Tuesday, August 03, 2004

Himar

(Catatan ini aku tujukan buat sahabat-sahabat di Australia yang bakal menghadapi peperiksaan. Maaf sekiranya catatan penglipur lara ini tidak begitu menghiburkan, hanya sekadar pandangan peribadi. Bi taufeeq wan Najjah!!!!)

Demi Allah!! Sesungguhnya jika aku disumpah menjadi haiwan, maka pastinya aku rela menjadi apa sahaja haiwan melainkan seekor himar !!!
Himar dalam bahasa Arab bermaksud keldai atau baghal.Bagi penduduk-penduduk di sebelah Sham (Palestin, Jordan, Syria, Lebanon) binatang ini dipanggil hemma. Tetapi di Mesir panggilan himar dalam bahasa Arab fushah masih kekal menjadi gelaran binatang 'istimewa' ini. Di Mesir, binatang ini tidak perlu diperkenalkan. Mungkin bagi kita umat Melayu atau orang Malaysia, kita kurang mengenali haiwan ini dengan lebih dekat dan mesra.
Secara jujurnya, aku tidak pernah melihat walaupun seekor himar di tanahair.Tanah Melayu bagaikan kawasan yang 'gersang' daripada dijejaki oleh haiwan ini. Walau bagaimana pun, keldai telah lama disensasikan oleh Al-Qur'an sejak berkurun dahulu. Bukalah lembaran kitab suci ini, pasti kita akan menemukan misalan-misalan yang menggunakan keldai sebagai analogi atau qias bagi mencetuskan pengajaran buat insan. Misalnya dalam surah Luqman dan surah Juma'ah yang wajib kita hafal untuk ujian PAFA satu masa dahulu.(dah lupa?)
Namun, malang sekali perkara-perkara yang sering Allah SWT kaitkan dengan keldai bukanlah perkara yang positif. Himar memang disebut sebagai binatang yang diciptakan oleh Allah SWT untuk memudahkan hidup Bani Adam dengan melaksanakan tugas-tugas yang sukar dibuat oleh manusia.Statusnya boleh dikatakan setanding dengan haiwan seperti kuda dan unta.Tetapi entah mengapa binatang ini sering menjadi mangsa diskriminasi sosial kehaiwanan.Mungkin kerana ciri-ciri yang Allah SWT sebutkan di dalam Al Qur'an telah meminggirkan haiwan ini daripada golongan binatang lain.Tambahan pula, memang ada larangan khusus yang menegah umat Islam memakan daging himar dalam ahadith yang sahih dan hasan.Di Mesir, terdapat ribuan keldai yang dibela untuk menarik 'arabaa atau sejenis pedati yang sering kelihatan di jalan-jalan raya di Kaherah. Jika disebut 'arabaa pada orang Mesir, maka akan terbayanglah kita akan sejenis pedati yang ditarik oleh seekor keldai dengan muatan yang pelbagai. Kadang-kadang 'arabaa ini disarati dengan bittikh (tembikai), basal (bawang), jerami ataupun barang-barang niaga yang biasanya dijual di kaki-kaki lima di Kaherah contohnya di Midan Ataba dan Midan Hussein.Sekiranya ke Tanta, lebih banyak keldai akan kelihatan kerana 'arabaa merupakan agen pengangkutan yang penting di kawasan pedalaman.Mengikut Sheikh bahasa Arab aku di sini, harganya mengikut pasaran lebih kurang 1000 Junaih (1 Euro= 7.4 Junaih) dan harga sekarang boleh dikira murah (ada ssesiapa nak memesan?).
Di kalangan rakyat Mesir, keldai menduduki tangga tercorot dalam strata sosial kebinatangan. Binatang ini tidak pernah dihormati dan mendapat kasih sayang yang secukupnya daripada tuan-tuan mereka. Mungkin kerana keldai tidak dianugerahkan wajah yang kacak atau jelita serta comel berbanding binatang peliharaan yang lain, maka mereka tidak begitu dikasihi.Tubuh keldai tidak setegap seekor hison (kuda) atau sekuat jamal (unta). Untuk dijadikan binatang kesayangan seperti kucing, pastinya tidak sesuai (kucing adalah haiwan yang dianggap sebagai dewa pada zaman Mesir purba).Telinga keldai sedikit panjang dan senyumannya tidak begitu menawan.Paling hebat pun, mereka hanya mampu menyeringai!!Di sini pantang sekali jika kita menisbahkan fizikal seseorang seperti keldai!! Sering sahaja aku lihat binatang ini dipikulkan dengan barang muatan yang cukup banyak dan berat, hingga hampir terkangkang keempat-empat kaki mereka.Namun binatang ini cukup disiplin dan tidak pernah mengeluh atau merungut. Aku pun tak pasti samada Allah menjadikan keldai sebegini kerana mereka memang taat atau terlalu bodoh untuk melawan!!
Yang pasti, keldai tidak punya intelektualiti yang tinggi. Sifat-sifat yang ada pada keldai sudah ma'ruf (diketahui) sejak dahulu sehinggakan banyak peribahasa yang terdapat dalam khazanah adab (sastera) Arab yang merujuk kepada kebodohan seekor keldai. Al Qur'an sendiri menggambarkan orang-orang yang diberikan kitab tetapi tidak memahaminya umpama keldai yang dipikulkan barang ke atasnya. Membawa muatan ke sana ke mari seperti yang terdapat di jalan-jalan di sini tetapi tidak pernah ambil tahu tentang apa yang dibawa.Begitu juga dengan suara keldai. Allah SWT memetik wasaaya (wasiat) Luqman Hakim terhadap anaknya yang antara lain meminta anaknya supaya berbudi halus dan tidak meninggikan suara kerana sesungguhnya seburuk-buruk suara adalah suara keldai. Dan untuk kali pertama dalam sejarah hidup aku, aku 'beriman' dengan realiti ini.Sungguh, suara keldai tersangatlah buruk!! Sukar untuk menggambarkan suara seekor keldai. Pertama kali aku mendengarnya, suara keldai bagaikan bunyi hon kereta yang rosak. Kali kedua aku mendengarnya, seumpama bunyi keretapi enjin wap. Aku pun tidak reti langsung untuk menceritakan tentang aspek suara keldai. Datanglah ke mari kalau ingin tahu!
Bagaimana pun, kadangkala hati kita boleh terguris melihat bagaimana keldai dilayan di sini. Sering aku perhatikan mereka dipukul tanpa belas untuk menarik muatan-muatan yang berat. Pernah sekali ketika menaiki bas ke pusat bandar Kaherah, aku terlihat seekor keldai tersungkur di jalan raya , entah kerana pengsan ataupun mati .Mungkin kerana terlalu penat menarik 'arabaa yang sarat. Dalam keadaan sebegitu pun, tuan punya keldai masih tidak ambil pusing tentang keadaan keldainya tetapi hanya sibuk menyelamatkan muatan 'arabaa daripada melimpah ke tengah jalan!
Sebagai manusia, kita melihat keldai sebagai makhluk ciptaan Tuhan yang unik dan tersendiri. Ciri-ciri yang ada padanya kadang-kadang boleh terpancar daripada diri manusia. Banyak perkara yang boleh dipelajari daripada binatang ini. Contohnya, menjadikan personaliti keldai yang negatif sebagai sempadan, misalnya jangan meninggikan suara hingga menjadi seperti seburuk suara keldai, jangan jadi sedungu keldai dan sebagainya. Namun, banyak sahaja aspek positif yang boleh kita ambil daripada sifat-sifat keldai. Misalnya, rajin, patuh kepada tuan,gigih dan dedikasi menjalankan tugas serta tidak pernah mengeluh walau bagaimana susah menarik 'arabaa !! (Bagi pelajar Melbourne, ciri ini yang kalian perlukan untuk mengharungi exam sekarang!) Apapun mengenang nasib keldai umpama mengenang nasib seorang pekerja tua yang telah lama berjasa tetapi tidak pernah dihargai. Kalau bukan kerana keldai, mungkin ekonomi Mesir akan lumpuh. Pada aku, binatang bergelar himar ini layak untuk mendapat layanan yang lebih baik daripada layanan yang mereka terima daripada sesetengah manusia di sini.........................................

No comments: