Tuesday, October 26, 2010

Darul Mustafa Malaysia

Hari ini, aku berjumpa dengan teman dan guru, Ustaz Fauzi Hadrami di HKL. Sudah beberapa tahun tidak berjumpa, sepatutnya banyak perkara yang mahu dibualkan. Tapi aku terpaksa bergegas untuk ke ICU kerana kerja yang masih tidak berkesudahan.

Dalam masa yang singkat itu, kami sempat juga bertanya-tanya khabar. Beliau kini di KUIS, jadi tenaga pengajar. Kami sempat berbual tentang kedatangan Habib Umar ke tanahair tempoh hari.Semasa kemuncak sambutan Haul Imam Haddad di Shah ALam, Ustaz Fauzi tidak hadir. Beliau menceritakan bahawa pada sebelah siangnya, Habib Umar dan beberapa anak muridnya bermesyuarat tentang satu agenda yang sangat penting: penubuhan Madrasah Darul Mustafa di Malaysia.

Buat masa sekarang, madrasah ini akan berteduh sementara di Madras an-Nur sebelum lokasi dan bangunan sebenar madrasah didirikan. Yang paling penting, para Habaib dan Masyaikh dari Yaman akan dibawa untuk menjadi tenaga pengajar di sana kelak. Di Malaysia, memang terdapat banyak sekolah-sekolah pondok dan madrasah-madrasah tradisional. Kebanyakannya di negeri Kelantan, Kedah, Pualau Pinang dan Perak. Sistem pengajian pula, terutama di Kelantan mengikut acuan pondok-pondok di Fathani Darul Salam. Pengaruh madrasah-madrasah di Mekah juga begitu ketara memandangkan kebanyakan tok guru pondok mendapat pendidikan formal di sana.

Penubuhan Madrasah Darul Mustafa ini diharapkan akan mengeratkan lagi hubungan keilmuan dan keimanan umat Islam Malaysia dengan saudara-saudara kita di Yaman, khususnya Hadhramawt. Tidak dapat disangkal lagi, Islam tersebar ke Nusantara dengan kegigihan alim ulama dan saudagar dari Tanah Arab, terutamanya dari Yaman sejak sebelum zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Oleh itu, tidak hairanlah umat Islam di Malaysia bermazhab Shafi'i dan mengikut mazhab aqidah Imam Asha'ari, seperti umat Islam di Hadramawt. Madrasah Darul Mustafa ini diharap dapat menawarkan ruang alternatif dalam pendidikan Islam secara tradisional seperti model sebenarnya di Tarim, Hadramawt. Pembukaannya pasti ditunggu-tunggu oleh para pecinta ilmu dan ulama di tanahair.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Ustaz Fauzi kini akan membuka satu kelas pengajian di Kuala Lumpur.
Selepas musim haji, beliau akan mengajar di masjid/pusat tahfiz yang terletak di belakang bangunan NAZA di Kg Baru.
Ada beberapa kitab yang akan diajar (masih dalam pertimbangan):

1) Hadith: Kitab Sahih Bukhari
2) Tasawwuf: Minhaj Abidin oleh Imam Ghazali
3) Fiqh: Minhaj at-Talibin oleh Imam Nawawi.

Bagaimanapun, pengajian ini disasarkan untuk para imam atau kiyai yang sudah ada 'basic ' dalam pengajian Islam. Kitab 'Minhaj Talibin' misalnya, adalah kitab fiqh mazhab Shafi'i peringkat tinggi. Kelas akan diadakan hari Jumaat malam Sabtu. Mudah-mudahan diberikan taufiq oleh Allah SWT untuk hadir nanti!


No comments: