Saturday, March 03, 2007

Darul Hadith Ince Minare


Salah satu daripada kerajaan Islam yang masyhur satu masa dahulu di Turki ialah kerajaan Seljuk atau dlm bahasa Turki Selcuklular. Malahan tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa kerajaan Seljuk merupakan 'bapa' kepada Turki Uthmaniyyah. Osman Ghazi, pengasas Dinasti Uthmaniyyah merupakan tokoh daripada puak Kayi yang dominan semasa pemerintahan kerajaan Seljuk.

Kerajaan Seljuk bermula sejak kurun ke 11 apabila mereka berjaya menumpaskan kerajaan Byzantine di Malazgirt pada tahun 1071M. Ini diikuti dengan penawanan satu demi satu wilayah-wilayah di Anatolia Tengah. Akhirnya, pada tahun 1150M bandar Konya dijadikan ibu negara kerajaan Seljuk. Pada periode ini, perkembangan Islam begitu meluas dan cukup membanggakan. Malahan sultan-sultan Dinasti Seljuk sendiri merupakan penaung kepada aktiviti-aktiviti spiritual, keilmuan, keseniaan dan kesusasteraan. Tempoh ini menyaksikan kelahiran ramai tokoh-tokoh ilmuan baik ahli agama, saintis mahupun sasterawan. Umar Khayyam dan Maulana Rumi adalah antara tokoh yang hidup semasa pemerintahan kerajaan Seljuk.

Gambar yang dipaparkan di atas ialah Madrasah Ince Minare di Konya. Madrasah ini sebenarnya digelar Darul Hadith semasa penubuhanya pada tahun 1264M atas perintah Sultan Izzettin II, salah seorang sultan kerajaan Seljuk.Di sinilah ilmuan-ilmuan hadith semasa empayar Seljuk menerima pendidikan secara formal daripada ulama-ulama hadith. Madrasah ini, selepas kejatuhan Turki Uthmaniyyah tidak lagi berfungsi kerana ditutup oleh kerajaan. Namun, bangunan madrasah ini sarat dengan senibina kerajaan Seljuk yang cukup unik.Antaranya ialah menara yang berhiaskan marmar biru dan pintu masuknya yang mempunyai motif ukiran dan inskripsi khat zaman dinasti Seljuk. Madrasah Ince Minare ini sekarang dijadikan muzium dan merupakan antara senibina Seljuk yang paling dikagumi.

No comments: