Masjid Baiturrahman |
Dalam kitab-kitab atau manuskrip lama Arab, Acheh disebut 'Asyi'. Empayar Acheh diasaskan oleh Sultan Ali Mughayat Syah pada tahun 1514 hingga 1530. Periode ini menyaksikan nasib malang menimpa umat Islam di Asia Tenggara apabila Portugis berjaya menakluki dan menjatuhkan Kesultanan Melayu Melaka. Menurut catatan Shihab al-Din Ahmad Ibn Majid, ketua navigasi ekspedisi Vasco da Gama ke India, keadaan masyarakat Islam di Melaka pada pertengahan kurun ke 15 amatlah menyedihkan. Menurut beliau, amat sukar membezakan umat Islam daripada golongan kuffar kerana rata-rata anggota masyarakat mengalami kebejatan moral. Lelaki Muslim Melaka berkahwin dengan wanita kafir, arak diminum secara terbuka di pasar-pasar malahan daging anjing turut dimakan oleh umat Islam. Kenyataan ini boleh dibaca dalam buku Syed Muhammad Naquib al-Attas, 'A Commentary on Hujjat as-Siddiq of Nur al-Din Al-Raniri' yang diterbitkan pada tahun 1987. Kerusakan moral masyarakat Islam di Melaka membawa petaka apabila Kesultanan ini diranapkan oleh bala tentera Portugis pada tahun 1511.
Bencana yang dibawa oleh Portugis ini, bagaimanapun membawa hikmah besar terhadap umat Islam. Kejatuhan Melaka menandakan permulaan zaman keemasan Acheh yang mengambil alih kedudukan Melaka sebagai kota pelabuhan dan pusat penyebaran Islam di Asia Tenggara. Menurut Shaykh Zainuddin Malibari al-Makhdum dalam kitab 'Tuhfah al-Mujahidin', Sultan Ali Mughayat Syah adalah salah seorang pemerintah Islam yang berani melakukan penentangan terhadap kuasa Portugis selain Zamorin di India. Baginda menakluk hampir keseluruhan Sumatera termasuk Pedir dan Pasai, sekaligus menahan perluasan kuasa Portugis di Nusantara.
Maqam-maqam Sultan Acheh dan kerabat diraja
Setelah menawan kerajaan Pahang pada tahun 1616, Sultan Iskandar Muda turut membawa pulang anak kepada Sultan Ahmad Shah dari Pahang. Putera Pahang ini kemudiannya dikahwinkan dengan salah seorang puteri baginda dan akhirnya mewarisi takhta kerajaan Acheh sebagai Sultan Iskandar Thani 'Ala al-Din Mughayat Syah. Sultan Iskandar Muda juga mengahwini salah seorang puteri dari kerajaan Pahang. Sehingga kini, binaan dan taman yang dibina oleh baginda untuk puteri tersebut masih wujud.
Binaan Putroe Pahang |
Malang sekali banyak warisan tinggalan para ulama Acheh yang musnah sewaktu peristiwa tsunami pada tahun 2004. Pusat Dokumentasi dan Informasi Acheh ranap sepenuhnya, menyebabkan kita kehilangan sejumlah besar manuskrip-manuskrip lama Acheh. Bagaimanapun, masih banyak manuskrip-manuskrip lama Acheh yang terselamat seperti di Dayah Tanoh Abee. Usaha-usaha untuk menyelamatkan warisan Acheh ini giat dijalankan. Antaranya usaha penyenaraian manuskrip-manuskrip lama ini di dalam katalog seperti yang dilakukan oleh Toyota Foundation. Untuk mengetahui lebih lanjut, bolehlah mendapatkan 'Katalog Dayah Tanoh Abee Acheh Besar' yang disusun oleh Oman Fathurahman dan Toru Aoyama
Maqam Tengkue Syiah Kuala, Shaykh Abdul Rauf Singkili pengarang tafsir terjemahan Melayu pertama, 'Tarjuman al-Mustafid'. |
No comments:
Post a Comment