Sunday, March 01, 2009

PAS dan Bahasa Ibunda


Bagi menghabiskan masa-masa kebosanan di Seremban, aku mengkhatamkan lebih kurang lima judul buku sepanjang empat bulan yang lepas. Malang sekali, 'kuasa' membaca yang ada pada aku sudah tidak sekuat semasa zaman-zaman mahasiswa dahulu.  Antara buku yang aku 'langsai'kan pada kali ini ialah Islam and Sekularism oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas Memoir Shamsiah Fakeh: Dari AWAS ke Regimen ke 10, Inilah Jalanku karya Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki, Al-Maliki: Ulama Rabbani Abad ke-21 karya Shaykh Fuad Kamaluddin. 

 

Buku Syed Naquib sememangnya karya ‘masterpiece’. Aku juga sangat ‘terseksa’ untuk menghabiskannya. Mungkin kerana tahap intelektual aku yang sudah merudum atau buku ini sangat sukar dibaca oleh orang awam yang tidak punya latar belakang pengetahuan tentang falsafah dan kebudayaan serta pemikiran Islam. Memoir Shamsiah Fakeh aku habiskan beberapa hari sebelum pemergian beliau  ke Rahmatullah. Sayang sekali pemergian srikandi seperti beliau tidak begitu mendapat liputan luas media. Aku teringin sekali untuk menulis sedikit sebanyak ulasan terhadap buku tersebut. Malangnya sehingga sekarang aku masih kesuntukan masa. 

Buku Inilah Jalanku ialah karya Sayyid Muhammad Alawi yang diterjemahkan daripada naskhah Arab berjudul 'Qul Hadhihi Sabili'. Naskhah Arabnya juga ada dalam tangan aku yang dihadiahkan ketika aku menziarahi madarasah Almarhum di Rusayfah ketika mengerjakan umrah pada musim panas tahun 2006. Buku ini adalah himpunan ilmu-ilmu fardhu ain meliputi ilmu aqidah, fiqh dan tasawwuf yang diringkaskan. Meskipun ringkas, kandungan sangat padat dan bernas. Kita boleh melihat'tendency' tasawwuf yang jelas pada method penulisan Almarhum. Buku ketiga ialah manaqib atau biografi Sayyid Muhammad Alawi yang dinukilkan oleh Shaykh Fuad Kamaluddin. Buku ini sangat bernilai kerana buku tidak dijual oleh mana-mana kedai buku melainkan oleh Yayasan Sofa. Dalam buku ini diceritakan riwayat hidup Sayyid Muhammad Alawi, keluarganya dan permusafirannya menuntut ilmu. Turut dimuatkan ialah rantaian sanad-sanad ilmunya daripada ratusan para masyaikh dan sanad-sanad kitab-kitab hadith utama yang yang dimiliki oleh Almarhum. Di akhir kitab ini dimuatkan zikir-zikir yang dihimpunkan oleh Almarhum untuk diamalkan oleh penuntut madrasah beliau. Aku sangat menyarankan agar mereka yang berkesempatan mengikuti pengajian-pengajian Shaykh Fuad agar membeli kitab yang amat bernilai ini. Ini buku terbaik untuk memahami latar belakang dan manhaj yang dibawa Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki.




Almarhum Prof Zulkifli Muhammad

Buku ke-4 yang aku habiskan (akhirnya) ialah buku yang sangat bermakna. Buku ini:Pemikiran Bahasa & Sastera Zulkifli Muhammad Dari Perspektif Islam, dikarang oleh Talib Samat yang menilai dan membahaskan pemikiran Prof Zulkifli Muhammad bekas Naib Yang DiPertua PAS daripada karya-karya sastera beliau. Apa yang menarik, selain memuatkan biografi Prof Zulkifli yang dianggap sebagai 'genius' Melayu pada zamannya, buku ini turut melontarkan idea Prof Zulkifli  tentang bahasa Melayu yang masih relevan hingga kini. Prof Zulkifli, bekas mahasiswa Al-Azhar dan American University di Kaherah, Mesir merupakan tokoh terkemuka dalam PAS. Beliau sejak kecilnya cacat sebelah tubuhnya kerana penyakit polio tetapi akhirnya menjadi masyhur sebagai ahli politik, pemidato, penyair dan ahli fikir yang ulung. Pemergiannya dalam usia yang cukup muda merupakan kehilangan besar pada tanahair. Beliau meninggal dunia pada usia 36 tahun setelah terbabit dalam kemalangan jalanraya di Kuantan, Pahang. Isterinya turut terkorban dalam nahas yang sama. Ketika menuntut di MCKK, salah seorang ustaz aku pernah menceritakan bahawa kemalangan beliau sebenarnya adalah pembunuhan terancang yang memang sudah diatur oleh Parti Perikatan yang memerintah. Benar atau tidak, tiada sesiapa yang mampu membuktikannya.

 

Beberapa hari kebelakangan ni, kedengaran suara-suara bantahan yang memuncak terhadap perlaksanaan penggunaan bahasa Inggeris dan subjek sains dan matematik. Majoriti ahli bahasa sememangnya tidak setuju dengan dasar ini. Me'nyah'kan bahasa Melayu daripada subjek ilmiah seperti sains dan matematik akan menghapus rasa hormat bangsa lain dan bangsa Melayu sendiri terhadap bahasa kebangsaan. Dalam konteks ini Prof Zulkifli menulis;

 

" Saki-baki penjajahan dalam merendahkan bahasa kita masih ada sekarang ini dan akan berkepanjangan sekiranya dibiarkan. Jadi, soal pertama kita ialah menghapuskan rasa memandang rendah kepada bahasa Melayu daripada tiap-tiap rakyat negeri ini terutama orang-orang Melayu. Jangan ada seorang pun merasa syak akan kesanggupan bahasa Melayu..."


Masalah dengan orang Melayu ialah kita terlalu terhegeh-hegeh, mengada-ngada dan ingin sekali dilihat 'ada class' dengan bertutur dalam bahasa Inggeris. Kemampuan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dilihat sebagai tanda aras kemajuan atau ketinggian ilmu. Pendapat ini tidaklah benar 100%. Berlambak-lambak negara di dalam dunia ini masih maju walaupun para pemimpin dan rakyat mereka tidak fasih bahasa Inggeris dan hanya mengetahui bahasa ibunda mereka sahaja. Jepun, Perancis dan Jerman adalah contoh yang baik. Perspektif yang mengagung-agungkan bahasa Inggeris sehingga terlebih 'Inggeris' menjadikan bahasa ini sebagai pengantar dalam subjek sains tidak lain adalah satu akibat 'inferiority complex' yang terhasil dari minda yang terjajah. Berbeza dengan negara jiran kita, Indonesia, pemerintah Malaysia (yang dikepalai oleh UMNO) gagal memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Hasilnya, sekolah-sekolah vernakular masih subur dan terlalu ramai bangsa bukan Melayu yang masih tidak fasih berbahasa Melayu. Kalau di PPUM dahulu, aku pernah terjumpa beberapa pesakit belasan tahun yang tak begitu reti bercakap bahasa Melayu. Yang dia pandai cuma beberapa kerat perkataan seperti, “Tolong”, “Telima Kasih” dan “ Manyak Sakit !”. Menurut pendapat sahabat-sahabat lain yang bekerja di Pulau Pinang, keadaan jauh di sana lebih teruk! Kegagalan mewujudkan satu bahasa rasmi yang dituturkan dan dihormati menyebabkab proses ke arah perpaduan dan pembentukan ‘Bangsa Malaysia”  satu proses yang terencat dan kemungkinan besar akan gagal. Bangsa-bangsa bukan Melayu di Malaysia secara hakikatnya tidaklah begitu berminat dan mencintai bahasa ini. Ini kerana tiada galakan dan penguatkuasaan yang bersungguh-sungguh untuk memartabatkan bahasa kebangsaan. Kebanyakan mereka hanya belajar bahasa Melayu kerana bahasa ini dijadikan subjek wajib di sekolah-sekolah. Matlamat pembelajaran hanya untuk lulus periksa semata-mata.Dahulu peperiksaan besar seperti SPM menggunakan sistem aggregate yang mewajibkan gred bahasa Melayu dikira dalam aggregate keseluruhan. Sejak pengenalan sijil terbuka, peranan bahasa Melayu dalam peperiksaan sendiripun sudah tidak begitu relevan.

 

Berbeza di Indonesia di mana seluruh rakyatnya mempunyai kebanggaan dengan bahasaIndonesia. Hasilnya, teman-teman berbangsa Cina dari Indonesia jauh lebih fasih bahasa Melayu berbanding dengan bangsa Cina di Malaysia.  Malah, fenomena ini menjadikan aktiviti kesusasteraan di Indoneisa lebih subur berbanding Malaysia. Hal ini telah diperhatikan oleh Prof Zulkifli;

“ Sesudah perang besar kedua perkembangan bahasa Melayu di Indonesia telah lebih pesat dan dengan kemerdekaan Indonesia bahasa itupun mendapat tempat yang penuh kedaulatan dan kekuatan. Semua itu terzahir dalam pegaruh bahasa itu di situ dan dalam isi kesusasteraan yang subur dari satu masa ke satu masa…”

 

Pasca kemerdekaan, bangsa Indonesia terus kekal dengan kebanggaan terhadap bahasa Melayu. Keadaan menjadi sebaliknya di tanah seberang iaitu Malaysia. Keadaan dan status bahasa Melayu  menjadi parah apabila Dr Mahathir memperkenalkan dasar ‘separuh masak’ dan penuh tergesa-gesa dengan perlaksanaan pengajaran subjek sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Sebenarnya tiada sesiapa  membantah jika mana-mana anak Melayu ingin memperkasa bahasa Inggeris atau apa sahaja bahasa yang wujud di atas muka bumi. Namun, perlaksanaan ini akan merendahkan martabat dan persepsi bangsa bukan Melayu dan Melayu sendiri terhadap bahasa kebangsaan. Apakah bahasa Melayu tidak layak dijadikan bahasa ilmiah? Dalam kotenks ini, Prof Zulkifli menulis;

 

“….Ada orang akan bersungut kecil tentang tak adanya istilah-istilah ilmiah dalam bahasa Melayu. Ya! Sekarang itu memanglah bahasa Melayu belum dilengkapkan. Bukankah bahasa Melayu telah lama dibenam penjajah? Hakikat ini janganlah dilupakan. Lagipun kita janganlah Cuma reungkan keadaan bahasa Melayu yang ada. Yang menjadi soal ialah kesanggupan bahasa itu sendiri untuk subur. Hal ini tidaklah menyusahkan kita sebab bahasa Melayu yang sudah berpuluh kurun itu, memang sanggup melayakkan dirinya dan subur hingga membolehkannya menjadi bahasa kebangsaan bagi negeri kita ini dengan erti kata penuhnya….”

 

Apa yang diramalkan oleh Prof Zulkifli tentang ‘kesanggupan’ atau kesediaan bahasa Melayu untuk menambah perbendaharaannya bagi menjadi bahasa ilmiah telahpun berlangsung dengan pesat selepas kemerdekaan Tanah Melayu. Penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka dan Universiti Kebangsaan Malaysia merancakkan lagi proses terjemahan dan penggunaan bahasa kebangsaan dalam subjek-subjek ilmiah, sains dan matematik. Malang sekali, perlaksanaan pengajaran subjek sains dan matematik dalam bahasa Inggeris adalah langkah ke belakang dan menafikan penat lelah para ilmuan Melayu dalam memperkayakan bahasa ini.

 

Dalam isu pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, pujian harus diberikan kepada tokoh-tokoh bahasa yang bangkit menentang dasar kerajaan yang tergesa-gesa ini. Malahan mereka mengambil platform PAS untuk memperjuangkan nasib bahasa Melayu. Pilihan ini adalah yang terbaik kerana wacana pemikiran Prof Zulkifli Muhammad memperlihatkan aspirasi PAS untuk mendaulatkan bahasa Melayu sejak sekian lama. Sasterawan Negara, A. Samad Said dalam kenyataannya mengatakan beliau sudah ‘bertaubat’ daripada berdiam diri terhadap dasar-dasar kerajaan yang ‘menguburkan’ bahasa Melayu. Langkah berani ini akan membuka satu lagi konfrontasi dan protes terbuka terhadap kerajaan BN yang sudah bermasalah sejak pilihanraya umum lalu. Siapakah yang akan mengalah dalam isu bahasa ini? Sanggupkah BN mempertaruh keyakinan rakyat dan orang Melayu yang makin terhakis dengan meneruskan dasar ini? Masa akan menentukan dan selagi itu perjuangan mendaulatkan bahasa ini masih akan berpanjangan.

2 comments:

Anonymous said...

Salaam,
Antara hujah2 lain:
http://tehranifaisal.blogspot.com/2009/03/bahasa-zat-kita.html

dhuat79 said...

http://kaset79.blogspot.com/2009/03/rud-17-ppsmi-pedulikah-anda.html