Tuesday, August 03, 2004

JALAN-JALAN CARI MAQAM

8 Julai 2004

Ketika pemerintahan khalifah Umar al-Khattab, para sahabat Rasulullah SAW yang menetap di Madinah tidak digalakkan untuk berhijrah keluar dari kota tersebut. Ini kerana perkumpulan sahabat dianggap amat penting bagi Sayyidina Umar bagi memudahkan beliau mendapat nasihat para sahabat dalam urusan pentadbiran kerajaan Islam pada waktu tersebut (ijmak dan amalan para sahabat dianggap salah satu sumber penting dalam menentukan hukum dalam perundangan Islam)
Senario ini berubah pada pemerintahan Sayyidina Uthman al-Affan. Perubahan ini didorong oleh perluasan empayar Islam melewati perbatasan daerah Rom dan Parsi. Kota-kota baru Islam dibuka di Basrah dan Kufah di Iraq, manakala di wilayah Sham, Islam sudah bertapak sehingga ke Ba’albak (di Lubnan). Umat manusia di kedua-dua bekas empayar tersebut berbondong-bondong memeluk agama ini. Oleh kerana itu, tenaga pengajar Islam yang terdiri dari kalangan para sahabat begitu diperlukan oleh masyarakat. Memandangkan keperluan tersebut, khalifah Uthman mengizinkan para sahabat berhijrah ke kawasan-kawasan yang baru dibuka oleh Islam. Di sekitar wilayah Sham sahaja, lebih 10 ribu sahabat dikatakan menetap dan akhirnya bersemadi di sana.
Di Humus (Homs) sahaja, dianggarkan 460 orang sahabat Baginda SAW bersemadi termasuklah panglima perang terhebat Islam, Khalid Ibnu Walid. Homs cumalah bandar kecil yang terletak di utara Damsyik. Jika di Homs sahaja terdapat beratus-ratus maqam sahabat,apatah lagi kota Damsyik ini. Mengikut kajian yang aku buat, di sekitar Damsyik terdapat ribuan maqam sahabat, namun hanya beberapa ratus sahaja yang mungkin dikenal pasti.

Best preserved Roman Temple of Baalbak



Masjid Khalid al Walid di Humus,Syria (maqamnya di dalam masjid)


Dengan pertolongan sahabat-sahabat yang baru aku kenali di Damsyik ini,aku mula merancang bagaimana hendak menjejaki maqam-maqam para Rasul dan sahabat Nabi SAW yang mashyur di sekitar Damsyik.Sudah pasti berdasarkan fakta yang disebutkan, aku tidak akan dapat menziarahi kesemua maqam tersebut.Bagaimana hendak mencari 10 ribu maqam sahabat dalam masa seminggu??? Tambahan pula, maqam-maqam ini berselerakan di seluruh Syria bukan hanya bertumpu di Damsyik.
Walau bagaimanapun, dengan izin Allah SWT, aku berkenalan dengan ramai sahabat baru yang sudi menemani aku menziarahi dan menjejaki maqam-maqam ini, terutamanya pelajar-pelajar Malaysia yang menetap di kawasan Bab Musolla seperti Ustaz Safa,Ustaz Raji, Farhan, Hanbali, Hadi, Leman dan yang seangkatan dengan mereka. Bersama-sama mereka aku mengembara ke Halab (Aleppo), Busra, Humus (Homs), dan Hama selain daripada melawat kawasan sekitar Damsyik. Kepada mereka, jutaan terima kasih aku ucapkan kerana sudi menerima tetamu yang tidak diundang ini.Mudah-mudahan Allah memberi sebaik-baik ganjaran kepada mereka.


Berikut adalah maqam-maqam yang sempat aku ziarahi sepanjang kembara di Syria :

Maqam Nabi dan Rasul

1) Nabi Yahya a.s (maqamnya di dalam Masjid Umawi, Baginda dibunuh oleh orang Yahudi))
2) Nabi Zakariyya a.s ( bapa Nabi Yahya, maqamnya di Jami’ Kabir di Aleppo)
3) Nabi Zulkifli a.s (maqamnya di kaki Jabal Qasyun,dekat dengan Universiti Abu Nour)
4) Nabi Ayyub a.s(Nabi yang diuji dengan jangkitan penyakit kulit, telaga dan maqamnya berdekatan dengan perkampungan Nawa’, kampung Imam Nawawi)


The maqam of Prophet Zulkifli a.s in Jabal Qasyun


Maqam Para Sahabat Baginda Rasulullah SAW

5) Sayyidina Mu’awiyah Ibn Abi Sufyan (penulis wahyu, khalifah pertama dan pengasas Bani Umaiyyah)
6) Sayyidina Bilal bin Rabah (mu’azzin atau tukang azan Islam yang masyhur,maqamnya di Bab Saghir)
7) Sayyidina Abu Darda’ (mufti Sham, sahabat rapat Nabi SAW yang banyak meriwayatkan hadith,maqamnya di sebelah Qala’at Dimashq)
8) Sayyidina Mu’adz bin Jabal (bekas Gabenor Yaman, maqamnya di sebelah Souq Hamidiyy)
9) Sayyidina Abu Hurairah (Ahlus-Suffah, sahabat yang banyak meriwayatkan hadith, kesahihan maqamnya dipertikaikan)
10) SaifuLlah al-Maslul, Khalid Al-Walid ( maqamnya di Homs di dalam masjid yang dibina oleh khalifah Uthmaniyyah terakhir, Abdul Hamid II)
11) SayyidinaAbdul Rahman bin Khalid (sahabat Nabi merangkap anak Khalid al-Walid)
12) Sayyidina ‘UbaiduLlah ibn Umar al-Khattab (maqamnya berhampiran maqam Khalid )
13) Sayyidina Sohib ibn Sinan (lebih dikenali sebagai Sohib Ar Rumi)
14) Sayyidina Fadhalah ibn Ubaidullah
15) Sayyidina Suhail ibn Hanzalah
16) Sayyidina Ibn Aus As-Saqifi
17) Sayyidina Wa’illah ibn Asqa’ (maqam mereka berempat berdekatan dengan maqam Sayyidina Mu’awiyah)
18) Sayyidina Abbas ibn Mardas
19) Sayyidina Khaffaf ibn Nadbah(kedua-dua mereka sahabat yang tidak begitu terkenal,profil mereka tidak aku ketahui)


The tomb of Sayyidina Muawiyah Ibn Abi Sufyan



Maqam Tokoh-Tokoh Terkemuka Islam

20) Sultan Salahuddin Al-Ayyubi (pengasas Dinasti Ayyubiah yang berbangsa Kurdi, wira Perang Salib yang merampas kembali Al-Quds dari tangan tentera Salib,maqamnya di belakang Masjid Umawi)
21) Sultan Nuruddin Zinki (Sultan Mesir dan Syria sebelum Salahuddin,baginda memulakan kempen memerangi tentera Salib secara agresif,berjaya menumbangkan kerajaan Syi’ah Fatimiyyah di Mesir)
22) Sultan Malik Baibers (memimpin umat Islam menghadang kemaraan tentera Mongol, wira peperangan ‘Ain Jalut)
23) Imam Nawawi (Murajih mazhab Syafi’i, pengarang kitab Majmu’ dan Syarah Sahih Muslim,maqamnya di tempat kelahirannya di Nawa’)


Maqam Salahuddin al Ayyubi


Maqam Imam Nawawi in Nawa(south Syria)


Maqam of Sultan Nuruddin Zinki,the ruler of Egypt and Syria before Saladin.Hes the one who started the campaign to liberate Al Quds from Crusaders



Dan berpuluh-puluh lagi maqam yang tak sempat aku senaraikan di sini. Sememangnya bumi Syria ini adalah bumi yang sangat diberkati. Ramai sekali Nabi dan Rasul yang bersemadi di sini.. Ulama-ulama terbilang dan masyhur begitu ramai berasal dari kawasan ini. Hanya sekelumit kecil sahaja daripada maqam mereka semua yang berjaya aku temui.Mudah-mudahan selepas ini, ada inisiatif yang bersungguh-sungguh daripada pelajar-pelajar kita di sana untuk mengesan dan menjejaki kesemua maqam mereka.

1 comment:

akmal_mubarak said...

Salam, menarik sekali blog anda. Saya ada melawat ke Turkey baru2 ini. Pemandangannya ancient ruins lebih kurang mcm kat Syria/Jordan jgk kalau tgk dlm blog ni. Nak tanya kalau2 and arif, adakah Nabi Yahya itu sama yg dikenali oleh Christians as St. John? Syukran - Kak Akmal, Doha