Tuesday, August 03, 2004

Fusthath dan Sayyidina 'Amru al 'Ash

Jumaat lepas, aku meminta salah seorang teman untuk membawaku menunaikan solat Juma'ah di sebuah kawasan yang terletak di pinggir kota Kaherah.Tidak susah untuk mengagak kenapa aku beriya-iya untuk ke sana. Masjid yang kutuju adalah kawasan di mana Islam mulai bertapak, subur dan berkembang di bumi Misr (Mesir) ini.Masjid yang aku ziarahi dinisbahkan kepada Fatih (Pembuka) bumi Mesir ini, iaitu Sayyidina 'Amru al 'Ash, sahabat Rasulullah SAW juga Gabenor Mesir yang pertama dalam sejarah Islam.
Masjid Sayyidina 'Amru al 'Ash berada tidak jauh dari pusat kota Kaherah, di satu kawasan yang dinamakan Fusthath.Selain digelar Masjid 'Amru, masjid ini mempunyai pelbagai nama yang secara tidak langsung menggambarkan statusnya sebagai pusat penyebaran Islam di Afrika Utara.Masjid ini juga dikenal sebagai Jami' al-'Atiq (masjid tua), Taj al-Jawami' (mahkota segala masjid) dan Jami' Ahlu al-Rayah (masjid pemegang panji Islam). Memahami sejarah masjid ini bagaikan memahami tentang sejarah Islam di bumi Mesir.
Seruan Islam telahpun tiba di Mesir ketika hayat baginda Rasullah SAW.Rasulullah SAW pernah mengutus surat kepada Muqawqis, gabenor Mesir di bawah kerajaan Bizantium yang berpusat di Iskandariah(Raja Rom ketika itu bernama Heraklius, bersemayam di wilayah As Sham ).Dalam surat tersebut terkandung mesej rabbani Islam yang jelas, iaitu mesej sama yang dibawa oleh nabi-nabi dalam agama Nasrani yang dianuti oleh Muqawqis sendiri.Muqawqis tidak terus menerima Islam kerana kepentingan peribadi tetapi dia mengakui kebenaran kerasulan Nabi Muhammad SAW.Bersama-sama dengan kepulangan utusan Islam iaitu Hatib bin Abi Balta'ah, Muqawqis mengirimkan hadiah yang banyak kepada Nabi SAW termasuk dua orang jariah (hamba) dari keturunan terhormat bangsa Qibti Mesir.Salah seorang daripada jariah tersebut akhirnya dinikahi oleh baginda SAW iaitu Sayyidah Mariah Qibtiyyah.
Semasa pemerintahan Khalifah 'Umar al Khattab, Islam sekali lagi datang untuk membebaskan Mesir daripada cengkaman kerajaan Bizantium. Pada musim dingin tahun 639 M, tentera Islam di bawah panglima 'Amru al 'Ash memulakan mobilisasi tentera dengan berhadapan tentera Bizantium di Benteng Babilon, kawasan yang dikenal sebagai Fusthath sekarang.Hasilnya, tentera Bizantium tunduk di Heliopolis dan Benteng Babilion ini turut ditawan.Kedatangan Islam dialu-alukan oleh majoriti penduduk Mesir. Fitrah Islam yang tidak menekan mana-mana penganut agama lain menawan hati nurani penduduk Mesir lalu faktor ini menjadikan Islam sebagai agama yang pantas berkembang di benua ini.
Sayyidina 'Amru kemudiannya menjadikan kota Fusthath sebagai ibu kota Islam yang pertama. Al Fusthath dalam bahasa Arab bermaksud 'khemah'.Kota ini dinamakan demikian berdasarkan satu kisah yang cukup menarik dan unik.Kisah ini merupakan manifestasi ketinggian akhlak dan pekerti sahabat Nabi yang bernama 'Amru al 'Ash ini.Kisah ini turut dinukilkan oleh Abdullah Nasih 'Ulwan dalam bukunya yang terkenal, Tarbiyyatul Awlad fil Islam. Dihikayatkan bahawa ketika bumi bertuah ini dijejaki oleh tentera-tentera Islam, Sayyidina 'Amru al 'Ash telah mengarahkan pengikut-pengikutnya mendirikan khemah di kawasan ini.Ratusan khemah telah didirikan termasuk khemah Sayyidina 'Amru yang didirikan sendiri dengan tangannya yang mulia.Setelah berlalu beberapa ketika, tentera Islam hendak digerakkan ke tempat lain.Maka pada waktu tersebut, khemah-khemah perlu diturunkan untuk dibawa bersama.Pada saat inilah, Sayyidina 'Amru ternampak seekor burung telah bersarang pada khemahnya. Melihat keadaan ini, Sayyidina 'Amru tidak sampai hati untuk menurunkan khemahnya.Tidak tergamak oleh 'Amru untuk mengganggu hidup seekor burung ini.Lantas, ditinggalkan sahaja khemahnya di situ sebagai tanda ihsan dan belasnya pada burung berkenaan.Sehingga sekarang, kawasan ini digelar Al Fusthat, bersempena khemah yang ditinggalkan oleh Sayyidina 'Amru. Ya Allah!! Alangkah mulianya hati si 'Amru ini!!! Sedangkan burung pun tidak diusik, apatah lagi sikapnya terhadap manusia??Inilah peribadi agung manusia yang dilentur oleh Nabi SAW. Tidak hairanlah orientalis Barat seperti Gustav Le Bon pernah menulis dalam sebuah bukunya, ".......sejarah tidak pernah menemukan bangsa penakluk yang lebih penyayang daripada bangsa Arab, iaitu kaum Muslimin!!"
Masjid 'Amru adalah masjid tertua di Mesir juga di benua Afrika.Oleh yang demikian, masjid ini sentiasa menjadi tumpuan umat Islam di sini.Selesai solat Juma'ah, aku sempat mengintai-ngintai masjid ini dari semua penjuru.Pada bahagian kanan masjid berdekatan pintu masuk belakang, terdapat satu sudut istimewa yang dikatakan sebagai asas yang didirikan sendiri oleh Sayyidina 'Amru. Masjid ini mempunyai 5 mihrab dan 3 menara yang mempunyai senibina Turki. Dikatakan pada zaman taqlid kepada mazhab, umat Islam bersolat di sini mengikut imam mazhab masing-masing. Oleh itu, tidak hairanlah terdapat banyak mimbar dan mihrab di masjid ini. Sekali imbas, senibina luar masjid ini umpama Masjid Cordoba yang aku lawati tahun lalu.Bezanya, tidak banyak ukiran-ukiran indah di masjid ini seperti Masjid Cordoba. Tetapi barakah yang aku rasai di masjid mulia ini lebih hebat daripada pengalaman aku di Andalus, mungkin kerana masjid ini sehingga sekarang masih 'bernyawa', tidak seperti Masjid Cordoba yang telah ditukar kepada gereja.
Masjid 'Amru sangat popular sebagai tempat untuk beribadah sepanjang bulan Ramadan. Bagi penduduk Mesir, mereka sangat gemar ke masjid ini pada bulan puasa dan bertarawikh di sana. Menurut sahabatku di sini, masjid ini cukup penuh pada musim Ramadan. Para jemaah mulai hadir seawal waktu Zohor untuk menunggu waktu berbuka. Jika datang selepas 'Asar, jangan mimpi untuk mendapat ruang di sini!!! Jemaah melimpah-ruah hingga ke jalan raya dan kaki lima masjid. Antara faktor yang menjadi tarikan rakyat Mesir untuk ke sini ialah kerana masjid ini diimami oleh qari-qari terkenal Mesir.Antaranya ialah Sheikh Jibrail yang terkenal dengan keindahan bacaan Qur'annya.Sheikh Jibrail seingat aku pernah diundang oleh kerajaan Malaysia ke Putrajaya untuk menjadi imam jemputan 2 tahun dahulu.Sebenarnya, Sheikh Jibrail sendiri bukanlah qari terhebat Mesir. Ada ramai lagi qari-qari yang lebih disegani di Mesir dan mereka selalu melagukan bacaan mereka setiap Jumaat di masjid ini.
Kelas-kelas pengajian turut rancak di masjid ini. Selepas solat Juma'ah, aku sempat mendengar kuliah daripada salah seorang ulama' Mesir yang diadakan di sini. Berpusu-pusu orang datang mendengar kuliah di sini. Tak kurang juga yang mengambil kesempatan bersandar dan berehat pada tiang-tiang masjid ini.Suasana di masjid ini begitu nyaman, tidak seperti cuaca Mesir di luar sana yang cukup panas.Bahangnya seperti haba dari unggun api!!! Maklumlah, musim panas sudah menjelang di sini. Bersandar pada tiang masjid ini sambil mendengar kuliah aku rasakan begitu selesa. Hampir tertidur aku dibuatnya.
Sambil duduk-duduk bersandar pada tiang di masjid ini, aku cuba memikirkan.........apa agaknya perasaan Sayyidina 'Amru jika beliau masih hidup lalu menyaksikan jutaan manusia di Mesir telah beriman dengan risalah yang dijunjungnya lebih seribu tahun lalu?? Mesir yang dibukanya, bukan sahaja mempunyai bilangan umat Islam yang ramai, malahan bumi ini menjadi pusat keilmuan Islam yang tidak tertanding oleh mana-mana negara di dunia ini. Memang benarlah sabda Rasulullah SAW, sahabat-sahabat baginda seperti Sayyidina 'Amru ini bagaikan bintang-bintang di langit.Jika kita mengikutnya, nescaya akan timbul daripada mereka hidayah dan petunjuk daripada kesesatan. Kebaikan kita takkan terlawan dengan budi yang mereka curahkan untuk agama kita ini.Seperti kata seorang penyair dalam Qasidahnya, ".....Sesungguh debu dan kotoran yang melekat pada dahi sahabat baginda seperti Sayyidina 'Amru ini, lebih baik daripada dunia ini dan seluruh isinya!!!!!!!!!!"


3 comments:

chewlance said...

assalamualaikum...great blog...mmg suke bace sejarah Islam camnie...semoga kite dapat amik pengajaran...;)

chewlance said...

penah g tgk sejarah Islam di cordoba ke?...citelaa camne keadaan kat sane..

Anonymous said...

assalamualaikum.
blh cerita sejarah lanjut pasal Amru Al-Ash? ada sedikit kekeliruan tentang beliau. saudara penulis blog http://qoululislam.blogspot.com/2010/07/pengkhianatan-amru-al-ash.html menyatakan dia sbg pengkhianat. budak lg orgnya, tapi rasanya artikel tu menyimpang dan blh pengaruh org. minta dijelaskan kebenaran. wallahua'lam