Saturday, December 04, 2010

Pandai Bahasa

Untuk menipu, kita perlukan bantuan pakar-pakar bahasa. Akhbar harian menonjolkan contoh yang sempurna sekali;




SUBSIDI PETROL, DIESEL. GULA, LPG DIKURANGKAN ESOK ( Berita Harian)

Subsidi bagi petrol RON95 dan diesel dikurangkan sebanyak 5 sen seliter, Gas Cecair Petroleum (LPG) sebanyak 5 sen sekilogram dan gula sebanyak 20 sen sekilogram mulai esok.

Berikutan penyelarasan jumlah subsidi itu, harga petrol RON95 kini ialah RM1.90 seliter, diesel RM1.80 seliter, LPG RM1.90 sekilogram dan gula RM2.10 sekilogram.

Subsidi bahan api, gula diselaras (Utusan Malaysia)

KUALA LUMPUR 3 Dis. - Kerajaan hari ini mengumumkan pengurangan subsidi sebanyak lima sen bagi setiap liter petrol RON 95 dan diesel, lima sen setiap kilogram (kg) bagi Gas Asli Cecair (LPG) dan 20 sen sekilogram bagi gula berkuat kuasa esok.
Berikutan pengurangan subsidi itu, harga petrol RON95 adalah RM1.90 seliter, diesel RM1.80 seliter, LPG RM1.90 satu kg dan gula RM2.10 satu kg.
Pengumuman tentang rasionalisasi subsidi itu dibuat melalui kenyataan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Jabatan Perdana Menteri.
Menurut kenyataan itu, penyelarasan harga runcit bagi semua barangan berkenaan di Malaysia masih rendah berbanding negara jiran Indonesia, Singapura dan Thailand.
Sebagai contoh, petrol RON95 berharga RM2.46 seliter di Indonesia, RM4.36 di Singapura dan RM4.25 di Thailand, manakala harga diesel pula RM2.50 seliter di Indonesia, RM3.18 di Singapura dan RM2.96 di Thailand.
Harga LPG pula RM2 bagi satu kg di Indonesia, RM6.42 di Singapura dan RM1.93 di Thailand, manakala harga gula RM3.50 bagi satu kg di Indonesia, RM3.80 di Singapura dan RM2.80 di Thailand.
Langkah pertama program rasionalisasi subsidi dilaksanakan pada 16 Julai apabila subsidi bagi petrol RON95 petrol dan diesel dikurangkan sebanyak lima sen seliter, 10 sen bagi satu kg untuk LPG dan 25 sen bagi satu kg gula.
Menurut kenyataan itu lagi, rasionalisasi subsidi perlu dilakukan kerana kerajaan mendapati ia perlu terus mengurus kedudukan fiskalnya dengan cara meningkatkan jumlah kutipan hasil dan pada masa sama, mengurangkan perbelanjaan.
Program Transformasi Ekonomi (ETP) bertujuan meningkatkan per kapita Pendapatan Dalam Negara Kasar (PDNK) kepada AS$15,000 menjelang 2020, tambah kenyataan itu.
Untuk mencapai sasaran tersebut, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) perlu berkembang sekurang-kurangnya enam peratus setahun bagi membolehkan hasil yang diperoleh kerajaan meningkat melalui kutipan cukai.
Program Transformasi Kerajaan (GTP) dilaksanakan untuk menangani isu dalam enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan daripada enam bidang itu, NKRA mengenai kemiskinan, infrastruktur asas luar bandar dan pendidikan awal dengan jelas memberi kesan terhadap 40 peratus penduduk peringkat bawah di negara ini, tambah kenyataan itu.
Sebagai contoh, sejak Januari tahun ini, kerajaan telah membina 538 km jalan luar bandar, 260 peratus lebih banyak berbanding tahun lepas, membuka 1,358 kelas prasekolah yang memberi manfaat kepada 54,569 kanak-kanak dan mengurangkan jumlah isi rumah miskin tegar sebanyak 55 peratus.
Kenyataan itu turut menegaskan bahawa di bawah GTP, kerajaan memberi keutamaan terhadap kebajikan golongan miskin. - Bernama



Bahasa yang digunapakai ialah 'pengurangan subsidi', 'rasionalisasi', penyelarasan harga. Tiada sepatah haram pun perkataan 'naik harga' digunakan.

Agak-agaknya nak menipu makcik-makcik FELDA ataupun nak kelentong rakyat yang tak pandai membaca?

1 comment:

thefourtharif said...

Seriously a good point. Even me who taught Bahasa Melayu in school before this didn't realize that. Wonder what's up their sleeves next..

ps: dah lama tidak dengar kabar berita from you... best wishes..