Friday, March 23, 2007

Pakcik Muhammad Firinci




"Pakcik Mehmet, ceritakanlah kepada saya...
Ceritakan bagaimana perwatakan Badiuzzaman Said Nursi..."


Pakcik Mehmet tersenyum manis.Senyumannya yang menawan itu betul-betul menyembunyikan jalur-jalur usia yang penuh pada wajahnya.Orang tua ini sudah melepasi 8 dekad kehidupan. Tapi auranya masih muda remaja.

"Anakku, apa yang mahu kau tahu tentang Said Nursi?Kenapa begitu beriya-iya bertanyakan tentang Badiuzzaman daripada orang tua seperti aku?" soal Pakcik Mehmet.

"Bukankah Pakcik ini antara beberapa anak murid Said Nursi yang masih hidup dan pernah menerima tarbiah secara langsung daripada Badiuzzaman? Ada ramai yang mendakwa sebagai murid Badiuzzaman seumpama pengikut-pengikut Risala-an-Nur daripada gerakan Nurcholis.Tapi yang pernah bertemu dan belajar secara langsung dengan Badiuzzaman hanya boleh dibilang dengan jari!"

Pakcik Mehmet hanya ketawa.

"Itu kerana kebanyakan mereka telah dipanggil pulang oleh Allah SWT. Orang tua seperti aku juga hanya menanti masa sahaja. Orang muda seperti kamu akan membawa obor agama ini."

Pakcik Mehmet Firinci atau nama sebenarnya Mehmet Nuri Guleglier masih muda remaja ketika bertemu dengan Said Nursi pada awal 50an.Dia digelar Firinci atau 'Pembuat Roti' kerana dia mewarisi perniagaan bapanya yang membuka kedai roti di Istanbul.Said Nursi adalah sahabat baik kepada bapa Pakcik Mehmet.Atas dasar keakraban itu, Said Nursi pernah tinggal di rumah Pakcik Mehmet di Istanbul selama beberapa bulan pada awal tahun 50an.Tempoh itu merupakan dekad yang paling mencabar dan penuh tribulasi bagi Said Nursi.(Sejarahnya dibuang daerah, dibicara dan dipenjara boleh dibaca daripada banyak sumber.)

"Sukar sekali untuk melupakan manusia seperti Said Nursi. Hatinya penuh dengan kecintaan pada semua golongan.Bila bertemu dengan sesiapa sahaja, tidak kira pemerintah, penguasa, orang kaya, miskin, wanita, orang dewasa mahupun kanak-kanak, dia cukup bersemangat untuk menyampaikan mesej Allah SWT. Benih ajaran Said Nursi ialah makhluk ciptaan Khaliq, seperti manusia dan alam ini adalah bayang-bayang kepada sifat Allah SWT. Refleksi terhadap diri dan dunia ini adalah jalan menuju makrifat Allah Azza wa Jalla. "

"Said seorang yang cukup tajam akalnya. Dia mampu membaca dan menghadam puluhan kitab-kitab tasawwuf yang besar-besar dalam masa yang singkat. Setiap hari selama 18 tahun, dia mengajar intipati kitab-kitab ini sekurang-kurang 3 jam sehari! "

Menurut Pakcik Mehmet, ramai yang beranggapan bahawa Said Nursi merupakan mursyid tariqat tertentu, terutamanya dari jalur Naqshabandi.Namun, pada anggapan Pakcik Mehmet, Said Nursi sebenarnya tidak pernah secara formal menurut mana-mana tariqat.Ramai penulis dan cendiakawan yang bertanyakan Pakcik Mehmet tentang 'status' Said Nursi dalam mana-mana tariqat.Ramai yang beranggapan, Said adalah tokoh tariqat Naqshabandi seperti Prof Hamid Algar.Mungkin kerana pengaruh pemikiran dan manhaj tokoh-tokoh Naqshabandi seperti Imam Rabbani yang sangat kuat dan begitu membekas dalam pemikiran Said Nursi.Lihat sahaja sekian banyak ulasan-ulasan Said Nursi yang memetik kalam Maktubat Imam Rabbani.Namun menurut Pakcik Mehmet, Said bukanlah mursyid mahupun pengikut mana-mana tariqat.

"Manusia sepertinya tidak ghairah sedikitpun pada dunia. Malahan, ketika ajalnya hidup Said sangat sederhana dan tidak berharta.Hartanya cuma peninggalan ilmunya. Cintanya pada ilmu dan dakwah untuk menyedarkan masyarakat supaya kembali pada Allah SWT telah membunuh cintanya pada perkara-perkara duniawi, wanita, harta mahupun makanan! Tingginya lebih kurang 173cm tapi berat badannya cuma 38kg!"

Selepas puluhan tahun meninggalkan alam fana ini, keberkatan ilmu Said masih terasa.Di mana-mana kawasan di Turki baik di Istanbul, Bursa mahupun Izmir, pengikut-pengikut Risala-an-Nur bertebaran dan menghidupkan rumah-rumah mereka dengan majlis-majlis pembacaan Risala-an-Nur.Antara yang cukup aktif ialah Pakcik Mehmet sendiri yang memimpin halaqah Risala-an-Nur di kediaman beliau di perkarangan Masjid Fatih.Pakcik Mehmet, meskipun sudah lanjut usia, mewarisai akhlak mulia gurunya.Sentiasa ceria dan segar melayani karenah tetamu-tetamu yang dahagakan ilmu daripadanya.Kata-kata halus kesopanan serta karektornya umpama cerminan gurunya yang telah lama mendahuluinya.

Entah bila Tuhan akan menemukan kita kembali, Pakcik Firinci?

4 comments:

Anonymous said...

Saya juga sangat tertarik dengan perwatakan pakcik Mehmet. Ketika itu beliau datang menemani isterinya Sukran Vahide ke UIA. Turut sama dalam rombangan beliau, Ustaz Ihsan Qasim al-Salihi.

Pak cik Mehmet, sentiasa tersenyum dan sangat lucu. Dia byk bercerita tentang akhlak dan perwatakan Ustaz Bediuzzaman Said Nursi.

alfaqir6 said...

Seronok juga berkongsi pengalaman spiritual mereka yang bertemu pengikut Said Nursi di Turki atau Malaysia. Hamba ada membaca anika buku Risalae Nur ketika di Universiti Malaya tahun 1979 ie The Miracles of Muhammad, Nature, Brotherhood.

Pada 5 Feb.5 ketika Haji diMakkah diberkati berjumpa dengan Mustafa Sozen dan isteri di Masjidil Haram lalu dihadiahkan kitab kecil Envar Nasriyat dan Hisbul Anwaril Haqaiqin Nuriyyah. Dalamnya ada seribu Nama-Nama Allah and anika salawat. Bila terluang waktu hamba masih belum habis membaca serta menilik kitab ini. Sejuk hati dan masih tercium baraka dari bumi awliya tercinta.

Anonymous said...

Betul tu kak.ma Albazrah

teringat detik2 walau sebentar senyumannya dan perwatakannya sungguh humble..Moga Allah menemukan lagi kita dgn insan2 iklhas seperti beliau

Sugeng said...

Apakah Pakcik Muhammad Firinci ini yang ke Kediri Indonesia, bersama Sukran Vahide, yang membentangkan makalah tentang "multicultural education based on Said Nursi's Ideas"? Ya, saya rasa memang beliau. Kami bersalaman beberapa kali. Saya kebetulan yang menerjemahkan buku Biografi Said Nursi karya Sukran Vahide ke dalam bahasa Indonesia. hanya sayang, beliau tidak cakap bahasa Indonesia atau Inggris, jadi hanya sedikit yang bisa kami percakapkan dengan bantuan Dr. Fariz Kaya dan Hasbi Ben... Ya, saya masih teringat senyum yang tulus itu ...