Wednesday, August 11, 2004

Bumi Busra.......


The location of Busra on Syrian map


The ruins of Busra city.Maybe this was the site where the our beloved Prophet did his trade with Abu Talib


The Mosque of Mabrak Naqah,where the steps of the Prophet's camel that bring the Prophet to Busra can still be seen.


Buhaira's Kanisah(Cathedral) where the priest warned Abu Talib that, " Muhammad is destined to be the Last Messenger.Bring him back immediately.If the Jews know about him,they'll kill him...."


The biggest and most famous Roman Ampitheatre in Syria that can accomodate 15000 people


Me and Farhan, my new friend in Syria



Menurut catatan dalam Sirah Ibn Hisyam(salah satu sumber authoriti dalam tarikh Islam), Nabi Muhammad SAW telah mulai berjinak-jinak dengan perniagaan sewaktu masih dalam usia belasan tahun.Kaum Quraisy merupakan kaum dagang.Allah SWT mengurniakan nikmat terhadap kaum ini dengan kehormatan dan kelebihan mereka dalam menjaga BaituLlah dan berpeluang menyertai rehlah ke wilayah Sham pada musim panas dan Yaman pada musim sejuk untuk tujuan perdagangan.
Dikatakan kali pertama Nabi SAW dibawa ke bumi Sham ialah pada usia baginda 11 tahun dan kali kedua ketika baginda berusia 25 tahun.Fakta ini tidak dapat aku putuskan sebagai sahih ataupun tidak.Kali kedua berdagang di Sham, baginda membawa barang dagangan Khadijah Khuwailid yang kemudiannya dikahwini oleh baginda SAW.Yang pasti paman baginda,Abu Talib membawa baginda bersamanya dalam perdagangannya di Sham ketika baginda masih muda.
Persoalannya, di manakah bandar tempat Nabi SAW berdagang dahulu?Soalan ini sentiasa berlegar dalam kepalaku setiap kali membaca kitab-kitab sirah sejak dahulu lagi.Daripada kitab-kitab sirah kanak-kanak hinggalah karya-karya sirah yang lebih bermutu seperti Fiqh Sirah(Said Ramadan al-Buti) dan Raheeq al-Makhtum (Mubarakpuri) langsung tidak disebutkan tentang kota tempat Nabi berniaga.
Semasa sampai di Syria bulan lepas, aku dikhabarkan tentang kewujudan satu kota yang bersejarah di selatan Syria.Kota yang bernama Busra ini terletak kira-kira 2 jam perjalanan dari Damsyik.Menurut sahabat aku di Syria,tiada yang menarik tentang Busra kecuali 2 perkara.Pertama, di sini terdapat Roman Ampitheatre yang paling besar di Syria (atau mungkin di Timur Tengah).Dan kedua, kota Busra inilah tempat yang dikatakan dilawati oleh baginda SAW dan paman baginda Abu Talib untuk berniaga ketika Nabi SAW masih setahun jagung.Mendengar sebab yang kedua tadi terus membakar semangat aku untuk ke Busra.Bersama-sama 10 orang rakan dari Syria yang baru kukenal,aku menyewa van yang khas untuk membawa kami ke Busra.
Pemandangan ketika ke Busra sangat berbeza dengan pemandangan umum di Jordan.Syria kelihatan lebih subur berbanding Jordan.Di kiri kanan jalan terbentang ladang tembikai,tomato,timun,anggur dan sebagainya.Keberkatan pada bumi ini cukup menakjubkan.Jarang sekali turun hujan di bumi Sham ini,tidak seperti Malaysia.Namun, tumbuh-tumbuhan terutamanya buah-buahan begitu subur di wilayah bertuah ini.Ladang-ladang khiyar(timun), 'inaab(anggur),khukh(peach),mishmish(apricot) bertaburan di serata wilayah ini.
Busra pada pandangan aku cumalah sebuah kota yang hampir mati.Kalau bukan kerana kehadiran ladang-ladang ini dan tinggalan kota Rom yang masyhur di kalangan pelancong asing,kota ini pasti tidak berpenghuni.Ketika pemerintahan Rom pada tahun 100 Masihi,penguasa Rom bernama Trajan menjadikan Busra sebagai pusat atau ibukota bagi wilayah jajahan Arab yang tunduk kepada kekuasaan Rom.Busra bercambah menjadi kota metropolitan yang sibuk.Pemerintah Rom mendirikan istana-istana yang besar lagi gagah dan tiang-tiang istana ini masih kukuh berdiri sehingga sekarang.Pasar-pasar,gelanggang-gelanggang dan teater dibina bagi kemudahan masyarakat di sini.Busra akhirnya menjadi pusat perniagaan dan dagangan yang terkemuka di Sham.Atas sebab ini kabilah-kabilah Arab bertandang untuk berdagang di sini termasuk baginda RasuLlullah SAW dan paman baginda,Abu Talib.
Tinggalan kemegahan Rom masih wujud dan berbaki di sini.Ini termasuk ampitheatre Rom yang terbesar di Syria yang boleh memuatkan lebih 15 ribu penonton.Di sekitar ampitheatre ini, terdapat tiang-tiang istana dan rangka bangunan yang menjadi saksi dan bukti ketamadunan yang pernah berlingkar di sini.
Sampai di Busra,kami bertanyakan kepada orang tempatan tentang pasar yang dikatakan menjadi medan di mana Nabi SAW pernah berdagang.Souq 'Ardhi,atau pasar bawah tanah yang terdapat di sebelah kubu Busra merupakan antara tempat yang dikatakan menjadi tumpuan pedagang zaman dahulu untuk berniaga.Tidak mustahil di tempat inilah Nabi SAW pernah bersama Abu Talib menjual barang dagangan mereka.

Tidak jauh dari pasar tersebut, tersergam satu rangka bangunan yang dikenali sebagai Kanisah Buhaira,atau Gereja Buhaira.Nama Buhaira mungkin pernah didengari oleh kebanyakan daripada kita.Pendeta Nasrani ini merupakan ahli kitab yang hidup pada zaman Nabi SAW.Sejarah menceritakan ketika ketibaan baginda Rasulullah SAW ke Busra buat pertama kali bersama paman baginda, Abu Talib, Buhaira menyaksikan keanehan pada budak yang bernama Muhammad ini.Perjalanan kabilah Abu Talib dinaungi oleh awan yang melindungi keseluruhan kabilah tersebut daripada terik bahang mentari.Semasa Nabi berteduh di bawah pohon di Busra, dahan pohon tersebut seolah-olah tunduk untuk memayungi baginda.Buhaira dapat merasakan sesuatu tentang budak yang dibawa oleh Abu Talib.Lantas dia menarik Abu Talib ke satu sudut dalam Kanisahnya untuk bertanyakan tentang Muhammad.Apabila ditanyakan kepada Abu Talib;

" Adakah Muhammad itu, anak kamu?"

Abu Talib mengiyakan soalan tersebut.

"Aku yakin dia bukan anak kamu,kerana Nabi akhir zaman adalah seorang yatim!!"

Abu Talib segera mengatakan yang Muhammad bukanlah anak kandung,sebaliknya anak saudara yang dipeliharanya seperti anak sendiri.Jawapan Abu Talib memberikan sepenuh kepastian kepada Buhaira.Buhaira lantas menasihati Abu Talib,

" Muhammad adalah Nabi akhir zaman yang disebut dalam kitab-kitab suci kami.Bawalah dia pulang kerana sekiranya diketahui tentangnya oleh orang Yahudi, mereka akan cuba membunuhnya!!"

Sehingga sekarang,gereja di mana perbualan tersebut mengambil tempat masih wujud,meskipun cuma tinggal rangka bangunan semata-mata.Di sebelah gereja tersebut, terletaknya Masjid Mabrak Naqah, kawasan di mana dikatakan unta Nabi SAW berhenti di Busra.Tapak kaki unta tersebut masih wujud sehingga sekarang.Di sisinya berdiri Madrasah Abu Fida' Ibn Kathir al Dimashqi, iaitu sekolah tempat ahli tafsir terkenal, Ibn Kathir mengajar.

Busra bukanlah tempat yang indah seperti bandar lain di Syria(Aleppo,Dimashq,Hama,Homs,Lattakia).Bandar ini tiada daya tarikan melainkan tempat-tempat yang aku sebutkan di atas.Namun, yang menjadikan bumi Busra ini istimewa kerana sejarah yang berlaku di kota ini.Dan watak dalam kisah sejarah ini tidak lain daripada baginda SAW.Di sebalik runtuhan kota Busra dan sampah-sarap yang dibiarkan bertaburan di bekas-bekas pasar di sini ialah jejak-jejak kaki baginda RasuluLlah SAW yang mulia.Di sinilah Nabi SAW bermu'amalah dengan manusia dengan akhlak peniaga yang terpuji.Perilaku terpuji di Busra ini yang menjadi sandaran yang menawan hati Khadijah binti Khuwailid.Baginda tidak pernah curang dalam dagangan,apatah lagi menipu dalam perniagaan yang diamanahkan kepada baginda.Alangkah ironi realiti sejarah ini berbanding sikap bangsa Arab yang dizahirkan dewasa ini.Mu'amalah dengan orang Arab bukanlah perkara yang menyenangkan di Timur Tengah.Jarang sekali aku berjumpa dengan orang Arab yang jujur dalam perniagaan.Malahan memang sudah diketahui yang peniaga Arab daripada peruncit hinggalah kepada pemandu teksi, sangat suka mengambil kesempatan mengenakan harga tinggi terhadap orang luar.Alangkah hinanya bangsa Arab yang tidak mengenal peribadi Rasulullah dalam perniagaan baginda......Dan alangkah sedihnya bangsa ini sehingga kini masih gagal mengambil 'ibrah daripada peribadi baginda!!!

No comments: