Sunday, August 30, 2009

Sebat Sahaja...Jangan Banyak Cakap



Dengan tidak semena-mena nama seorang model bernama Kartika yang tidak terkenal menjadi meletup-letup. Kalau menjadi tersohor disebabkan kebaikan, tidak mengapa. Tapi ini disebabkan oleh hukuman sebat yang dijatuhkan oleh mahkamah syariah Pahang ke atas model yang ditangkap meminum arak di sebuah resort di negeri tersebut.

Pertama sekali, kita ucapkan tahniah kepada institusi kehakiman syariah yang berani melaksanakan hukuman yang termaktub dalam enakmen undang-undang negeri. Kedua, syabas jugalah kepada model tersebut yang kelihatan telah insaf dengan perbuatannya dan redha dengan hukuman yang bakal dijatuhkan.

Malang sekali saya rasa agak janggal dengan penangguhan hukuman sebat terhadap Kartika. Menteri Dalam Negeri mengumumkan bahawa hukuman tersebut ditangguhkan kerana; "...tiada jurusebat untuk menjalankan hukuman berkenaan.."


Statement ini agak kelakar dan sangat tidak lojik. Bagaimana sesuatu undang-undang sudah digazetkan tetapi tiada kemudahan untuk dilaksanakan. Samalah seperti menghukum penjara atas kesalahan mencuri tetapi di dalam negeri tiada kemudahan penjara. Harus diingat, enakmen undang-undang ini sudah lama iaitu sejak tahun 1987. Masalah ini tidak lain kerana kelemahan KDN yang tidak bertindak menguatkuasakan enakman pentadbiran undang-undang Islam.

Isu Kartika menjelmakan banyak wajah hipokrit, munafik dan liberal banyak pihak yang berselindung di sebalik nama organisasi Islam atau nama Islam sendiri. Nampak gayanya ramai sekali yang cuba membela tahi-tahi arak yang sepatutnya disebat menurut hukuman Islam. Ada beranggapan hukuman ini terlalu 'kejam' kerana 'it is just a bloody sip of alcohol.' Tak kurang juga memberi persepsi negatif bahawa hukuman ini tidak bersifat mendidik sebaliknya lebih bertujuan mendera.

Islam sememangnya mengenakan hukuman had pada pesalah-pesalah yang meminum arak ini. Hukumannya berbentuk sebatan tidak lebih 80 kali dan tidak kurang daripada 40 kali. Dan sememangnya hukuman Islam sebatan bukanlah zalim. Sebat mengikut hukuman Public Law jauh lebih dashyat bahkan boleh membawa maut.

Hukum sebat Islam sebaliknya lebih mementingkan pendidikan dan pengajaran kepada pesalah. Jika dirujuk kitab 'Fiqh 'ala Mazahibil Arba'ah', kitab ' Fiqh Islami wa Adillatuhu' susunan Shaykh Wahbah Zuhayli dan kitab 'Qanun Jinayah Syar'iyah' karya bekas mufti Sabah, Haji Sa'id Haji Ibrahim dinyatakan bahawa:

1) Hukuman sebat boleh dijalankan dengan menggunakan cemeti dengan pukulan yang sederhana. Cemeti yang digunakan TIDAK BOLEH cemeti yang basah supaya tidak melukakan dan bukan pula cemeti yang bercabang atau berpecah.
2) Penyebat yang menggunakan cemeti bercabang atau cemeti yang pecah, sebatan itu TIDAK dikira satu sebatan, malah sebatan tadi adalah mengikut bilangan cabang-cabang yang ada pada cemeti itu.
3) Hukuman sebat tidak boleh dijalankan pada waktu musim terlalu panas atau waktu terlalu sejuk. Hukuman juga tidak boleh dilakukan ke atas pesalah-pesalah yang sedang sakit, perempuan-perempuan hamil atau yang sedang kedatangan nifas.
4) Pesalah-pesalah lelaki tidak perlu ditanggalkan pakaiannya, kecuali jika pesalah memakai pakaian yang terlalu tebal ketika musim sejuk.
5) Pesalah-pesalah lelaki hendaklah dijalankan hukum sebat dalam keadaan berdiri manakala pesalah perempuan dalam keadaan duduk.
6) Hukuman sebat tidak boleh dijalankan terus-menerus pada satu anggota sahaja (untuk mengelakkan kecederaan serius atau kecacatan kekal), sebaliknya harus berpindah sebatan itu dari satu anggota ke satu anggota lain KECUALI muka, kemaluan dan kepala.

Lihatlah, betapa baik dan adilnya hukuman Islam kepada pesalah-pesalah ini. Siapa pula yang mengatakan hukum hudud adalah zalim? Jika beginilah cara sebatan dilakukan, sesiapa pun boleh menjadi jurusebat hukuman had. Ada sesiapa lagi yang berminat?

No comments: