Sudah lebih sebulan saya mula berkhidmat sebagai doktor pelatih di Malaysia. Terlalu sibuk dengan dunia pekerjaan menyebabkan saya langsung tak terlintas untuk memperbaharui posting di blog yang sudah 'berhabuk' ini. Pengalaman pertama berkhidmat di Malaysia sudah pasti mencatat banyak kenangan yang tak dapat dilupakan. Apatah lagi sistem kesihatan dan budaya kerja di Malaysia terlalu jauh jika dibandingkan dengan Ireland. Apa yang pasti, sedikit sebanyak saya sudah mula merindui Dublin, Ireland. Meskipun ketika di Ireland saya asyik terkenang rumah di Malaysia. Tetapi sekarang perkara sebaliknya yang berlaku.
Di Malaysia adalah teramat susah untuk mengamalkan tasawwuf. Itu sahaja yang boleh saya simpulkan setelah hampir dua bulan bekerja. Meskipun Ireland ialah negara bukan Islam, sesetengah budaya yang dibentuk oleh sistem kesihatan di sana jauh lebih terpuji jika dibandingkan dengan Malaysia. Benar, ada sahaja doktor-doktor yang baik, mulia dan melayan doktor-doktor pelatih dengan baik. Namun, merekaq bukanlah golongan majoriti. Sistem kesihtan Malaysia banyak 'menekan' doktor-doktor pelatih sehinggakan mereka dianggap sebagai golongan paling bawahan di hospital. Bekerja lebih masa tanpa henti, dijadikan sasaran kemarahan dan pelbagai umpatan dan celaan dilemparkan. Ada sahabat yang pernah mengungkapkan, "Abused junior doctor will become an abusive consultant." Kata-kata itu memang benar. Kebanyakan consultant yang pernah dibuli ketika menjadi doktor pelatih akan menjadi seorang pembuli besar setelah 'darjat'nya meningkat naik. Mentaliti dan budaya dalam sistem kesihatan Malaysia masih terlalu jauh untuk dibandingkan dengan negara-negara maju di Barat. Apatah lagi jika hendak diukur dengan neraca Islam. Saya sendiri tidak tahu samada saya akan dapat terus bertahan bekerja di Malaysia. Mudah-mudahan Allah SWT akan memberikan kekuatan.
1 comment:
Semoga Shafiq Ayman diberi ketabahan oleh Allah. Tahniah ya.. Moga jadi doktor yang menenangkan pesakit. Risaunya kalau doktor yang tertekan nanti byk pulak kesilapan. Semoga Shafiq Ayman sentiasa terpandu.
Sepupu2 kak ma yang baru beberapa tahun jadi doktor pun cerita yang sama. Masing2 berlumba nak sambung belajar sebab tak nak lagi dibuli.
Post a Comment