya.

3. Sebenarnya, walaupun semua manusia sama sejenis, darjat mereka berbeza-beza. Kemuliaan di sisi Allah sejajar dengan ketaqwaan masing-masing: daya akalnya, kecemerlangan mutu pengabdian dirinya kepada Allah dan pengalaman rohaniahnya.

4. Kiasan: lilin-lilin yang diperbuat daripada lemak yg sama, kesemuanya mengeluarkan api. Tetapi, masing-masingnya berbeza panjang pendek, besar atau kecil, berbeza-beza warna dan rupa; bahkan berlainan kebesaran nyala dan cahayanya, yang merupakan ukuran penilaiannya masing-masing.

5. Teladan: Kisah Nabi Adam. Malaikat melihat ruhnya, lalu sujud kepadanya --> bukan menyembahnya, bahkan taat kepada Allah. Iblis hanya melihat lempung (tanah liat), lalu enggan sujud --> kufurkan Allah.

6. Aplikasi faham martabat dan darjat kepada mereka yang berkewibawaan ilmu:-

i. para Anbia dan Mursalin yang dimohori oleh Rasulullah s.a.w.
ii. para awliya' Allah
iii. para mujtahid dan ilmuwan yang agung
dan seterusnya…

[Walau bagaimanapun, lslam menafikan sistem darjat palsu rekaan manusia seperti Brahmanisme; kepaderian; atau bangsa pilihan (Yahudi, Nazisme)]

7. Antara akibat daripada penyamarataan autoriti, di mana semua orang boleh memberikan pendapat berkenaan ilmu:-

i. al-Qur'an disamakan dengan buku-buku lain: boleh ditafsirkan sendiri, ditafsirkan mengikut kehendak zaman moden (Barat), menggunakan metodologi-metodologi Barat, seperti hermeneutik, feminisme, dsbg.

ii. Islam disamakan dengan agama-agama lain: semuanya baik dan benar.

iii. Rasulullah s.a.w. disamakan dengan para Rasul dan Nabi yang lain, dan disamakan dengan manusia lain: hujah "qul innama ana bashar mithlukum" – sirah Nabi dipisahkan daripada mukjizatnya.

iv. Para Sahabat Nabi juga disamakan dengan manusia lain.

v. ilmu agama tentang Kebenaran dan Hakikat disamakan dengan ilmu pengetahuan biasa.

vi. pemimpin masyarakat yang layak disamakan dengan yang tidak dan kurang.

vii. kehidupan akhirat disamakan dengan kehidupan duniawi.

sedangkan kesemuanya ada nilai yang berbeza peringkat-peringkatnya


D. ILMUWAN PALSU DAN PEMERINTAH PALSU

1. Al-Qur'an dan al-Sunnah adalah sumber para Imam merumuskan panduan-panduan kehidupan (usul). Berdasarkan kepada garis-garis panduan inilah huraian-huraian yang selanjutnya ditambah dan dimajukan oleh para pakar sehingga berkembang dan terbinanya madhhab.

2. Kalau dibandingkan kehidupan dan karya-karya mereka, para ilmuwan yang suka mengkritik ulama silam dan madhhab sebenarnya adalah lemah ilmu: tiada daya ijtihad, kehalusan penyelidikan, ketajaman fikiran, kedalaman pandangan batin dan sifat amanah seperti para ulama silam itu.

3. Sebaliknya, ulama palsu hanya gemar bertelingkah, tidak putus-putus bertentang faham (malahan sebahagiannya kafir-mengkafir) dalam perkara-perkara remeh.

4. Mereka asyik menekankan perbezaan-perbezaan dalam dan antara mazhab, dan membataskan ilmu pada fiqh semata-mata.

5. Ramai para pemerintah politik yang turut gemarkan peperangan yang berpanjangan, merosakkan umat, menimbulkan kekacauan besar. Contoh: Timurlane tidak menakluk Rusia dan China tetapi menjajah Parsi, Turki, Mesir.


E. PENYAMARATAAN ILMU FARDU ‘AYN DAN FARDU KIFAYAH

1. Ilmu fardu ‘ayn bersumberkan Wahyu, ilmu fardu kifayah bersumberkan akal fikiran.

2. Ilmu fardu 'ayn ilmu panduan (kehidupan), ilmu fardu kifayah ilmu alat.

3. Sepatutnya, sistem pendidikan Islam sentiasa seimbang antara ilmu fardu 'ayn dengan ilmu fardu kifayah dalam setiap peringkat.

4. Ibarat dua mata yang seimbang memiliki satu pandangan yang jitu.

5. Ketidakseimbangan ilmu fardu 'ayn dengan fardu kifayah menyebabkan ilmu fardu 'ayn terbantut pada peringkat kanak-kanak, tidak bertambah, tidak berkembang; sebaliknya ilmu fardu kifayah di sepanjang hayat bertambah berkali-kali ganda, terus-terusan berkembang. Ini melahirkan pemimpin masyarakat yang lemah keislamannya lagi berbahaya. Ini juga menyebabkan Islam tampak sebagai gagal menyahut tantangan zaman sehingga ditanggapi sebagai tidak relevan dengan pembangunan dan kemajuan masyarakat.

6. Penyamarataan ilmu menyebabkan metodologi rasional (ilmu fardu kifayah) dikenakan kepada ilmu fardu 'ayn.

7. Penyamarataan ilmu akhirnya menyebabkan yang fardu kifayah dilebihkan daripada yang fardu 'ayn.

8. Keseimbangan ilmu fardu kifayah dan fardu 'ayn mampu melahirkan pandangan hidup Islam yang bermakna, pendidikan Islam yang tertib, dam seterusnya Muslimin yang cemerlang dan serba-sedia untuk menegakkan negara Islam dan ummah yang kukuh.


F. SEKULARIS MENYADUR METODOLOGI, HASIL PEMIKIRAN DAN AMALAN BARAT

1. Golongan terpelajar—pemimpin dalam tiap sektor masyarakat--memahami Islam dengan sangat minima, tidak sepadan dengan kedudukan sosialnya yang sangat strategik, telah menerimapakai metodologi, hasil pemikiran dan amalan Barat.

2. Contohnya kekeliruan mengenai konsep KEBEBASAN (seperti hak-hak asasi, kesamaan antara semua manusia dan toleransi), NILAI-NILAI dan KEBAIKAN, KEBAHAGIAAN, PERUBAHAN SOSIAL, PEMBANGUNAN MASYARAKAT dan KEMAJUAN NEGARA. Konsep-konsep ini biasanya difahami dalam semangat kebudayaan Barat yang berteraskan ideologi-ideologi SEKULAR (seperti EVOLUSIONISME, SOSIALISME, DEMOKRASI), DUALISME, HUMANISME dan TRAGEDI. Semua ini mencerminkan kekeliruan mengenai faham KETUHANAN, WAHYU, ALAM SEMESTA, INSAN, ILMU, AGAMA, dan seterusnya.

3. Berlaku dalam bidang falsafah, antropologi, sosiologi, linguistik, psikologi dan pedagogi.

4. Polisi-polisi Negara dan dasar-dasar masyarakat lazimnya adalah saduran Barat.

5. Golongan ini malas dari segi akal dan ilmu, kurang kreativiti, tidak mampu berijtihad. Mereka membiarkan para pemikir Barat mengenalpasti dan memikirkan sesuatu isu, dan mencadangkan penyelesaiannya; lalu mereka ambil, disesuai dan diselaraskan dengan Islam secara longgar. Begitu juga dalam amalan-amalan pendidikan, ekonomi, kewangan, undang-undang, dll.

6. Sepatutnya, kita memahami al-Qur'an dan al-Sunnah, dan khazanah ilmu yang menghuraikan ajarannya oleh para mujtahid silam; dan kemudian mengemukakan konsep-konsep kita sendiri dengan penuh kreativiti dan originaliti.

7. Pemutusan umat daripada sumber-sumber asli dan hasil-hasil tulen ilmiah Islam, yang metodologi dan konsepnya hanya boleh difahami dengan persiapan akliah, rohaniah dan kebahasaan Islam khasnya bahasa al-Qur'an dan al-Sunnah.

8. Ibarat anak yang kurang ajar menutup telinga daripada nasihat ayahnya yang baik dan bijaksana, tekun mendengar pendapat orang asing.

9. Ibarat hamba Barat— mengekor sahaja—masyarakat perpinggiran yang asing dan berpecah belah.

10. Contoh di Alam Melayu: proses pemisahan bahasa Melayu daripada al-Qur'an – perumian telah memutuskannya daripada pemikiran dan tamadun Islam lampau.

11. Ibarat wakil Barat, ancaman luaran telah menjadi tantangan dalaman; ibarat dar al-harb telah menjelajah dar al-Islam; umpama musuh dalam selimut; umpama musang berbulu ayam.


G. TASAUF, TARIQAT DAN KEMUNDURAN UMAT

1. Dalam abad ke-13 umat Islam mengalami huru-hara dan malapetaka dalam bentuk gelombang Perang Salib (melawan seluruh bangsa Eropah), dan Peperangan dengan Bangsa Gasar Tartar dan Mongol; di samping perang-perang saudara sesama kaum Muslimin yang lain.

2. Tariqat tasauf mula diperkenalkan demi mengukuhkan iman dan akhlak, memantapkan tamadun Islam dengan kesusasteraan yang amat agung, indah dan berseni.

3. Tasauf adalah dimensi dalaman Islam: pendalaman shari'ah melibatkan keikhlasan dan kebenaran; pengabdian dirinya yang cemerlang; ibadat berserta cahaya pengenalan akliah dan pengertian rohaniah mengenai pelbagai hakikat (maratib al-haqa’iq al-wujudiyyah), iaitu sumber adab sejati; asasnya keyakinan atau hikmah ilahiyyah atau al-'ilm al-ladunniy atau 'ilmu wahbi.

4. Peristilahan, konsep-konsep, huraian-huraian, dan amalan-amalan Tasauf yang tulen datang daripada al-Quran dan al-Sunnah.

5. Para penghurai dan pengamal Tasauf yang tulen adalah para awliya’.

6. Mulai abad ke- 15, keruntuhan adab menyusup dalam tarikat Tasauf: kejahilan, salahfaham, salahkena, salahamal. Timbulnya pelbagai kekeliruan, kerosakan, keterlaluan, penyelewengan dari lslam.

7. Harus dibezakan dengan sejelas-jelasnya antara yang benar dan yang palsu, dan salahkan yang palsu. Jangan membersihkan Islam dari noda-noda kekotoran (tasauf) hingga merosakkan agama—ibarat menggunakan sabun pembersih yang berlebihan atau salah jenis—hingga timbul kemerosotan dalam amalan-amalan Islam seperti zikir, muraqabah, mushahadah, dan salat sunat; hingga timbul kesangsian terhadap kebenaran dan kejujuran imam mujtahidin, ulama yang benar dan para awliya’ yang memimpin kita.

8. Kiasan: Anak murid dengan Gurunya mengenai titik-titik hitam di tembok.

H. MAKNA TA'DIB

1. Ta'dib, atau Pengadaban, yakni pendidikan Islam, dari peringkat tinggi, menengah hingga rendah, dari ilmu fardu 'ayn hingga ilmu fardu kifayah, mencerminkan manusia dan hakikat dirinya.

2. Makna Ta'dib (Pendidikan lslam): proses dan usaha bagi menyerapkan, memupuk dan menjelmakan adab pada diri manusia. Ia melibatkan:

i. mendisiplinkan diri akliah dan rohaniah
ii. memperoleh ciri-ciri akliah dan rohaniah yang cemerlang (mahmudah)
iii. melaksanakan perbuatan yang betul lagi tepat, bukan yang salah dan silap
iv. memelihara diri daripada kesalahan dalam ilmu dan daripada aib
v. mengenali dan mengakui 'tempat' yang betul dan tepat bagi segala sesuatu
vi. kaedah mengetahui hingga terzahir keadilan (iaitu keadaan berada dalam tempat yang betul dan tepat)
vii. cerminan keadilan yang tergambar dalam hikmah


I. APLIKASI TA’DIB: ILMU-ILMU FARDU 'AYN

1. Perlu ada keseimbangan pengajaran ilmu fardu 'ayn dan ilmu fardu kifayah dalam setiap peringkat: taman asuhan, sekolah rendah, sekolah menengah, maktab, universiti, sewaktu bekerja, dan seterusnya selepas bersara.

2. Silap faham makna ilmu fardu 'ayn:-

i. dari segi kandungan: terbatas dan habis setakat belajar membaca al-Qur'an, hadis 40, hukum-hakam sembahyang, puasa, zakat dan haji, dan sifat 20, iaitu mengenai asas agama secara yang paling mudah

ii. dari segi peringkat: terbatas, statik dan habis setakat peringkat kanak-kanak, setakat tadika, sekolah rendah agama dan satu matapelajaran sekolah menengah. Hampir-hampir tiada di peringkat institusi-institusi pengajian tinggi dan tiada sesudah universiti (ketika bekerja). Selepas bersara???

3. Makna sebenar ilmu fardu 'ayn adalah dinamik dan tidak statik: -

i. i’tiqad atau simpulan kepercayaan dan keyakinan hati dan pembenarannya (ithbat) secara tetap, kekal, kukuh dan tidak berubah-ubah di dalam diri mengenai perkara-perkara asas dalam Agama Islam yang terkandung dalam makna dua kalimah shahadah – berkembang menurut getaran, goncangan, kerisauan, kebimbangan, kekhuatiran dan keraguan hati terhadap perkara-perkara tersebut – sama ada berpunca dari tabiat, watak, perangai atau pembawaan sendiri atau pengaruh masyarakat – perkara-perkara yang direka-reka dalam akidah dan kemunkaran akidah seperti anti-hadith dan mencela sahabat - seperti sekularisasi sebagai program falsafah, kebudayaan dunia Barat dan seterusnya

ii. perbuatan yang wajib dilaksanakan – berkembang mengikut masa – kiasan sembahyang lima waktu, puasa ramadan, zakat harta, haji dan seterusnya – semakin lama seseorang itu hidup, semakin berkembanglah ruanglingkup ilmu-ilmu fardu 'aynnya –

iii. perkara yang wajib ditinggalkan - berkembang menurut keadaan seseorang yang berbeza-beza antara satu sama lain - contohnya bisu, buta, orang ulu berbanding dengan orang yang sempuma - apa yang terlepas daripada kita, tidaklah diwajibkan mempelajarinya; apa yang tidak terlepas daripada kita, wajiblah mempelajarinya - seperti makan-minum, pakaian, hubungan lelaki perempuan, dan seterusnya

iv. keinginan, kesukaan, bisikan-bisikan musuh dan langkah malaikat kebiasaannya manusia tidak terlepas dari panggilan kejahatan, riya', dengki dan sifat-sifat tercela yang selainnya - ilmu sifat-sifat yang membinasakan diri yang perlu - definisi dan batasnya, sebab-sebabnya, tanda-tandanya dan cara mengubatinya

v. risalah – syurga, neraka, kebangkitan dari kubur, pengumpulan di padang mahsyar, azab kubur

4. Panduan al-Imam al-Ghazzali dalam Ihya' 'Ulum al-Din: Setiap hamba Allah dalam perkembangan hal-ehwalnya, siangnya dan malamnya, adalah tidak terlepas dari kejadian-kejadian dan susulan terhadap kejadian-kejadian tersebut yang berkaitan dengan ibadahnya dan mu'amalahnya secara terus menerus. Maka lazimkanlah bertanya tentang kejadian-kejadian yang jarang terjadi dan wajiblah bersegera mempelajari apa yang biasanya terjadi dalam waktu dekat

5. Menurut al-Khawarizmi dalam Mubid al-Humum wa Mufid al-‘Ulum, ilmu fardu 'ayn wajib ke atas semua manusia:-

a. masyarakat awam atau golongan terpilih,
b. pemerintah atau menteri,
c. yang merdeka atau hamba,
d. yang tua dan yang muda,
dan seterusnya....

contohnya,
syarat-syarat mu'amalah bagi seorang peniaga
hukum-hakam perkahwinan (pertunangan, pernikahan, beranak-pinak) bagi seorang yang berumahtangga
hukum-hakam pemerintahan dan kepemimpinan bagi seseorang pemerintah seperti hak-hak dan cara-cara memenuhi hak-hak rakyat, syarat-syarat siasah dan politik
perniagaan yang diharamkan dan terma-terma yang batal bagi seseorang peniaga


J. APLIKASI TA'DIB: ILMU-ILMU FARDU KIFAYAH

1. Ilmu-ilmu bukan-Shari'ah yang terpuji yang tidak dapat dikesampingkan dalam menegakkan urusan duniawi. Jelasnya ilmu-ilmu kemanusiaan, sains tabii, sains gunaan, teknologi, perbandingan agama, kebudayaan dan tamadun Barat, ilmu-ilmu bahasa, sejarah dan seterusnya lagi.

2. Ilmu-ilmu Shari'ah (yang terpuji) yang menegakkan urusan duniawi. Iaitu, dengan perantaraan bahasa al-Qur'an dan al-Sunnah sebagai sumber, ratusan peraturan dan hukum-hakam untuk mentadbir dan memandu kehidupan masyarakat Islam yang telah diperundangkan oleh Allah Ta'ala dalam urusan jual-beli dan perdagangan, hidup-mati dan harta pewarisan, nikah-kahwin dan perceraian, jenayah dan ketatanegaraan, dan seterusnya.


K. TAJUK-TAJUK YANG BERKAITAN

1. Keutamaan umat Islam sekarang bukanlah bertelagah mengenai isu-isu remeh-temeh kemadhhaban atau fiqh atau hukum-hakam.

2. Setelah mengetahui yang paling asas tentang Islam, keutamaan kita—dalam dunia yang sedang dikuasai oleh kebudayaan Barat—adalah untuk memahami, di antaranya, Pandangan Islam mengenai Hakikat, Kebenaran dan Kehidupan; Islam sebagai Faham Agama (al-Din) dan Asas Akhlak; Kedudukan Wahyu (al-Qur'an dan al-Sunnah) dalam Islam; Allah: Diri, Nama-Nama dan Af'al-Nya (al-Tawhid); Alam Semesta sebagai Ayat Allah; Faham Ilmu dan Pembudayaannya; Cabaran Kebudayaan Barat @ Masalah Luaran Kaum Muslimin: Agama, Ketenteraan, Ilmu; Masalah Dalaman Kaum Muslimin: Ilmu, Adab, Kepimpinan; Penyahbaratan dan Pengislaman Ilmu dan Bahasa; Pengadaban (al-Ta'dib) sebagai Faham Pendidikan dalam Islam termasuk Faham Universiti (kulliyyah-jami'ah); Bahaya Sekularisasi dan Ancamannya terhadap Alam Tabii, Politik dan Nilai; Bahasa Islam sebagai Cermin Pandangan Hidupnya; Hakikat dan Sifat Insan; Faham Akhlak, Konsep Kebebasan (Ikhtiyar) dan Hak Asasi; Makna dan Pengalaman Kebahagiaan (al-Sa’adah); Islam dan Perubahan Hebat Sejarah Dunia Barat dan Alam Melayu; Pengaruh dan Kesan Islam dalam Kebudayaan Melayu: Pemikiran, Bahasa, Persuratan; Faham Perubahan, Pembangunan dan Kemajuan (Change, Development, Progress); Masyarakat Madani: Islamic Civil Society.

RUJUKAN (PROF. AL-ATTAS DAN PROF. WAN)

Syed Muhammad Naquib al-Attas, "Kata Pengantar: Konsep Baru mengenai Renchana serta Chara-Gaya Penelitian Ilmiah Pengkajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu di Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia," Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu. Kuala Lumpur: Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, UKM, 1972.

_____, Risalah untuk Kaum Muslimin. Kuala Lumpur: manuskrip yang belum diterbitkan, Februari, 1973.

_____, "The Muslim Dilemma," dan "The Dewesternization of Knowledge," bab IV dan V dalam karya beliau Islam and Secularism. Kuala Lumpur: ABIM, 1978; edisi kedua dengan Kata Pengantar Baru, ISTAC, 1993; atau dalam karya beliau yang lain Islam, Secularism and the Philosophy of the Future. London: Mansell, 1985.

_____, The Concept of Education in Islam: A Framework for an Islamic Philosophy of Education. Kuala Lumpur: ABIM, 1980. Juga diterbitkan sebagai bab VI dalam Islam, Secularism and the Philosophy of the Future (lihat di atas).

_____, "Address of Acceptance of Appointment to the al-Ghazali Chair of Islamic Thought." Dalam Commemorative Volume on the Conferment of the Ghazali Chair of Islamic Thought on Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Kuala Lumpur: ISTAC, 1994. Terj. "Menghadapi Cabaran Sekularisme." oleh Dr. Baharuddin Ahmad. Dewan Masyarakat, Mac 1994, mss. 14-16, 23.

Wan Mohd Nor Wan Daud, The Educational Philosophy and Practice of Syed Muhammad Naquib al-Attas: An Exposition of the Original Concept of Islamization. Kuala Lumpur: ISTAC, 1998.


RUJUKAN LAIN

Abu Hamid al-Ghazzali, "Faysal al-Tafriqah," Majmu’at al-Rasa'il al-Imam al-Ghazzali, 7 jil. dlm. 1. Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah. t.t. 3:75-99.

Ahmad Ibn al-Naqib al-Misri, 'Umdat al-Salik wa 'Uddat al-Nasik: Reliance of the Traveller. teks, huraian and lampiran ed. dan ter . Nuh Ha Mim Keller. Maryland: Amana, ed. kedua 1994.

Arnold J. Toynbee, A Study of History, mukhtasar jil. I-VI oleh D.C. Sornervell. New York: Oxford University Press, 1947.

Denis Gril, "Adab and Revelation or One of the Foundations of the Hermeneutics of Ibn 'Arabi," dalam Muhyiddin Ibn 'Arabi: A Commemorative Volume. Ed. Stephen Hirtenstein and Michael Tiernan. Dorset: Element, 1993, mss. 228-63.

Edward G. Browne, A Literary History of Persia. terbitan pertama oleh Unwin, 1902. Cambridge: Cambridge University Press, 1928.

Mahmud Mahmud al-Ghurab, al-Fiqh 'inda 'l-Shaykh al-Akbar Muhyi 'l-Din Ibn al 'Arabi. Damshiq: Matba'at Nadir, 1981, Edisi kedua 1993.

Muhyi 'l-Din b. Sharaf al-Nawawi, Al-Majmu' Sharh al-Muhadhdhab. Beirut: Dar al-Fikr, 1996.

Al-Sayyid Murtada al-Zabidi, Ithaf al-Sadah al-Muttaqin bi Sharh Ihya' 'Ulum al-Din. Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, 1989.

Wednesday, April 19, 2006

Come! Let us all be friends for once,
Let us make life easy on us,
Let us be lovers and loved ones,
The earth shall be left to no one!

Yunus Emre
Anatolia