Wednesday, December 26, 2007

Kenangan Urfa II

Halil-Ur-Rahman compound. They used to have a very famous madrasah around here.
Fat fish in Balikgol
Urfa kid feeding the fish. Only if you give them 1 million lira!
Narrow alley in Urfa's old quarter. On the way to Hoca Muhammad Shukri's madrasah
Don't judge a madrasah by its door. Main entrance to Hoca Shukri's madrasah in Urfa.
Sharing Urfa meals with the Shaykh inside the madrasah. Kharuf roasted with some Urfa's spices. Cuisine in Urfa is more spicy than meals from other part of the country. Don't forget the famous Urfa's kebab!
Around the Halil-Ur-Rahman mosque again
Click on the photo to read more about Halil-ur-Rahman mosque in Salinurfa

Saturday, December 15, 2007

Kenangan Urfa

Semalam saya mendapat sms dari adinda saya, saudara Abadi yang masih menuntut di RCSI, Dublin. Yang menarik, sms itu dihantar dari Urfa, kota kelahiran Nabi Allah Ibrahim 'alaihi salam. Abadi yang sedang menikmati cuti musim dingin di Dublin sekarang berkelana ke Turki dan beliau sempat mengembara ke Salinurfa yang jauh ke selatan Turki.
Kira-kira setahun lepas, saya juga telah ke sana. Ke Urfa yang letaknya tidak berapa jauh dari persempadanan Syria. Malahan ramai penduduk Turki di sini berketurunan Arab dan fasih berbahasa Arab dengan dialek Syria. Antaranya ialah sahabat saya, Dr Abdullah Nurdag dan bapanya Hoca (Ustaz) Jumaat. Penduduk berbangsa Kurdi juga tidak kurang ramainya di sana.
Secara jujurnya, saya sangat sukakan atmosfera di Urfa. Bandar Urfa tak ubah seperti bandar-bandar di Syria (Sham). Tenang dan tidak sesibuk Istanbul. Ramai yang mengaitkan ketenangan Urfa dengan kelahiran Nabi Ibrahim. Bumi yang pernah diinjak oleh mana-mana Rasul pasti akan terus dilimpahi keberkatan. Urfa tidak terkecuali.
Tidak jauh daripada otogar (bus station) Urfa, tersergam satu kawasan yang cukup penting dalam lipatan sejarah. Kompleks Masjid Halil-ur-Rahman adalah tempat di mana Nabi Allah Ibrahim dikatakan dilontar ke dalam api oleh Namrud. Sekitarnya terdapat kolam yang penuh dengan ikan-ikan gemuk (Balikligol). Mitos rakyat tempatan mengkhabarkan bahawa ikan-ikan ini adalah jelmaan daripada ranting-ranting kayu yang digunakan untuk menghanguskan jasad Nabi Ibrahim.
Apapun mitosnya, perkara ini tidaklah menarik perhatian saya. Di kawasan masjid ini sebenarnya terdapat bangunan madrasah lama yang kini diubah menjadi muzium. Pada periode akhir khilafah Uthmaniyyah, madrasah ini masih berfungsi dan telah melahirkan ramai sarjana dan cendiakawan Islam. Antaranya, Shaykh Muhammad Shukri, pakar fiqh Hanafi dan mursyid tariqat Naqshabandi di Urfa. Madrasahnya kini sudah berpindah beberapa ratus meter dari kawasan Masjid Halil-ur-Rahman. Sehingga sekarang madrasah Shaykh Shukri masih wujud dan diuruskan oleh anak lelakinya, Shaykh Halim yang juga seorang shaykh mazhab Hanafi dan pengikut tariqat Naqshabandi. Kebetulan, saya bersahabat dengan anak saudara kepada zuriat Shaykh Shukri ini. Lantas saya diundang untuk makan malam di madrasah tersebut. Kami berbual panjang dan saya bertanyakan tentang sistem pengajian tradisional di madrasah tersebut. Menurut Shaykh Halim, pengajian di sini masih mengekalkan corak pengajian tradisional iaitu dengan menghafaz Quran dan matan-matan ilmu yang penting seperti fiqh, hadith, usul fiqh dan nahu/saraf. Menurut beliau, ketika zaman ayahandanya dahulu, sistem pengajian di madrasah di Urfa mengambil masa belasan tahun. Ini kerana pengajiannya lebih holistik dan pada penghujung pengajian para santri boleh memilih untuk menjadi pakar dalam cabang-cabang ilmu tertentu seperti hadis, fiqh mahupun ilmu-ilmu sains tulen seperti perubatan, matematik, falak atau kejuruteraan. Semua subjek diajar dalam bahasa Arab dan Osmanli (bahasa Turki Uthmaniyyah lama yang telah diharamkan oleh Attartuk). Sistem pengajian madrasah pada asalnya tidak pernah mengabaikan ilmu-ilmu yang dianggap moden seperti kejuruteraan, perubatan atau senibina. Namun, dasar sekularisasi Attartuk membunuh banyak madrasah tradisonal termasuklah madrasah di Urfa. Meskipun sistem pengajian madrasah ini tidak lagi seperti dahulu, para ulama di sini masih berjuang untuk mengekalkan sistem pengajian tradisional yang menekankan kitab-kitab turath dan hafazan mutun.
Selain menjadi mudir di madrasah ini, Shaykh Halim juga dikenali kerana kepandaiannya dalam perubatan Islam dan tradisional. Ramai penduduk sekitar Urfa yang datang untuk berubat dengan beliau. Jika diperhatikan, kombinasi ayat-ayat Quran dan doa-doa yang digunakan menyerupai amalan institusi Darul Syifa di Bangi. Ini tidak menghairankan kerana Ustaz Harun Din sendiri dikatakan mengamalkan wirid-wirid tariqat Naqshabandi. Malahan wirid-wirid ini diajarkan kepada murid-murid beliau di Darul Syifa.
Di sebalik ketenangan Urfa, banyak juga isu-isu kemasyarakatan dan cabaran yang melanda umat Islam di sini. Selain sekularisasi, masalah riddah atau murtad juga berlaku. Ini diceritakan oleh Hoca Jumaat kepada saya. Bagaimana di kawasan kejiranannya tinggal seorang mubaligh berketurunan Korea yang mendapat latihan missionary di Germany. Mubaligh Korea ini fasih berbahasa Arab, Turki, Jerman dan Perancis serta mendapat dokongan kewangan yang cukup besar untuk menyebarkan Kristian di Urfa. Ramai anak-anak Islam yang miskin dan terbiar mendapat bantuan kewangan dan akhirnya memilih jalan mudah untuk hidup senang. Masuk agama Nasrani dan kenyang dengan habubuan duniawi. Rupa-rupanya bukan di Malaysia sahaja berlaku isu nurtad. Sayang sekali kota Ibrahim KhalilUllah ini juga tidak berkecuali.
Bagi yang berkunjung ke Urfa, saya juga mencadangkan agar mereka menziarahi Harran. Kota lama ini merupakan kampung Shaykh Islam Ibn Taimiyyah. Ayahanda dan datuk Ibn Taimiyyah merupakan tokoh ulama dari kota ini yang kini hanya tinggal runtuhan. Namun, kesan-kesan ketamadunan dan ketinggian peradaban masih kelihatan di sebalik sisa-sisa runtuhan kota dan tembok Harran. Tapak Masjid Jami' Umawi dan menaranya di Harran ditemui kira-kira 20 tahun lepas, terkambus di sebalik debu-debu dan pasir. Semuanya hasil kegilaan tentera Tartar yang menghapuskan segala-gala dalam perjalanan mereka ke Baghdad. Apapun, banyak rahsia dan keajaiban yang boleh digali di Urfa.
Entah bila dapat kembali berkelana.

Thursday, December 13, 2007



Cuba lihat gambar di atas.

Ada sesiapa boleh meneka bangunan apakah di belakang jejaka di atas?

Perhatikan senibina bangunan tersebut.

Di bahagian sisinya terdapat bahagian atap yang berbentuk seperti kubah. Bangunan ini bukan hasil kesenian dunia Timur atau Arab. Sebenarnya bangunan ini ialah istana yang dibina oleh Prince Eugene of Savoy (October 16, 1663 – April 24, 1736) , stateman, military genius yang hidup pada zaman dinasti Habsburg di Vienna, Austria.



Lebih 300 tahun yang lampau, empayar Turki Uthmaniyyah merupakan kuasa besar di Eropah (dan juga di dunia). Dengan menguasai benua Asia dan Afrika, Sultan Sulaiman Qanuni berjaya menundukkan hampir semua kuasa besar Eropah pada waktu itu. Vienna yang berada dalam kekuasaan dinasti Habsburg adalah halangan utama kerajaan Uthmaniyyah dalam menembusi wilayah sekitar Danube khususnya kawasan tengah Dinasti Habsburg dan kawasan selatan Jerman.

Pada Ogos 1526, Sultan Sulaiman Qanuni berjaya menewaskan King Louis II dari Hungary dalam peperangan Mohacs. Takhta diraja Hungary berada dalam keadaan vacum. Pada saat ini, Archduke of Austria, Ferdinand I mengumumkan bahawa beliau adalah pewaris mutlak takhta kerajaan Hungary. Ini berdasarkan hubungan perkahwinannya dengan adik perempuan King Louis II (yang telah ditumpaskan oleh Sultan Sulaiman). Sudah pasti kerajaan Turki begitu 'bengang' dengan tindakan ini. Menyerang Vienna adalah satu-satunya cara untuk menyekat kekuasaan dinasti Habsburg di Balkan dan sekitar Danube.







Pada 10 May 1529, kempen ketenteraan ke atas Habsburg dimulai. Hanya pada bulan September, tentera Turki yang diketuai oleh Ibrahim Pasha, tiba di sebalik benteng kota Vienna. Mungkin ramai sudah mengetahui apakah kesudahan peperangan ini. Meskipun kempen ini dianggap gagal, tetapi sebenarnya operasi jihad Sultan Sulaiman sudah cukup menggentarkan jiwa dinasti Habsburg. Serangan ini menyaksikan persempadanan wilayah Hungary yang dikuasai oleh Turki Uthmaniyyah ditentukan semula. Habsburg menjadi begitu lemah untuk bertindak 'kurang ajar' sekali lagi dengan kerajaan Islam.

Semestinya dinasti Habsburg sangat gembira dengan berundurnya tentera Turki dari kota Vienna. Bangunan yang dipaparkan di atas dibina oleh Prince Eugene untuk memperingati kejayaan Austria mengekang kemaraan Islam di Austria. Itulah sebabnya senibina istana Belvedere(gambar di atas) ini mempunyai design kubah yang menyerupai khemah-khemah tentera Turki.

Saturday, December 08, 2007

ISTAC, Anyone?

Malaysia Oh Malaysia

Sudah lebih sebulan saya mula berkhidmat sebagai doktor pelatih di Malaysia. Terlalu sibuk dengan dunia pekerjaan menyebabkan saya langsung tak terlintas untuk memperbaharui posting di blog yang sudah 'berhabuk' ini. Pengalaman pertama berkhidmat di Malaysia sudah pasti mencatat banyak kenangan yang tak dapat dilupakan. Apatah lagi sistem kesihatan dan budaya kerja di Malaysia terlalu jauh jika dibandingkan dengan Ireland. Apa yang pasti, sedikit sebanyak saya sudah mula merindui Dublin, Ireland. Meskipun ketika di Ireland saya asyik terkenang rumah di Malaysia. Tetapi sekarang perkara sebaliknya yang berlaku.

Di Malaysia adalah teramat susah untuk mengamalkan tasawwuf. Itu sahaja yang boleh saya simpulkan setelah hampir dua bulan bekerja. Meskipun Ireland ialah negara bukan Islam, sesetengah budaya yang dibentuk oleh sistem kesihatan di sana jauh lebih terpuji jika dibandingkan dengan Malaysia. Benar, ada sahaja doktor-doktor yang baik, mulia dan melayan doktor-doktor pelatih dengan baik. Namun, merekaq bukanlah golongan majoriti. Sistem kesihtan Malaysia banyak 'menekan' doktor-doktor pelatih sehinggakan mereka dianggap sebagai golongan paling bawahan di hospital. Bekerja lebih masa tanpa henti, dijadikan sasaran kemarahan dan pelbagai umpatan dan celaan dilemparkan. Ada sahabat yang pernah mengungkapkan, "Abused junior doctor will become an abusive consultant." Kata-kata itu memang benar. Kebanyakan consultant yang pernah dibuli ketika menjadi doktor pelatih akan menjadi seorang pembuli besar setelah 'darjat'nya meningkat naik. Mentaliti dan budaya dalam sistem kesihatan Malaysia masih terlalu jauh untuk dibandingkan dengan negara-negara maju di Barat. Apatah lagi jika hendak diukur dengan neraca Islam. Saya sendiri tidak tahu samada saya akan dapat terus bertahan bekerja di Malaysia. Mudah-mudahan Allah SWT akan memberikan kekuatan.