Tuesday, August 03, 2004

Hassasiyyah!!!!

Pengajian bahasa Arab aku baru sahaja hendak bermula apabila aku bangun dari tidur 2 hari lepas dan mendapati terlalu banyak tompok-tompok merah pada tangan dan kaki aku.Aku tak tahu apa sebabnya tetapi tompok-tompok merah yang menjalar pada kaki dan tangan aku bertambah serius dan menjadi begitu gatal hingga konsentrasi aku pada kelas menjadi tidak menentu.
Apabila aku menunjukkan tangan dan kaki aku pada seorang sahabat di sini, dia mengatakan, " ......nampaknya sheikh, anta dah terkena satu penyakit yang dipanggil hassasiyyah........."
Hassasiyyah dalam bahasa Arab sebenarnya bermaksud allergy.(Medical term: Type 1 Ig E Mediated Hypersensitivity).Sepanjang musim panas di Kaherah, kerajaan Mesir sudahpun mengeluarkan kenyataan mengarahkan mustashfa (hospital ) di seluruh negara bersedia untuk menerima kunjungan pesakit yang lebih tinggi kadarnya.Pada musim panas lazimnya keadaan cuaca menjadi kering,panas dan berdebu.Penyakit-penyakit tertentu kebiasaannya merebak dengan begitu cepat sesuai dengan kondisi Mesir yang terletak di gurun Sahara.Seribu tahun dahulu,semasa Khalifah 'Umar al Khattab menerima laporan awal tentang Mesir daripada tentera-tentera Islam yang dipimpin oleh Sayyidina 'Amru al 'Ash, 'Amru melaporkan bahawa kota Kaherah ini berdebu!!Sehingga sekarang tidak banyak perkara yang berubah tentang Kaherah.Berdebu,kotor dan jalan rayanya dipenuhi dengan sampah sarap!!!
Setelah menyedari hassasiyyah yang aku alami tidak akan berkurang kesannya, aku meminta bantuan seorang sahabat di sini untuk 'mengejarkan' aku ke hospital.Mungkin inilah masanya bagi aku untuk 'merasai' sistem kesihatan negara Mesir.Di Mesir, bilangan para doktor adalah sangat ramai.Yang dimaksudkan bukanlah GP atau doktor-doktor biasa tetapi doktor-doktor pakar dalam pelbagai bidang.Bayangkan jika di University College Dublin, bilangan pelajar dalam kuliah aku cuma kurang daripada 200 orang.Itupun, pelajar-pelajar banyak mengeluh kerana keadaan bilik kuliah yang terlalu padat.Di Mesir, satu kelas perubatan untuk satu tahun (misalnya di 'Ain Shams University), boleh mencecah 1600 pelajar!!!!Tak hairan jika bilangan doktor di sini begitu besar.Saban tahun ribuan graduan perubatan dilahirkan namun peluang pekerjaan tidaklah begitu banyak.Gaji seorang doktor biasa di sini cuma 150 Junaih(7.5 Junaih=1 Euro).Manakala untuk seorang doktor pakar dalam sektor kerajaan, gaji mereka lebih kurang 200 Junaih!!!Bagi mendapatkan rawatan seorang pakar perubatan, bayaran perkhidmatan cuma 10 Junaih(tak sampai 2 Euro).Oleh itu, gaji seorang pakar perubatan swasta pun tidak begitu tinggi.
Tidaklah menghairankan atas sebab tekanan hidupan di Kaherah dan di Mesir secara keseluruhannya, ramai doktor di sini yang berhijrah ke negara Arab lain untuk mencari rezeki.Di Arab Saudi misalnya, lebih separuh daripada doktor-doktor di sana mendapat pendidikan atau berasal dari Mesir.Menurut sahabat-sahabat aku yang menuntut di 'Ain Shams University di sini, bekerja selepas mendapat degree perubatan di Mesir bukanlah semewah bekerja di Ireland atau di UK mahupun di tanahair.Pelajar-pelajar tajaan JPA dalam jurusan perubatan mendapat biasiswa bulanan sebanyak 200 US Dollar, lantas menjadikan mereka jauh lebih kaya daripada kebanyakan professor-professor di sini!!
Ada sahaja doktor-doktor atau jurutera-jurutera Mesir yang membawa teksi pada waktu malam untuk menambah pendapatan mereka.Bagi pensyarah-pensyarah fakulti perubatan, ramai antara mereka yang menyusun buku-buku perubatan untuk dijual kepada pelajar-pelajar mereka.Buku-buku sebegini dijual dengan harga 10-15 Junaih, sesuai dengan kemampuan pelajar-pelajar Mesir.Bagi pelajar perubatan, kebanyakannya tidak mampu membeli buku-buku import dari luar kerana terlalu mahal(contohnya Anatomy Moore etc).Dengan pendapatan yang tidak seberapa ini, doktor-doktor di Mesir hanya mampu menyewa flat-flat di kota Kaherah ini dan pergi ke tempat kerja dengan hanya menaiki bas.Mempunyai kenderaan sendiri adalah tanda kemewahan bagi rakyat negara ini, apatah lagi untuk memiliki kereta-kereta mewah seperti Mercedes, Volvo dan sebagainya.Ramai doktor pakar di sini yang mempunyai kelayakan/kepakaran lebih daripada satu bidang.Tetapi gaji mereka masih rendah jika hendak dibandingkan dengan doktor negara-negara lain.Jika Dr Oteh Maskun berkhidmat di Mesir (misalnya), maka biasiswa kita jauh lebih tinggi daripada gaji beliau sebagai seorang cardiologist!!!!

Melihat kepada fakta-fakta di atas, mungkin kita sudah boleh mencongak bagaimana agaknya kehidupan rakyat biasa Mesir yang tidak berpelajaran.Tinggal di Mesir adalah satu bentuk cabaran yang hebat.Negara ini mempunyai bilangan penduduk yang ramai dan padat (hampir 70 juta) tetapi tidak maju dan kekal miskin sekian lama.Hasilnya buminya banyak tetapi pengurusan negara kurang teratur.Jurang ekonomi antara golongan berpendapatan tinggi dan golongan miskin terlampau ketara.Di kota Kaherah ini terdapat kawasan-kawasan perkuburan yang didirikan binaan di atasnya.Maka ramailah golongan miskin di Mesir ini yang berteduh di kawasan-kawasan kubur ini, menjadikan kawasan kubur sebagai tempat tinggal mereka kerana tidak mampu membeli ataupun menyewa rumah di sini.Beranak-pinaklah golongan ini di situ.Bilangan yang tinggal di kawasan perkuburan di Mesir ini sudah mencecah angka 1 juta.Kerajaan Mesir sendiri telah membekalkan bekalan air dan elektrik ke kawasan perkuburan ini sebagai langkah untuk membantu golongan tersebut.Itupun, mereka sudah dikira beruntung.Menurut pemerhatian aku, sangat ramai penduduk di sini yang tinggal merempat di tepi-tepi jalan tanpa rumah.Aku pun tak pasti berapa juta bilangan penduduk seperti itu.Kadangkala, memerhatikan hidup masyarakat Mesir di sini cukup menginsafkan.Bagi kita yang belajar di UK atau Ireland yang selalu mengeluh kerana tidak cukup wang elaun, sepatutnya menziarahi negara ini.Insya Allah, dengan cara itu, mungkin kita akan merasa syukur dan qana'ah dengan apa yang ada pada diri kita......AlhamduliLlah.

No comments: