Saturday, August 31, 2013

Acheh

Masjid Baiturrahman
Ramadan lepas, aku berkelana ke Acheh bersama saudara Jhaznarul. Ini ziarah kali kedua untuk tahun ini selepas Vietnam. Hujung minggu di Acheh tidaklah sepadat atau sesibuk di Jakarta, Bandung atau Kuala Lumpur. Banda Acheh bukanlah kota metropolis. Malahan kegemilangan Acheh sebagai kota dagangan terkemuka Asia Tenggara sudah lama pudar.

Dalam kitab-kitab atau manuskrip lama Arab, Acheh disebut 'Asyi'. Empayar Acheh diasaskan oleh Sultan Ali Mughayat Syah pada tahun 1514 hingga 1530. Periode ini menyaksikan nasib malang menimpa umat Islam di Asia Tenggara apabila Portugis berjaya menakluki dan menjatuhkan Kesultanan Melayu Melaka. Menurut catatan Shihab al-Din Ahmad Ibn Majid, ketua navigasi ekspedisi Vasco da Gama ke India, keadaan masyarakat Islam di Melaka pada pertengahan kurun ke 15 amatlah menyedihkan. Menurut beliau, amat sukar membezakan umat Islam daripada golongan kuffar kerana rata-rata anggota masyarakat  mengalami kebejatan moral. Lelaki Muslim Melaka berkahwin dengan wanita kafir, arak diminum secara terbuka di pasar-pasar malahan daging anjing turut dimakan oleh umat Islam. Kenyataan ini boleh dibaca dalam buku Syed Muhammad Naquib al-Attas, 'A Commentary on Hujjat as-Siddiq of Nur al-Din Al-Raniri' yang diterbitkan pada tahun 1987. Kerusakan moral masyarakat Islam di Melaka membawa petaka apabila Kesultanan ini diranapkan oleh bala tentera Portugis pada tahun 1511.

Bencana yang dibawa oleh Portugis ini, bagaimanapun membawa hikmah besar terhadap umat Islam. Kejatuhan Melaka menandakan permulaan zaman keemasan Acheh yang mengambil alih kedudukan Melaka sebagai kota pelabuhan dan pusat penyebaran Islam di Asia Tenggara. Menurut Shaykh Zainuddin Malibari al-Makhdum dalam kitab 'Tuhfah al-Mujahidin', Sultan Ali Mughayat Syah adalah salah seorang pemerintah Islam yang berani melakukan penentangan terhadap kuasa Portugis selain Zamorin di India. Baginda menakluk hampir keseluruhan Sumatera termasuk Pedir dan Pasai, sekaligus menahan perluasan kuasa Portugis di Nusantara.

Maqam-maqam Sultan Acheh dan kerabat diraja

Usaha -usaha untuk menekan kuasa Portugis masih berterusan hinggalah pada zaman Sultan Iskandar Muda pada tahun 1607-1637. Baginda menakluk Deli (1610), Johor (1613), Pahang (1616), Kedah (1619), Perak (1620) dan Nias (1624). Cubaan baginda untuk merampas Melaka bagaimanapun tidak berjaya pada tahun 1629. Baginda adalah seorang sultan yang 'adil dan soleh serta gemar menyantuni para 'ulama. Bahkan penaklukan wilayah-wilayah yang disebutkan ini bukanlah untuk perluasan kekuasaan semata-mata. Baginda menegakkan pemerintahan dan undang-undang Islam secara bertulis dalam Empayar Acheh. Antara ulama yang menjadi tulang belakang kerajaan Acheh ialah Shaykh al-Islam Nuruddin al-Raniri. Kitab 'Sirat al-Mustaqim' karya Nuruddin al-Raniri turut dihantar ke Kedah untuk dijadikan rujukan umat Islam di sana.
Maqam Sultan Iskandar Muda, Po Teuh Meureuhum, Marhum Mahkota Alam

Setelah menawan kerajaan Pahang pada tahun 1616, Sultan Iskandar Muda turut membawa pulang anak kepada Sultan Ahmad Shah dari Pahang. Putera Pahang ini kemudiannya dikahwinkan dengan salah seorang puteri baginda dan akhirnya mewarisi takhta kerajaan Acheh sebagai Sultan Iskandar Thani 'Ala al-Din Mughayat Syah. Sultan Iskandar Muda juga mengahwini salah seorang puteri dari kerajaan Pahang. Sehingga kini, binaan dan taman yang dibina oleh baginda untuk puteri tersebut masih wujud.

Binaan Putroe Pahang
Boleh dikatakan bahawa pemerintahan Iskandar Muda adalah kemuncak zaman keemasan empayar Acheh. Acheh merupakan kerajaan Islam yang ke-4 terbesar dan terkuat di dunia pada waktu itu. Hubungan diplomatik antara Acheh dan Turki Uthmaniyya terjalin erat sekaligus meletakkan Acheh sebagai sekutu kerajaan Uthmaniyya di Timur Jauh. Pengaruh Turki di Acheh juga dapat dilihat daripada tinggalan manuskrip 'Risalah Masail al-Muhtadi lil Ikhwanil al-Muhtadi' yang dikarang oleh Shaykh Daud bin Ismail bin Mustafa al-Rumi yang merupakan ulama asal Turki, guru kepada Shaykh Abdul Rauf Singkili (Tengkue Syiah Kuala).

Malang sekali banyak warisan tinggalan para ulama Acheh yang musnah sewaktu peristiwa tsunami pada tahun 2004. Pusat Dokumentasi dan Informasi Acheh ranap sepenuhnya, menyebabkan kita kehilangan sejumlah besar manuskrip-manuskrip lama Acheh. Bagaimanapun, masih banyak manuskrip-manuskrip lama Acheh yang terselamat seperti di Dayah Tanoh Abee. Usaha-usaha untuk menyelamatkan warisan Acheh ini giat dijalankan. Antaranya usaha penyenaraian manuskrip-manuskrip lama ini di dalam katalog seperti yang dilakukan oleh Toyota Foundation. Untuk mengetahui lebih lanjut, bolehlah mendapatkan 'Katalog Dayah Tanoh Abee Acheh Besar' yang disusun oleh Oman Fathurahman dan Toru Aoyama

Maqam Tengkue Syiah Kuala, Shaykh Abdul Rauf Singkili pengarang tafsir terjemahan Melayu pertama, 'Tarjuman al-Mustafid'.