Entah mengapa sejak berada di Mesir ini, aku semakin obsess dengan satu hobi terbaru,iaitu mencari maqam (kubur) orang-orang ternama dalam sejarah Islam terutamanya 'ulama-'ulama silam yang begitu ramai bersemadi bumi Mesir ini.Sekembalinya aku dari Iskandariah selepas menziarahi menyertai majlis ilmu muhaddith terkemuka Mesir, Sheikh Muhammad Ibrahim Abd Ba'is al Husainy al Kattani, aku dipelawa oleh Baihaqi (pelajar perubatan Ain Sham yang kacak :) ) untuk ke Masjid Sultan Hassan pada hari Jumaat .Katanya, khutbah disampaikan oleh Dr Ali Jum'ah, Mufti Besar Mesir.Selepas itu, dia bercadang membawaku menziarahi maqam 'ulama-'ulama terkemuka yang tidak begitu dikenali di kalangan orang awam di Mesir sebagai 'program' terakhir kami bersama sebelum dia berangkat pulang ke tanahair.Aku terus bersetuju bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal.Memang sudah lama kepingin untuk mendengar dan melihat dari dekat Dr Ali Jum'ah, Mufti Besar Mesir yang dikatakan pernah bertalaqqi di 20 negara di seluruh untuk menimba ilmu.Masya Allah, hebat benar beliau!!(Mungkin selepas ini aku akan menulis satu catatanl khusus tentang beliau, Insya Allah) Hasrat untuk ke maqam-maqam sekitar Kaherah juga sudah lama aku tangguhkan.Ini adalah peluang yang terbaik untuk menjejaki maqam-maqam mereka.
Setelah selesai solat Jumaah, kami ditemani oleh Ustaz Din yang bertindak selaku 'tour guide' kami.Mula-mula kami menziarahi maqam Imam Jalaluddin As Sayuti, mujaddid, muhaddith,mufassir dan pengarang kitab-kitab muktabar yang tidak terbilang.Beliau adalah Sheikhul Islam pada zamannya.Imam Sayuti adalah pengarang kitab tafsir Jalalain yang terkemuka itu.Selain itu, terdapat ratusan kitab-kitabnya yang sehingga kini masih menjadi rujukan dalam agama Islam termasuk Jami' Saghir, Asbab Nuzul dan sebagainya.Sampai sekarang, masih banyak institusi pengajian Islam tradisional yang masih menggunapakai kitab-kitabnya, paling utama tafsir Jalalain.Di sisi maqam Imam Sayuti adalah maqam Sheikh Ibnu Abi Jamrah, pengarang kitab Mukhtasar Sahih Bukhari.Tentang sejarah Ibnu Abi Jamrah, aku sendiri kurang arif.
Selepas itu,kami menaiki teksi ke kawasan perkuburan yang agak hampir dengan Qala'at Salahuddin Ayyubi.Terdapat ribuan, mungkin jutaan kubur di sini.Ketika melalui sebatang jalan berdekatan dengan maqam Sheikh Tunsi, Ustaz Din berbisik kepada aku, "Nak pergi ke maqam Imam Hassan Al Banna tak?"
Sudah tentu!! Selama ini aku hanya membaca kisah-kisah perjuangan dan pemikiran Imam Hassan Al Banna.Sebagai pengasas gerakan Ikhwan Muslimin, beliau dikatakan antara tokoh Islam yang paling berjasa pada abad ke-20.Imam Hassan tampil dengan idea-idea Islami yang cukup menyegarkan.Lihatlah gagasannya dalam Usul 'Isyrin, yang menjadi bukti kehebatan dan ketinggian idealismenya.Pengaruhnya di Mesir begitu dirasai sehingga menimbulkan sengkata antara Ikhwan dan Jamal Abdul Nasser, Presiden Mesir ketika itu.Akibatnya, beliau ditembak mati ketika keluar dari salah sebuah masjid di ibu kota Kaherah.(tentang perkara ini, lebih baik aku tidak mengupas dengan panjang lebar.Sila rujuk buku sejarah!)
Jalan ke maqam Imam Hassan Al Banna melalui kawasan pasar minggu di sebuah kawasan yang tidak aku tahu namanya.Kawasan perkuburan ini lengang sahaja.Yang kelihatan cuma beberapa pekerja binaan yang sedang menyiapkan kerja-kerja mereka.Kubur Imam Hassan Al Banna berada dalam sebuah binaan yang dikunci rapat.Keadaannya cukup usang dan tidak terurus seperti mana kubur-kubur lain di sini.Sebelum ini, dikatakan kawasan kubur ini dikawal oleh mubahis (polis rahsia i.e SB) Mesir.Pendokong gerakan Ikhwan tidak dibenarkan untuk mendekati maqam ini.Sehingga sekarang, kubur ini tinggal usang dan terbiar.Agak sayu apabila berada di luar maqam ini, tidak tahu kenapa.Mungkin kerana selama ini aku hanya membaca kisah-kisah perjuangan Imam Hassan, tetapi langsung tidak menyangka dapat menjengah pusaranya.
Selesai berdoa di maqam Imam Hassan, kami ke maqam Ibnu Hajar 'Asqalani, ulama hadith yang mengarang kitab Fathul Bari.Kitab ini boleh dianggap sebagai sumber kedua dalam Islam selepas Al Qur'an sendiri.Kemudian kami melalui maqam Imam Laith, sahabat Imam Malik bin Anas yang merupakan antara ulama teralim zamannya.Dia mempunyai mazhabnya sendiri sebagaimana Imam Malik namun ketiadaan pengikut menjadikan mazhab ini berkubur setelah kematiannya.Imam Laith pernah digambarkan Imam Syafi'i sebagai lebih 'alim daripada Imam Malik sendiri.
Sebelum itu, kami sempat juga menziarahi maqam seorang sahabat Nabi yang bernama 'Uqbah bin 'Amir, yang merupakan sahabat yang seangkatan dengan Amru al Ash, pembuka Mesir.Dia adalah antara sahabat yang turut berperanan menyebarkan Islam di bumi Mesir buat pertama kali.Maqam 'Uqbah begitu tersorok.Aku tidak mendengar bunyi hingar kenderaan langsung ketika ke kawasan perkuburannya.Maqamnya dijaga oleh penduduk kampung berdekatan dengan baik.Sempat juga aku mengambil gambar bersama budak-budak Arab yang comel-comel di situ.
Hari ini, secara keseluruhannya, aku berjaya menjejaki 14 maqam tokoh-tokoh besar dalam Islam.Selain daripada yang disebutkan di atas aku sempat menjejaki maqam Ibnu 'AtaiLlah Iskandari (pengarang kitab tasawwuf Hikam), Sidi Abi Nas (ahli tarikh terkemuka seperti Ibnu Hisyam), Kamal Hamam dan Dzun Nun Al Misri (ahli tasawwuf tersohor),Ibnu Daqiq al Eid (Qadi Qudah ketika zaman kerajaan Mamalik),Rabiyatul Adawiyah ( ahli sufi wanita yang terkenal, bagaimanapun kesahihan kubur ini dipertikaikan) dan Muhammad Hanafiah (anak Sayyidina 'Ali).Mungkin bagi ramai orang, menziarahi kubur manusia yang telah mati tidak begitu menyeronokkan berbanding bersiaran di sekitar Sungai Nil atau bersuka-suka di tepi pantai Laut Mediterranean.Namun bagi aku, menziarahi kubur manusia-manusia yang terbilang seperti di atas membawa seribu satu makna yang tidak boleh diungkapkan dengan kata-kata.Mungkin orang akan mengatakan yang aku ini sungguh membosankan!!Menziarahi maqam mereka bagaikan menziarahi mereka ketika masih hidup.Bagi tokoh-tokoh yang disebutkan di atas, jasa mereka dalam menegakkan Islam menjadikan mereka 'hidup' buat selamanya.Hanya orang yang tahu menghargainya sahaja yang boleh merasainya!!!
No comments:
Post a Comment