Memandangkan setiap hujung minggu pengajian bahasa Arab aku berehat seketika (Jumaat dan Sabtu), aku menggunakan kesempatan yang ada semalam untuk berkunjung ke salah sebuah pusat tumpuan pelancong di sini iaitu Mathaf Misriyyah (Muzium Mesir). Teringat kata-kata Ustaz Sulor Tahiron (Ustaz KMB) ketika menceritakan pengalaman beliau menziarahi Mesir,
" Muzium Fir'aun ni besar sungguh, satu hari pun takkan habis pusing dalamnya!"
Memang betul kata-kata Ustaz Sulor, walaupun bangunan muzium ini hanya 2 tingkat setengah, tapi terlalu banyak bahan pameran yang dipaparkan di sini. Khazanah Mesir purba terlampau banyak dan susah hendak dibilang. Masing-masing mempunyai nilai sejarah dan estatika tersendiri.Tidak keterlaluan kalau aku katakan selepas ini, aku mungkin akan hilang minat terhadap Muzim Negara Malaysia atau Muzium di Melbourne yang pernah aku lawat dahulu.
Sekitar kawasan Muzium Mesir ini dikawal sebegitu rapi oleh Syurtoh Aman Dakhiliyyah atau Polis Keamanan Dalam Negeri Mesir (in plain translation) dengan bersenjatakan machine gun dan sebagainya. Aku tengok puluhan trak polis di keliling kawasan muzium ini. Sejak 3 tahun lalu, kerajaan Mesir meningkatkan kawalan terhadap tempat-tempat tumpuan pelancong, ekoran kejadian pembunuhan pelancong di Luxor, yang dikatakan dilakukan oleh kumpulan radikal Islam seperti Jihad Islami dan Ikhwan Muslimin. Samada benar atau tidak dakwaan ini, aku pun tidak tahu tetapi kawalan keselamatan untuk masuk ke muzium sangat ketat seperti kawalan keselamatan di lapangan terbang antarabangsa. Bagi pelancong asing, tiket masuk sangat mahal, lebih kurang 20 Junaih manakala untuk orang Mesir cuma 1 Junaih.Jauh sungguh bezanya. Bagi pelajar seperti aku, nasib baik dapat diskaun 50%.Hanya 10 Junaih untuk pelajar.
Masuk sahaja di tingkat bawah, aku tercengang melihat begitu banyak patung-patung Fir'aun daripada Sphinx, keranda batu sehinggalah patung yang diukir daripada limestone putih dan hitam yang menggambarkan pemerintah Mesir purba. Antara yang paling menarik perhatian patung Nahotep dan Rofrep yang berusia 4600 tahun. Aneh sungguh, kebanyakan patung-patung ini tidak kelihatan seperti sudah berusia ribuan tahun. Ada yang masih baik dan ukiran serta tulisan Mesir kuno masih boleh dilihat dengan jelas. Satu lagi patung yang menarik ialah patung Ramses II. Patung tersebut menggambarkan Ramses II semasa masih kecil dan dinaungi oleh seekor helang yang besar. Belum habis 'tawaf' tingkat bawah, aku dah mula kepenatan. Mengikut buku Lonely Planet yang aku baca, satu hari memang tak cukup kalau nak meneliti semua bahan yang ada dalam muzium ini. Dikatakan terdapat lebih daripada 120 000 artifak yang disimpan di sini!! Mustahil untuk melihat semuanya.Kalau setakat melalui semuanya, maa fish musykilah (tidak ada masalah)!!
Tingkat atas sebenarnya jauh lebih menarik daripada tingkat bawah. Di atas juga terdapat satu lagi muzium kecil lain (muzium dalam muzium) iaitu Royal Mummy Museum. Di sinilah diletakkan mummies (mayat Fir'aun yang telah diawet) dalam kotak-kotak kaca untuk dipamerkan kepada pengunjung. Untuk masuk ke Royal Mummy Museum ini, kena bayar 20 Junaih lagi.Aduh!!! Banyak juga bayaran yang dikenakan oleh kerajaan Mesir kepada pelancong macam aku.Padanlah ekonomi mereka sekarang banyak bergantung kepada industri pelancongan.Setiap tahun aku rasa pendapatan Mesir daripada muzium ini sahaja sudah berjuta US dollar.Sebelum ke Royal Mummy Museum, aku meronda-ronda dahulu tingkat atas. Di sana hanya ada satu sahaja ruangan yang betul-betul menarik perhatian aku iaitu galeri yang mempamerkan artifak kepunyaan seorang Fir'aun Mesir bernama Tutankhamun.Tutankhamun memerintah Mesir kurun ke 14 sebelum Masihi. Tutankhamun hanya berkuasa selama 9 tahun, namun daripada apa yang ditemui oleh archeologists di maqamnya di Valley of the Kings (di Luxor) menceritakan tentang kekuasaannya dan kehebatan kerajaan Mesir ketika itu. Artifak-artifak yang ditemui pada tahun 1922 oleh pakar arkeologi British itu, berjumlah 1600 buah dan kesemuanya boleh dikatakan sangat bernilai daripada kerandanya,katilnya, kerusinya, topengnya hinggalah kepada seliparnya!!.Antara artifak yang berharga ialah 3 buah keranda Tutankhamun yang dibuat daripada kayu yang bersalut emas tulen. Selain itu, ada juga topeng Tutankhamun yang dipakaikan pada mayatnya yang dibuat daripada 11 kg emas tulen!Tidak silap aku gambar topeng Tutankhamun ini ada dalam buku teks sejarah kita masa tingkatan 4 dulu.Geram betul aku melihatnya. Rasa macam nak rompak museum ni...................
Daripada apa yang aku perhatikan, kebanyakan artifak yang dijumpai bersama mayat Tutankhamun adalah dibuat daripada kayu atau gangsa yang disalut dengan emas tulen.Misalnya, 3 buah katil Tutankhamun yang berukiran harimau bintang pada kakinya serta takhta yang pernah didudukinya. Semuanya bersalut emas belaka.Tidak ketinggalan ular-ular padang pasir yang diawet dan disalut dengan emas. Artifak-artifak ini secara tidak langsung membuktikan kehebatan,kekayaan dan kekuasaan kerajaan Fir'aun pada zaman lampau.Setelah 3 jam berjalan, aku akhirnya terduduk di satu sudut muzium.Dah tak larat nak melihat semua artifak di sini. Tiba-tiba aku teringat tentang Royal Mummy Museum tadi. Ada satu perkara yang mesti aku lihat di sana iaitu mayat (mumia) Ramses II.Bagi yang kurang arif tentang Ramses II, beliau ialah Fir'aun yang dikatakan hidup pada zaman Sayyidina Musa ('alaihi salam). Masuk sahaja ke dalam Royal Mummy Museum, aku bergegas mencari mayat Ramses II.Satu-satu mumia yang ada di situ aku perhatikan.Seti, Seqenre,Amenhotep,Queen Nodjmet,Queen Hentattawy, Ramses V, semuanya aku perhatikan tetapi aku tak perasan pula mana satu Ramses II. Akhirnya setelah bertanya pada seorang pengunjung tempatan, dia menunjukkan aku pada satu 'kamar' kaca di tengah-tengah bilik. Dengan bercakap dalam bahasa Arab, dia menerangkan " Inilah orang yang kamu cari, Fir'aun yang hidup sezaman Nabi Musa, mati di Laut Merah......"
Aku tak sabar-sabar nak melihat bagaimana rupanya si 'mangkuk' yang mengakui dirinya sebagai Tuhan yang tinggi semasa zaman Nabi Musa itu. Terperanjat aku bila melihat mayatnya tidak begitu besar.Anggota badan Ramses II sedikit 'mengerekot' mungkin kerana perubahan zaman. Saiznya semasa hidup mungkin sebesar Siti Khadejah Ahmad sahaja (jangan marah DJ!!)
Tapi hakikatnya memang begitu.Mengikut pengunjung tempatan ini, Fir'aun-Fir'aun yang hidup zaman dahulu adalah bangsa Qibti (bangsa pribumi Mesir) bukan bangsa Arab. Seperti orang Nubia yang tinggal di selatan Mesir, tubuh mereka (orang Qibti) tidak sebesar mana jika hendak dibandingkan dengan bangsa Arab. Mereka membina monumen-monumen yang besar dan tinggi seperti Sphinx dan Piramid tetapi saiz mereka sendiri bukanlah besar sangat.Dalam keadaan saiz mereka yang kecil, orang Qibti yang menjadi Fir'aun ini tidak sedar diri.Misalnya si Ramses II ini.
Balik daripada muzium, aku memikirkan, beginilah akhirnya nasib Fir'aun Ramses II ini. Dahulu semasa diberikan kuasa oleh Allah SWT, dia merajai seluruh Mesir dengan istana-istana yang mengalir sungai Nil di bawahnya.Mungkin kekayaannya jauh lebih hebat daripada Tutankhamun.Begitu juga dengan tentera-tenteranya dan binaan-binaannya yang berada di selatan Mesir sekarang (terutama di Luxor, Karnak, Thebes dan Aswan).Namun, kebongkakannya keterlaluan.Dialah diktator yang memperhamba Bani Israel, membunuh dan menyeksa orang yang beriman dengan risalah hanif Nabi Musa Dan Harun.Perilakunya menjadi tugu kezaliman yang diceritakan zaman berzaman.Kisah-kisah seperti ini memang sudah maklum dalam lembaran-lembaran surah Al Qur'an.Sekarang, Ramses II hanya berkubur di Mathaf Misriyyah. Tiada lagi tentera-tenteranya yang gagah mahupun harta dan istananya. Semuanya tidak menemaninya.Setiap hari, dia 'dipertontonkan' kepada pelancong-pelancong yang kagum dengan sejarah silam Mesir seperti aku. Satu kesudahan yang menyedihkan bagi seorang manusia, bumi dan langit pun tidak menerimanya!!
No comments:
Post a Comment