Tuesday, August 03, 2004

Keasyikan Damsyik


Masjid Umawi


Ada orang mengatakan, kalau kita bercadang untuk singgah sebentar di Dimashq (Damsyik),kita mungkin akan 'terperangkap' di dalamnya.Hakikat ini bagi aku memang terbukti benar.Rencana untuk menziarahi maqam Khalid Al Walid di Homs segera aku tangguhkan kerana aku merasakan diri aku 'terbenam' di dalam keasyikan kota ini.
Damsyik merupakan antara kota yang paling tua di dunia yang dikatakan mempunyai kesan peradaban sejak 5000 tahun sebelum Masihi.Walau bagaimanapun, yang paling menarik bagi kota ini ialah asar (tinggalan) kerajaan Bani Umaiyyah yang tidak terhitung bilangannya.Ketika sahabat besar Nabi Muhammad SAW, Sayyidina Mu'awiyah Ibn Abi Sufyan memindahkan pusat pentadbiran kerajaan Islam dari Madinah ke Damsyik, ramai sahabat turut berhijrah ke sini. Mu'awiyah dan keturunannya bertanggungjawab membina empayar Islam yang cukup gemilang dan terbilang.Pada zaman khalifah Al Walid Ibn 'Abdul Malik, Islam telah sampai di Semenanjung Iberia (Sepanyol) dengan diketuai oleh Tariq Ibn Ziyad manakala di India, Islam telah membuka benua kecil itu melalui mobilisasi ketenteraan di bawah Muhammad al Qassim. Samarqand dan kawasan-kawasan Asia Tengah yang lain telah turut menerima cahaya Islam.
Tampat pertama yang aku tujui setelah sampai di sini ialah Masjid Umawi yang merupakan antara masjid yang tertua di Syria(dibina tahun 705 Masihi).Asal separuh daripada masjid ini ialah Gereja Jupiter Rom, warisan kerajaan Byzantine.Ketika zaman khalifah Al Walid,kerajaan Islam sudah menjadi begitu luas dan memerlukan satu pusat pentadbiran yang sesuai dengan kekuasaannya. Lantas Al Walid mengambil alih gereja tersebut lalu membina masjid yang dikatakan paling hebat,indah dan gagah.......... setara dengan kemegahan Bani Umaiyyah ketika itu.Itulah Masjid Umawi sekarang.Tanda-tanda kehebatan Bani Umaiyyah masih bersisa di sini.Tidak hairan masjid ini pernah digelar sebagai masjid yang paling indah di dunia.
Dalam Rehlah Ibnu Battutah telah disebutkan bahawa seorang alim bermimpi bahawa di sinilah bersemadinya jasad Nabi Musa a.s. Kesahihan fakta ini tidak dapat dibuktikan, namun masjid ini sejak sekian lama dianggap masjid suci bagi umat Islam dan juga umat Nasrani.Di ruang masjid ini terletaknya maqam Nabi Yahya a.s.(St John the Baptist). Mihrab asal masjid ini pula ditegakkan oleh Nabi Hud a.s. dan dihiasi oleh ukiran yang cukup menakjubkan.Courtyard atau ruang legar di tengah-tengah masjid ini menjadi medan untuk umat Islam berehat sambil menikmati keindahan hiasan mosaic yang terdapat pada dinding-dinding masjid yang merupakan warisan daripada zaman kerajaan Rom.Masjid ini mempunyai 3 menara yang masing-masing mempunyai seni bina yang berbeza.Dikatakan menara bahagian Timur masjid ini akan menjadi tempat di mana turunnya Nabi Isa a.s pada akhir zaman untuk memerangi Dajjal.Bagi orang Nasrani, menara ini dipanggil The Tower of Jesus Christ.Masjid ini sendiri pernah dilawati oleh Pope John Paul II beberapa tahun lepas.
Sukar sekali untuk menceritakan keindahan masjid ini.Ketika Bani Umaiyyah ditumbangkan oleh Bani Abbasiyyah, Abdul Rahman I yang merupakan waris terakhir Bani Umaiyyah melarikan diri ke Andalus.Abdul Rahman I akhirnya memilih Cordoba sebagai pusat pemerintahan Bani Umaiyyah di Sepanyol.Bagi mengubat kerinduannya terhadap Damsyik, khalifah Abdul Rahman I mengarahkan supaya dibina Masjid Corboba yang sebenarnya mempunyai ciri-ciri binaan seperti Masjid Umawi ini.Oleh itu, tidak keterlaluan jika hendak dikatakan bahawa keindahan Masjid Cordoba merupakan hasil inspirasi keindahan Masjid Umawi ini.

Ramai sekali di antara ulama-ulama hebat yang datang ke Damsyik bagi menziarahi masjid ini untuk mendapat ilham bagi mengarang kitab-kitab mereka.Status Damsyik yang terletak di kawasan yang diberkati seperti yang disebut dalam Al Qur'an menambahkan lagi keberkatan masjid ini seperti Masjid Al Aqsa di Palestin.Antara ulama besar yang pernah ke sini ialah Imam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad Al Ghazali.Selepas berkelana meninggalkan jawatannya sebagai profesor di Universiti Nizammiyyah, Al Ghazali ke sini bagi mendapatkan ilham mengarang.Di satu sudut di kawasan barat masjid ini, Al Ghazali duduk lantas mengarang karya monumentalnya, Ihya' Ulumuddin. Kitab ini sampai sekarang menjadi rujukan utama dalam bidang tasawwuf. Sehingga kini, ruang di mana Al Ghazali mengarang kitab ini masih wujud dan diziarahi oleh umat Islam di sini.

Di belakang masjid ini pula, aku mencari beberapa maqam tokoh-tokoh terkenal Islam.Dengan bantuan seorang budak Arab yang aku temui di sini, dia menunjukkan aku maqam Sultan Malik Baibers, sultan kerajaan Mamalik yang memimpin umat Islam menundukkan tentera Mongol di 'Ain Jalut. Berdekatan dengan maqrabah ini, bersemadi seorang lagi jaguh yang dianggap sebagai mujaddid dan perwira Islam sepanjang zaman iaitu Sultan Salahuddin Al Ayyubi. Manusia seperti Salahuddin ialah tokoh yang selama ini dicari-cari oleh umat Islam sekarang.Jasanya membebaskan Palestin daripada genggaman tentera salib merupakan kisah kesatriaan yang tiada bandingan dalam tarikh(sejarah) peradaban manusia .Sifat kepahlawanan,keberanian,keadilan,kegagahan dan tasamuhnya (toleransinya) menjadi sanjungan setiap manusia yang membaca kisah-kisahnya.Di dinding maqam Salahuddin Al Ayyubi, aku membaca tentang sejarah hidupnya dan jasa-jasanya.Maqam ini sebenarnya diperindahkan dengan sumbangan daripada Kaiser Wilhelm II (Jerman) yang melawat Syria pada 1898.Sumbangan ini merupakan manifestasi hubungan diplomatik yang kukuh antara Turki Uthmaniyyah dan kerajaan Jerman. Jerman dikatakan satu-satunya negara Eropah yang tidak pernah mempunyai masalah dengan umat Islam ketika itu.Malahan, Jerman dikatakan menghormati dan melayan umat Islam dengan baik. Oleh itu, ketika Turki dipaksa untuk memihak semasa Perang Dunia Pertama, Turki telah memilih untuk berpihak kepada Jerman, bukannya British.Perkara ini akhirnya membawa kepada keruntuhan empayar Turki Uthmaniyyah setelah kekalahan Jerman kepada kuasa Bersekutu.

Sebenarnya terlalu banyak kawasan yang bersejarah di sekitar masjid ini.Aku sendiri tidak tahu berapa hari yang aku perlukan untuk menghabiskan ziarah aku di Damsyik ini. Seminggu sememangnya tidak mencukupi. Di Damsyik sahaja dikatakan bersemadinya ratusan sahabat Nabi Muhammad SAW , belum lagi pusara ulama-ulama terkenal Islam, Nabi-Nabi dan sebagainya.Azam untuk menziarahi kesemua tempat di sini mungkin tidak kesampaian. Namun, selagi aku berupaya, aku berazam untuk 'menawan' semua tempat-tempat ini!!!

No comments: