Dublin sekarang masih demam pilihanraya.Televisyen sentiasa menayangkan info-info terkini kemenangan calon-calon pilihanraya daripada parti-parti seperti Fianna Fail, Labour, PD, Green Party dan Sinn Fein.Iklim pilihanraya di sini sangat berbeza dengan pilihanraya di tanahair.Di mana-mana negara dunia ketiga, pemimpin-pemimpin mereka sentiasa melaung-laungkan slogan demokrasi. Malang sekali, slogan sebegini hanya kuah tanpa inti.
Jika dilihat di Ireland, demokrasi yang diamalkan adalah menepati ciri-ciri demokrasi tulen yang seharusnya diamalkan di negara-negara dunia ketiga. Antara semangat demokrasi yang sangat ditonjolkan di sini ialah kebebasan media melapor dan menyiarkan berita, wawancara dan maklumat daripada semua parti yang bertanding. Saluran milik kerajaan seperti RTE (sinonim dengan RTM di Malaysia) terus-terusan menyiarkan program debat antara calon-calon dan wawancara bersama pemimpin-pemimpin parti yang bertanding tanpa bias. Amatlah menghiburkan bagi penduduk untuk melihat dan menilai polisi-polisi yang ditawarkan kepada mereka oleh pimpinan parti yang masuk gelanggang pilihanraya.
Bagi pelajar-pelajar Malaysia, situasi ini adalah sangat asing kerana suasana kebebasan media tidak dimiliki di Malaysia. Seingat saya, tidak pernah semasa kempen pilihanraya pemimpin-pemimpin pembangkang seperti Abdul Hadi Awang, Lim Kit Siang atau Wan Azizah Wan Ismail ditemuramah oleh RTM. Jika ada, saya rasa mungkin dunia akan kiamat!!!
Apakah keuntungan rakyat jika media bebas melaporkan semua isu berkaitan pentadbiran atau pilihanraya?Jawapannya cukup mudah.Kita boleh menilai polisi dan dasar yang ditawarkan oleh semua parti yang berentap lantas memilih parti manakah yang paling layak untuk diundi. Di Ireland, beberapa isu yang menyelubungi PD menyebabkan pemimpin mereka, Michael McDowell tersungkur dengan majoriti 300 undi. McDowell ialah Tanaiste atau setaraf dengan Timbalan Perdana Menteri di Malaysia. Di Malaysia agak mustahil untuk Timbalan Perdana Menteri disingkirkan sebegini tetapi di Ireland perkara sebegini memang mudah terjadi.
Sementara itu, sebagaimana yang dijangkakan, Bertie Ahern masih popular dan Fianna Fail masih mendahului dengan 74 kerusi. Keputusan di beberapa tempat seperti Donegal North-East, Cork South Central, Mayo, Wicklow, Carlow-Kilkenny dan Tipperary North masih belum diketahui tetapi FF sudah hampir pasti mampu membentuk ikatan dengan mana-mana parti untuk kerajaan campuran. Dalam senario politik Ireland, Bertie Ahern hampir mustahil ditewaskan. Selama memegang kerajaan selama 2 penggal, ekonomi Ireland meningkat dengan kadar yang memberangsangkan. Sebahagian besar daripada kesan memasuki EU dan dasar-dasar yang menggalakkan FDI.
Sesekali difikirkan, bila agaknya politik di Malaysia akan menjadi sematang Ireland? Kempen-kempen sepanjang pilihanraya hanya menjurus kepada perdebatan polisi-polisi yang hendak ditawarkan kepada rakyat, bukan kempen kebudak-budakan apatah lagi serangan-serangan peribadi kepada calon-calon lawan. Jalan untuk pendemokrasian Malaysia masih panjang dan setakat ini masih belum nampak penghujungnya...
1 comment:
setuju..mesia masih mentah dlm bab demokrasi. one of the component in 9thMP ada sebut pasal nurturing 1st class mentality! tp sayang pemimpin kite pon lom instill 1st class mentality.
dlm parliament, bertelagah kalah bdak darjah satu!
Post a Comment