Saturday, December 15, 2007

Kenangan Urfa

Semalam saya mendapat sms dari adinda saya, saudara Abadi yang masih menuntut di RCSI, Dublin. Yang menarik, sms itu dihantar dari Urfa, kota kelahiran Nabi Allah Ibrahim 'alaihi salam. Abadi yang sedang menikmati cuti musim dingin di Dublin sekarang berkelana ke Turki dan beliau sempat mengembara ke Salinurfa yang jauh ke selatan Turki.
Kira-kira setahun lepas, saya juga telah ke sana. Ke Urfa yang letaknya tidak berapa jauh dari persempadanan Syria. Malahan ramai penduduk Turki di sini berketurunan Arab dan fasih berbahasa Arab dengan dialek Syria. Antaranya ialah sahabat saya, Dr Abdullah Nurdag dan bapanya Hoca (Ustaz) Jumaat. Penduduk berbangsa Kurdi juga tidak kurang ramainya di sana.
Secara jujurnya, saya sangat sukakan atmosfera di Urfa. Bandar Urfa tak ubah seperti bandar-bandar di Syria (Sham). Tenang dan tidak sesibuk Istanbul. Ramai yang mengaitkan ketenangan Urfa dengan kelahiran Nabi Ibrahim. Bumi yang pernah diinjak oleh mana-mana Rasul pasti akan terus dilimpahi keberkatan. Urfa tidak terkecuali.
Tidak jauh daripada otogar (bus station) Urfa, tersergam satu kawasan yang cukup penting dalam lipatan sejarah. Kompleks Masjid Halil-ur-Rahman adalah tempat di mana Nabi Allah Ibrahim dikatakan dilontar ke dalam api oleh Namrud. Sekitarnya terdapat kolam yang penuh dengan ikan-ikan gemuk (Balikligol). Mitos rakyat tempatan mengkhabarkan bahawa ikan-ikan ini adalah jelmaan daripada ranting-ranting kayu yang digunakan untuk menghanguskan jasad Nabi Ibrahim.
Apapun mitosnya, perkara ini tidaklah menarik perhatian saya. Di kawasan masjid ini sebenarnya terdapat bangunan madrasah lama yang kini diubah menjadi muzium. Pada periode akhir khilafah Uthmaniyyah, madrasah ini masih berfungsi dan telah melahirkan ramai sarjana dan cendiakawan Islam. Antaranya, Shaykh Muhammad Shukri, pakar fiqh Hanafi dan mursyid tariqat Naqshabandi di Urfa. Madrasahnya kini sudah berpindah beberapa ratus meter dari kawasan Masjid Halil-ur-Rahman. Sehingga sekarang madrasah Shaykh Shukri masih wujud dan diuruskan oleh anak lelakinya, Shaykh Halim yang juga seorang shaykh mazhab Hanafi dan pengikut tariqat Naqshabandi. Kebetulan, saya bersahabat dengan anak saudara kepada zuriat Shaykh Shukri ini. Lantas saya diundang untuk makan malam di madrasah tersebut. Kami berbual panjang dan saya bertanyakan tentang sistem pengajian tradisional di madrasah tersebut. Menurut Shaykh Halim, pengajian di sini masih mengekalkan corak pengajian tradisional iaitu dengan menghafaz Quran dan matan-matan ilmu yang penting seperti fiqh, hadith, usul fiqh dan nahu/saraf. Menurut beliau, ketika zaman ayahandanya dahulu, sistem pengajian di madrasah di Urfa mengambil masa belasan tahun. Ini kerana pengajiannya lebih holistik dan pada penghujung pengajian para santri boleh memilih untuk menjadi pakar dalam cabang-cabang ilmu tertentu seperti hadis, fiqh mahupun ilmu-ilmu sains tulen seperti perubatan, matematik, falak atau kejuruteraan. Semua subjek diajar dalam bahasa Arab dan Osmanli (bahasa Turki Uthmaniyyah lama yang telah diharamkan oleh Attartuk). Sistem pengajian madrasah pada asalnya tidak pernah mengabaikan ilmu-ilmu yang dianggap moden seperti kejuruteraan, perubatan atau senibina. Namun, dasar sekularisasi Attartuk membunuh banyak madrasah tradisonal termasuklah madrasah di Urfa. Meskipun sistem pengajian madrasah ini tidak lagi seperti dahulu, para ulama di sini masih berjuang untuk mengekalkan sistem pengajian tradisional yang menekankan kitab-kitab turath dan hafazan mutun.
Selain menjadi mudir di madrasah ini, Shaykh Halim juga dikenali kerana kepandaiannya dalam perubatan Islam dan tradisional. Ramai penduduk sekitar Urfa yang datang untuk berubat dengan beliau. Jika diperhatikan, kombinasi ayat-ayat Quran dan doa-doa yang digunakan menyerupai amalan institusi Darul Syifa di Bangi. Ini tidak menghairankan kerana Ustaz Harun Din sendiri dikatakan mengamalkan wirid-wirid tariqat Naqshabandi. Malahan wirid-wirid ini diajarkan kepada murid-murid beliau di Darul Syifa.
Di sebalik ketenangan Urfa, banyak juga isu-isu kemasyarakatan dan cabaran yang melanda umat Islam di sini. Selain sekularisasi, masalah riddah atau murtad juga berlaku. Ini diceritakan oleh Hoca Jumaat kepada saya. Bagaimana di kawasan kejiranannya tinggal seorang mubaligh berketurunan Korea yang mendapat latihan missionary di Germany. Mubaligh Korea ini fasih berbahasa Arab, Turki, Jerman dan Perancis serta mendapat dokongan kewangan yang cukup besar untuk menyebarkan Kristian di Urfa. Ramai anak-anak Islam yang miskin dan terbiar mendapat bantuan kewangan dan akhirnya memilih jalan mudah untuk hidup senang. Masuk agama Nasrani dan kenyang dengan habubuan duniawi. Rupa-rupanya bukan di Malaysia sahaja berlaku isu nurtad. Sayang sekali kota Ibrahim KhalilUllah ini juga tidak berkecuali.
Bagi yang berkunjung ke Urfa, saya juga mencadangkan agar mereka menziarahi Harran. Kota lama ini merupakan kampung Shaykh Islam Ibn Taimiyyah. Ayahanda dan datuk Ibn Taimiyyah merupakan tokoh ulama dari kota ini yang kini hanya tinggal runtuhan. Namun, kesan-kesan ketamadunan dan ketinggian peradaban masih kelihatan di sebalik sisa-sisa runtuhan kota dan tembok Harran. Tapak Masjid Jami' Umawi dan menaranya di Harran ditemui kira-kira 20 tahun lepas, terkambus di sebalik debu-debu dan pasir. Semuanya hasil kegilaan tentera Tartar yang menghapuskan segala-gala dalam perjalanan mereka ke Baghdad. Apapun, banyak rahsia dan keajaiban yang boleh digali di Urfa.
Entah bila dapat kembali berkelana.

2 comments:

Azlan @ ABN said...

bro how can I contact you?

~albazrah~ said...

Kak ma rasa jeles dekat Shafiq dan Abadi. Ish.. tak leh jadi ni. Harap2 dapat sampai Urfa.