Monday, March 08, 2010

Kuliah Hikam

Semalam, aku singgah ke masjid TTDi untuk solat Maghrib berjemaah. Kebetulan, ada kuliah mingguan oleh Dr Zulkifli al-Bakri. Selama ini aku berhajat untuk hadir ke majlis kuliahnya di Port Dickson, Isnin malam Selasa. Malangnya, aku tak pernah berkesempatan.
Masya Allah, aku boleh rasakan kelembutan dan ketenangan yang cukup luar biasa dalam kuliah beliau.Tidak dinafikan ada ramai para ustaz dan tuan guru yang mengajar di masjid-masjid di sekitar Lembah Klang. Namun, ustaz Zulkifli ini agak istimewa. Mungkin kerana tendency tasawwuf yang agak terpancar melalui ceramah-ceramahnya. Anak murid Shaykh Salih Farfur, Shaykh Rusdi dan Shaykh Hassan Habanakah dari Syria ini mempunyai daya tarikan tersendiri di sebalik ketenangan dan kelembutan tutur katanya.
Semalam, beliau membahaskan kitab yang beliau karang yang diberi judul 'Ahasin Kalim Syarah al-Hikam'. Kitab ini merupakan syarahan kontemporori Hikam Ibn Ata illah al-Sakandari.Dr Zulkifli membahaskan nama-nama lain bagi tasawwuf. Ini termasuklah;


Ilmu Tazkiyah
Ilmu Suluk
Ilmu Batin
Ilmu Sirr
Ilmu Zauq
Ilmu Ladunni (yang pernah disebutkan dalam surah al-Kahfi)
Ilmu Kasyaf
Ilmu Ihsan
Ilmu Ikhlas

Syakh Dahlan al-Kadiri pernah menyebut dalam kitabnya 'Siraj al-Talibin' bahawa hukum belajar ilmu tasawwuf ialah wajib ain. Ini kerana, seperti kata Syakh Syazili, "Siapa yang tidak menceburi ilmu kiyta ini, nescaya dia mati dalam dosa besar yang tidak disedari."

Sekali lagi, Dr Zulkifli menerangkan kalam Imam Malik yang pernah mengatakan;

"Siapa yang bertasawwuf tanpa memahami fiqah, sesungguhnya dia kafir zindiq.
Sesiapa yang mempunyai fiqah tanpa tasawwuf, sesungguhnya dia fasiq.
Sesiapa yang menghimpunkan kedua-duanya, nescaya dia tahkik (benar)."

Sumber ilmu tasawwuf ialah daripada Quran, Sunnah, ilham orang soleh dan futuh orang alim. Perkara ini menarik untuk diteliti kerana tidak seperti pandangan Barat atau manusia liberal yang mementingkan logik akal dan pandangan empirikal sebagai sumber ilmu, Islam mengiktiraf ilham dan pembukaan orang soleh sebagai salah satu sumber ilmu. Bahkan banyak orang soleh yang menjadi jagoan dalam bidang fiqh dan hadith turut dikurniakan Allah SWT dengan ilmu ladunni atau ilmu kasyaf ini.

Imam Shafi'i misalnya diketahui umum sebagai imam dalam fiqh tetapi riwayat hidupnya turut menggambarkan beliau sebagai seorang wali Allah yang tajam firasatnya. Dikatakan bahawa beliau mampu mengetahui dan menilai seseorang daripada pemerhatian mata sahaja (samada seseorang itu seorang yang beriman atau fasiq).Begitu juga dengan Imam Nawawi dan Imam Sayuti yang masing-masing dikatakan mempunyai karamah dan kebolehan luar biasa. Namun, kelebihan yang paling dikagumi daripada mereka ialah keilmuan mereka yang masih bermanfaat sehingga sekarang. Tidak ada seorang penuntut ilmu pun yang tidak perlu berterima kasih kepada Imam Nawawi atas sumbangannya dalam bidang hadith, terutama dalam karya Syarah Sahih Muslim. Atau dalam bidang fiqh di mana matan Minhajul Tabilin menjadi matan utama dan antara yang tertinggi dalam fiqh Shafi'i.


Bagaimanapun, seseorang tidaklah harus menjadikan ilmu tasawwuf sebagai alat untuk mencapai atau memperolehi kelebihan-kelebihan yang bercanggah dengan adat. Fokus utama ilmu tasawwuf ialah mendidik hati bagi mengenal Allah SWT. Justeru, dalam keadaan sosial masyarakat yang sedang menggila, ilmu tasawwuf diharap dapat menawarkan antidot untuk mendepani masalah-masalah dalam masyarakat.

1 comment:

fazrul said...

Dr Zul ada memberi kuliah dgn menggunakan kitab HIKAM dan saya ada tulis sedikit sebanyak di dalam blog saya berkenaan kitab HIKAM ini. Rujuk blog: http://pintalan.blogspot.com/