Sejak beberapa minggu ini politik Malaysia semakin panas. Dua isu yang paling meletup dan mencuri tumpuan sudah pastilah drama coup d 'etat BN di Perak dan peristiwa gambar-gambar Eli Wong yang di'skodeng' ketika lena di rumahnya. Sehingga catatan ini ditulis, Eli masih bercuti untuk menenangkan fikiran. Situasi di Perak masih kabur.Sebetulnya, aku agak kecewa dengan situasi di Perak. Pakatan Rakyat masih belum menunjukkan kemampuan untuk mentadbir. Alih-alih kerusi MB sudah 'dikebas'.
Satu-satunya hikmah yang boleh aku nampak di Perak ialah betapa pentingnya tarbiyah dan indoktrinisasi idea politik terhadap satu-satu parti politik. PAS dalam keadaan sebagai parti yang paling sedikit kerusi di kalangan parti lain dalam PR mempamerkan kemantapan dan kesetiaan dalam perjuangan. Buktinya, tiada seorang pun ADUN/Ahli Parlimen mereka yang menjadi katak yang melakukan 'cross over' mengejut. Ini bukan sesuatu yang mengejutkan. Pasca pilihanraya umum tahun 2004, kerajaan PAS Kelantan hampir-hampir tumbang. Mereka hanya memimpin dengan majoriti mudah 2 kerusi. Namun, tiada seorang pun yang dipengaruhi hawa nafsu untuk melompat ke sebelah sana yang punya lebih banyak fulus.
Rebahnya PR di Perak, bukanlah bukti kegoncangan keyakinan rakyat terhadap PAS ataupun Nizar Jamaluddin. DAP dan PKR menerima tamparan agak hebat apabila ADUN-ADUN mereka berpaling tadah. PAS mempunyai sistem pentarbiyahan yang berbeza dengan PKR apatah lagi DAP. Mereka lebih terdidik untuk berjuang demi akhirat tanpa mengharapkan ganjaran dunia. Memang ada kritikan terhadap pertarbiyahan ahli-ahli PAS, namun mereka masih jauh lebih baik berbanding parti-parti lain.
Isu kedua berkenaan Eli Wong, aku cuma boleh katakan adalah lebih selamat untuk dia meletakkan jawatan. Ada orang mengatakan, dia tidak bersalah dan menjadi mangsa 'serangan hendap' musuh politik yang ingin menjatuhkannya. Sama sekali aku tidak mengatakan berbogel di dalam rumah sendiri adalah satu kesalahan. Yang menjadi kesalahan ialah mengambil gambar-gambar tersebut, menyebarkannya dan menatapnya. Dan yang paling mengejutkan ialah suspek utama kes ini ialah bekas teman lelaki Eli yang berbangsa Melayu dan beragama Islam. Sekali lagi, isu moral menjadi sandaran dalam kes sebegini. Ada yang mempertahankan Eli Wong, atas alasan itu adalah hak peribadinya. Hak peribadi untuk berpacaran atau bermesraan dengan mana-mana lelaki yang dia ingini. Tambahan pula, dia bukan Muslim! Bagaimanapun, sebagai orang Islam kita seharusnya mempunyai neraca yang berbeza dalam penilaian moral.
Kebetulan, aku banyak membeli buku-buku terjemahan/karangan Shaykh Fuad Kamaluddin semasa majlis-majlis ceramahnya. Antara buku yang aku beli ialah terjemahan kitab Sayyid Muhammad 'Alawi yang berjudul ' al Anwar Bahiyyah min Isra wa Mi'raj Khair al Bariyyah'. Kitab ini menghimpunkan dalil-dalil yang sahih dan mutawatir tentang peristiwa Isra dan Mi'raj baginda Rasulullah SAW. Dalam Mi'raj baginda sebagai contoh, Nabi diperlihatkan oleh golongan yang menerima kehinaan seperti manusia yang menghentak-hentakkan kepala sehingga pecah dengan batu dan mengulanginya berkali-kali (balasan orang yang malas mengerjakan solat), manusia yang memamah daging busuk sedangkan di sisi mereka terdapat daging yang elok dan enak(manusia yang suka berzina) serta manusia yang berenang dalam sungai darah dan dilemparkan dengan batu (orang yang suka memakan riba). Apa yang mencuri perhatian aku ialah perbahasan tentang hikmah dan pengajaran peristiwa penting ini yang dikemukakan oleh Sayyid Muhammad 'Alawi iaitu;
Agama sebagai sumber akhlak yang hakiki.
Sebagai pengikut Ahlu Sunnah wal Jamaah, kita berpegang kepada wahyu sebagai sumber akhlak yang hakiki. Peristiwa-peristiwa aneh dan ajaib yang diperlihatkan kepada baginda SAW merupakan isyarat bahawa sumber sebenar penilaian akhlak ialah wahyu bukan naluri manusia. Banyak manusia zaman sekarang telah tertipu dengan naluri mereka hingga merubah persepsi dan penilaian terhadap akhlak. Contohnya, jika dahulu keluar berpacaran antara lelaki dan perempuan dianggap tidak sopan dan kurang manis dipandang. Namun, apabila keadaan sebegini sudah menjadi lumrah, banyak orang Islam menjadikan naluri yang terbentuk daripada lumrah sebagai hakim dalam penilaian akhlak. Maka, tidaklah begitu ramai orang yang menganggap budaya berpacaran sebagai tidak Islamik kerana sudah menjadi adat di kalangan muda-mudi sekarang. Hal yang sama juga dengan perzinaan dan status moral para pemimpin. Syariat berbeza dengan akal/lumrah atau naluri. Syariat tetap statik dan tidak berubah hingga hari kiamat. Tetapi naluri/akal manusia cenderung dipengaruhi persekitaran dan budaya semasa. Sangat mengejutkan apabila terdapat orang Islam(menjadikan naluri/akal sebagai neraca akhlak) yang beranggapan bahawa sekiranya seorang pemimpin mereka yang terlibat dalam skandal seks tetapi berkarisma dan berkemampuan 'memimpin' patut dibiarkan terus memimpin. Soal skandal adalah 'isu peribadi'. Atau isu 'dalam kelambu'. Ini adalah kejahilan. Seorang pemimpin, menteri atau calon Perdana Menteri yang diketahui berkarisma dan berkaliber tetapi mempunyai skandal seks atau rekod jenayah(seperti menculik wakil rakyat pembangkang, meletupkan manusia dengan C4) tidak boleh dinilai baik hanya kerana dia pandai bercakap atau cekap menguruskan organisasi kementerian. Baik hanya jika baik pada neraca syariat dan buruk hanyalah buruk pada kaca mata syariat. Akal/Naluri/lumrah tidak cukup untuk dijadikan sandaran. Jika anda mengaku diri sebagai Ahli Sunnah wal Jamaah, jalan inilah yang harus anda turuti. Jika akal dijadikan sandaran, maka berhati-hatilah anda. Anda mungkin telah menjadi seorang pengikut Muktazilah meskipun anda tidak pernah mengisytiharkannya!
No comments:
Post a Comment