Thursday, November 19, 2009

Hidayah As-Salikin



Off day di Port Dickson, sangat membosankan. Kadangkala aku balik ke KL, kadangkala termanggu sendiri di sini. Memandangkan aku meyimpan banyak khazanah buku yang dibeli semasa ceramah Shaykh Fuad Kamaluddin dan semasa di KL, aku bertekad untuk menghabiskan kesemua buku-buku tersebut. Kali ini aku 'menyemak' kembali kitab yang pernah aku belajar semasa Deen Intensive Dublin 2005. Inilah kitab yang sangat banyak 'barakah' dan manfaatnya. Kalau dulu di Dublin, kami bertalaqqi kitab induknya, Bidayatul Hidayah, kali ini aku cuba menghadam syarahannya oleh Shaykh Abdul Samad Falimbani, ulama Patani yang pernah gigih berjihad dengan pena dan senjata menentang kerajaan Siam. Beliau meninggal sekitar tahun 1246H/1830M. Untuk membaca biografi beliau, sila rujuk tulisan Allahyarham Ustaz Wan Saghir di sini.

Secara jujurnya, meskipun kitab ini dianggap kitab permulaan atau 'basic kit' untuk penuntut dan salikin, aku merasakan untuk beramal dengannya adalah satu perkara yang cukup mencabar. Jika seseorang Muslim berjaya mengamalkan seratus peratus perkara yang dihuraikan dalam kitab ini, dia boleh dianggap sebagai sebaik-baik manusia!

Kitab yang asalnya ditulis dalam tulisan Jawi dengan dialek Patani telahpun diterjemah dalam tulisan Rumi oleh Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam an-Nadwi al-Maliki(HafizahUllah). Kitab yang beliau edit ini boleh dianggap baik dan boleh difahami, meskipun ada sesetengah transliterasinya agak janggal dan memerlukan penelitian untuk difahami.

Nasihat-nasihat yang dinukilkan oleh Imam Ghazali meskipun sudah ratusan tahun, jika direnungi masih banyak yang relevan hingga ke hari ini. Contohnya;

" Barangsiapa yang bercampur akan orang yang baru belajar ilmu fiqih pada masa ini nescaya ghalib atas tabiatnya itu berbantah-bantah pada bicara masalah ilmu dan mencela akan perkataan orang dan susah atasnya diam, kerana menjatuhkan kepadanya oleh orang alim yang jahat itu bahawa yang demikian itu yaitu menjadi kelebihan dan kemegahan dan bahawa kuasa atas mendirikan dalil dan kuasa atas membantahi perkataan orang. Dan kuasa atas menjawab perkataan orang itu yang dapat kepujiaan dengan dia, maka hendaklah kau lari dari mereka itu seperti lari dari harimau.."

Maksudnya, jangan terlalu bergaul dengan ulama fiqh semata-mata yang terlalu fokus terhadap masalah-masalah fiqh sahaja lantas gemar menggunakan ilmu mereka untuk menjatuhkan pendapat lawan dan mencetuskan polemik. Bahkan perbalahan idea dan pendapat dijadikan platform untuk menonjolkan kelebihan ilmu dan hujah masing-masing. Bukankah ini yang berlaku pada zaman ini?

Mudah-mudahan dengan keberkatan bulan Zulhijjah ini, kita diberikan kekuatan oleh Allah SWT untuk beramal dengan kandungan kitab yang penuh 'barakah' ini.

No comments: