Saturday, May 27, 2006

There has been a miscommunication about the material that will be covered during Sidi Abdul Aziz's visit to Dublin.He'll be covering a section of Hidiyatul Siddiq on The Heart ( a poem by Abdullah bin Hussain binTahir as yet untranslated).In previous posting, I mentioned that he will be covering a chapter from the book 'Miftahul Jannah'.

Hoping to see bright faces of the seekers of knowledge tomorrow.

Saturday, May 20, 2006

Dalam Ribuan Mimpi Gelisah

Kesedihan

ada kalanya dirasakan
tiada berhujung tiada berpangkal

siang terasa terlalu singkat
dan malam ditarik-tarik memanjang
dalam ribuan mimpi gelisah
gunung tiba-tiba jadi lebih tinggi
dan hutan semakin menebal
di sungai air tidak lagi mengalir
langit diliputi gumpalan awan merah
bulan telah ditelan ular
dan bintang-bintang ketakutan
tiada apapun kulihat dalam kegelapan ini

di manakah matari?
aku merindui sinarmu

Said Zahari 1968

Entah kenapa hati saya begitu terusik dengan bait-bait puisi karangan Said Zahari di atas. Mungkin kerana saya berasa agak dekat dengan karya dan penulisan beliau. Bagi anak-anak muda Malaysia generasi Akademi Fantasia, Malaysian Idol (Beauty Sandha?) dan sebagainya, tidak mungkin mereka mengenali Pak Said, bekas wartawan Utusan yang terlibat aktif dalam mogok Utusan tahun 1961. Pak Said dan rakan-rakan seperjuangannya yang lain memprotes pengambil-alihan Utusan Melayu oleh parti pemerintah waktu itu (siapa lagi?) yang disifatkannya sebagai cubaan 'menutup ruang bersuara dan berfikir' bagi orang-orang Melayu.Utusan zaman tersebut menjadi suara bagi orang-orang Melayu terutamanya bagi kelas bawahan Melayu. Tindakan untuk menguasai Utusan adalah langkah untuk memudahkan UMNO memasakkan polisi-polisi partinya dalam kepala masyarakat Melayu.Hakikatnya, akhbar seperti Utusan sudahpun mati 45 tahun dahulu. Utusan yang ada sekarang cumalah alat propaganda golongan tertentu yang langsung tidak menyumbang ke arah budaya berfikir dan menilai.

Pak Said bukan sahaja berhadapan dengan kerenah orang politik di Tanah Melayu. Semasa krisis Utusan berlarutan, beliau kembali ke Singapura. Tuanku Abdul Rahman ketika itu dengan segera mengharamkan Said Zahari daripada pulang ke Tanah Melayu. Di Singapura, nasib beliau juga tidak begitu baik. Dalam Operation Cold Storage oleh Lee Kuan Yew, beliau dikaitkan dengan anasir komunis dan dipenjara tanpa dibicarakan. Walhal, asas perjuangan beliau bukanlah idealogi komunisme atau sosialisme. Beliau cuma anti-imperialisme, anti-colonialisme dan anti kepada pemimpin barua Anglo-Saxon seperti Lee Kuan Yew.Padahnya, selama 17 tahun, isteri dan anak-anak beliau dipisahkan secara kejam oleh regim Lee Kuan Yew.Pak Said bila menggambarkan Lee Kuan Yew selalu menyebutnya sebagai vicious, arrogant and ruthless. Malang sungguh bangsa Melayu(pemimpin Melayu?) melepaskan tanah Singapura kepada Kuan Yew dan anak-anaknya.

Buku kedua Pak Said, Dalam Ribuan Mimpi Gelisah merupakan nukilan Pak Said sebagai sanjungan terhadap pengorbanan isterinya yang tercinta, Puan Salamah Wahab yang gigih meneruskan kehidupan membesarkan anak-anak tanpa ketiadaan si suami. Khabarnya buku ini merupakan buku kedua daripada trilogi memoir politik Pak Said.


Puan Salamah ketika menyoroti rentetan penahanan Pak Said menggambarkan bagaimana dia cuba ditenangkan oleh ASP Hashim, SB Polis Singapura yang mengatakan,


"Puan jangan sedih. Kami cuma akan tahan Encik Said sekejap sahaja......".

Namun, kenyataan tersebut tidak menjadi.Pak Said ditahan tanpa bicara selama 17 tahun!!

Buku pertama Pak Said, Meniti Lautan Gelora telah saya khatami beberapa tahun dahulu.Seingat saya, waktu itu saya dalam proses akhir melengkapkan diploma IB di Kolej Mara Banting.Di Banting, kami perlu menghasilkan satu extended essay dalam mana-mana subjek.Saya memilih untuk membuat EE dalam subjek Sastera Melayu. Secara tidak langsung, ini membuatkan saya terpaksa ke Pusat Dokumentasi DBP untuk mencari bahan-bahan sastera bagi menyiapkan EE saya. Waktu itu, saya ternampak buku pertama Pak Said yang berjudul Meniti Lautan Gelora itu. Terus saya membeli dan membacanya dari kulit ke kulit dengan penuh asyik. Catatan memoir seseorang yang pernah hidup sebelum dan selepas kemerdekaan adalah catatan yang tidak ternilai.Masakan tidak, tokoh seperti Said Zaharilah yang sama-sama berjuang menuntut kemerdekaan dan mewarnai erti kemerdekaan itu sendiri.Banyak sekali fakta-fakta tentang kemerdekaan yang 'dibetulkan' semula oleh Pak Said.Hakikatnya, coretan sejarah yang terdapat di buku-buku teks sejarah di sekolah-sekolah di Malaysia telah dikaburi dan dinodai. Jika dibaca, kita cuma akan melihat Parti Perikatan sahaja sebagai wira segala-galanya dalam kemerdekaan. Bahkan sebenarnya banyak sumbangan tokoh-tokoh lain yang langsung tidak diendahkan.

Antara catatan Pak Said yang paling menarik ialah sebab keengganannya menyertai UMNO yang diasaskan oleh Datuk Onn Jaafar. Pernah pada satu majlis makan malam, Pak Said mengatakan bahawa UMNO bukanlah parti pertama yang menghidupkan tuntutan kemerdekaan. Slogan parti ini sebagai respon terhadap Malayan Union cumalah laungan
'HIDUP MELAYU!!' yang emosi dan tiada ruh.Parti ini baru terhegeh-hegah menyeru dan menuntut kemerdekaan setelah tokoh-tokoh lain seperti Ibrahim Yaacob daripada Kesatuan Melayu Muda melaung-laungkan tuntutan 'MERDEKA!!'. British ternyata tidak senang dengan parti-parti selain Perikatan yang tidak mahu berkompromi soal kemerdekaan. Itu sebabnya pemimpin-pemimpin KMM, API ditangkap lalu disumbat dalam penjara sementara tokoh-tokoh Perikatan cuma 'runding-runding' sahaja dengan British. Akhirnya, yang mendapat nama dan sanjungan hanyalah tokoh-tokoh yang menjadi 'badut suruhan' British sahaja.

Betulkah perspektif sejarah negara kita?Entahlah.....

Apapun, tidak sabar sungguh untuk pulang ke tanahair bagi mendapatkan memoir Pak Said ini

Saturday, May 13, 2006

Sidi Abdul Aziz Ahmad



Sukacita dimaklumkan bersempena Deen Intensive II yg akan berlangsung akhir bulan ini, warga Dublin akan menerima seorang tetamu istimewa dari Glasgow, Scotland. Beliau bukanlah sebarangan tetamu.Seorang mahaguru dan Sheikh terbilang yang mungkin tidak begitu dikenali di kalangan kita.Namun, di kalangan 'circle' masyarakat Islam di UK, nama beliau cukup tersohor terutama di bahagian utara UK.

Tokoh yg dimaksudkan ialah Sidi Abdul Aziz Ahmad Fredericks, seorang ulama UK yg akan bertandang ke Dublin demi untuk bersua muka dengan pelajar-pelajar Malaysia yang menghadiri program DID II. Ini merupakan lawatan balas Sidi AA setelah kami menziarahi beliau di Scotland tahun lepas bersama Ustaz Fauzi.Beliau akan berada di sini mulai 9 Jun hingga 11 Jun.Sesi pengajian bersama beliau akan diadakan pada hujung minggu tersebut dan huraian yg akan disampaikan ialah petikan daripada kitab Miftahul Jannah (Key to the Garden) karangan Habib Ahmad Mashur al-Haddad.

Sedikit mengenai latar belakang beliau.Beliau dilahirkan di Nottingham dan profesyen beliau adalah sebagai seorang guru bahasa Inggeris.Berbekalkan kelayakan tersebut, beliau berkhidmat di merata-rata negara di Timur Tengah dan berguru dengan sebilangan ulama-ulama terbilang yang hidup pada waktu tersebut. Antara guru-guru beliau yang terkemuka adalah seperti Habib Ahmad Mashur al-Haddad di Jeddah yang juga merupakan guru kepada Sheikh Hamza Yusuf (Zaytuna Institute) dan Sheikh Abdal Hakim Murad (Cambridge University).Guru-guru lain termasuklah Sharif Khitami, ulama besar mazhab Shafi'i di Kenya, Sheikh Mahmud Ghalal, ulama Al-Azhar di Mesir, Abul-Qasim bin Zein, ulama Tunisia dan sebilangan lagi ulama-ulama besar di Hijaz, Yaman, Turki, Mesir, Syria serta Tunisia.Jika diikutkan, kedudukan beliau adalah setara dengan ulama-ulama terkenal di dunia Barat lain seperti Hamza Yusuf, Abdal Hakim Murad, Imam Zaid Shakir dan lain-lain. Namun, beliau agak 'low-profile' dan ini menjadikan beliau agak tidak dikenali di kalangan pelajar-pelajar Malaysia di UK, apatah lagi di Ireland.

Beliau kini mempunyai sebuah sekolah Islam di Glasgow dan sangat aktif dalam bidang dakwah di UK dan di negara-negara Eropah lain.Beliau mempunyai halaqah mingguan di Glasgow yang membicarakan Hadith 40 Imam Nawawi serta bergiat dalam program-program berkala di UK. Di samping itu, beliau sangat aktif menterjemah dan mengedit karya-karya klasik Islam seperti teks Risalah Jamiah dalam fiqh Shafi'i, Risala-an Nur (Badiuzzaman Said Nursi) dan lain-lain.