Monday, August 24, 2009

Ahlan Ya Ramadan

Selamat menyambut bulan Ramadan kepada semua! Minta-mintalah kita dilimpahkan rahmat oleh Allah SWT sempena bulan mulia ini. Secara peribadi, saya mengharapkan pandemik Influenza A H1N1 akan berakhir dengan segera. Ini adalah harapan biasa untuk semua staf/kakitangan sektor kesihatan terutamanya di hospital-hospital kerajaan. Semenjak kematian akibat wabak ini mencecah lebih 60 orang, hospital-hospital di seluruh Malaysia begitu penuh dengan pesakit-pesakit yang panik. Kenyataan-kenyataan menteri dan pegawai kanannya tidak banyak membantu keadaan. Malaysia adalah satu-satunya negara yang begitu menggembar-gemburkan masalah Influenza A H1N1. Setiap hari menteri atau pegawai kanannya akan mengadakan sidang akbar lalu mengumumkan sekian sekian jumlah kematian akibat H1N1. Perbuatan ini menyebabkan keadaan panik di kalangan rakyat yang hanya menghidap demam, batuk atau selsema biasa. Mereka beramai-ramai mengerumuni hospital untuk memastikan adakah mereka dijangkiti, sedangkan hanya di beberapa pusat sahaja ujian untuk memastikan H1N1 ini boleh dilakukan.

Di US, UK atau Australia, Influenza A H1N1 ini hanya dianggap seperti flu atau selsema biasa. Bagi yang tidak bernasib baik seperi pesakit yang mempunyai masalah kegagalan jantung, paru-paru atau buah pinggang, keadaan mereka boleh menjadi lebih serius jika terkena virus ini. Walau bagaimanapun, kadar kematian sangat rendah. Daripada beribu-ribu yang dijangkiti hanya kurang 70 kematian di Malaysia. Jika pesakit seorang yang sihat sebelumnya tanpa masalah kesihatan, peluang untuk pulih hampir 100%.

Pak menteri dan pegawai kanannya yang sangat suka publisiti untuk kelangsungan karier politik dan perkhidmatan awam sepatutnya turut memberitahu rakyat yang kadar kematian akibat demam denggi dan kemalangan jalan raya jauh mengatasi jumlah yang mati akibat H1N1. Amat malang akibat suka mencari publisiti, kakitangan-kakitangan hospital terpaksa berhempas pulas menangani 'panic wave' yang tercetus di seluruh negara. Sudahlah cuti dibekukan, ujian diagnostik pula sangat terhad dan kemudahan begitu tidak sempurna untuk kehadiran pesakit yang bertambah berkali ganda. Mudah-mudahan masalah wabak ini akan segera pulih sempena barakah bulan Ramadan yang mulia ini.

WHO Guidelines for Pharmacological Management of Pandemic (H1N1) 2009 Influenza and other Influenza Viruses


No comments: