Sunday, October 24, 2010

Haul Imam Haddad 2010

Tempoh hari, aku ke Masjid Negeri di Shah Alam. Ada sambutan Haul Imam Haddad. Cuba juga mencari-cari teman atau kenalan yang mungkin hadir ke sambutan tersebut. Malangnya aku tenggelam dalam ribuan manusia yang hadir bagi memperingati 'Qutb al-Irsyad' ini. Tahun ini sudah masuk tahun ke-9 majlis haul sebegini diadakan di Malaysia. Masya Allah, from very humble beginning, sambutan untuk mengenang ulama besar dari Hadramawt ini sudah mencapai momentum yang agak besar jika dilihat pada skala penganjuran pada tahun ini. Tahniah kepada organisasi Hawi al-Khairat yang merupakan badan utama penganjuran ini.

Ketika aku duduk di dalam masjid, salah seorang hadirin menghulurkan cenderahati untuk majlis itu, buku kecil yang mengandungi riwayat, qasida, wirid dan beberapa nukilan Imam Haddad. Selain Habib Kazim as-Saqqaf dan Habib Umar bin Salim bin Hafiz, beberapa masyaikh dan Habaib dari Indonesia turut hadir. Mufti Singapura, Syed Isa Semait (abang kepada al-marhum Syed Ahmad Semait) turut kelihatan. Agak malang kerana bilangan hadiran yang begitu ramai dan bersesak-sesak, aku langsung tidak dapat menghampiri mana-mana Habaib yang menjadi tetamu pada malam itu. Sayang sekali..

Di bawah adalah transkrip kuliah tetamu utama pada malam itu, Habib Umar bin Hafiz



Segala puji bagi Allah Tuhan Sekalian Alam yang telah menjadikan hubungan hakikat kita dengan Allah Ta’ala terkait dengan hati kita dan roh kita. Seperti yang dijelaskan baginda saw, “Sesungguhnya Allah Ta’ala tidak melihat hambanya pada jasadnya tetapi pada hatinya. Salawat dan salam kita hadiahkan kepada seorang yang menjadi pintu mengenalkan kita kepada Allah Ta’ala iaitu Junjungan Besar Rasulullah saw berserta para hali keluarga dan para sahabatnya.
Hadirkanlah hati-hati kalian agar hati kalian dipandang Allah Ta’ala ketika kita sedang mengenang seorang imam yang sangat berjasa dalam usaha membersihkan hati-hati manusia untuk mengenal kepada Allah Ta’ala. Dan renungkanlah, kalau bukan kerana kedudukannya di sisi Allah Ta’ala yang cukup tinggi itu sudah tentu kita tidak berhimpun di sini untuk meraikannya. Kalau bukan kerana keimanan dan kecintaan kepadanya sudah tentu kita tidak duduk membaca ratib dan zikir yang disusun oleh imam yang riwayat hidupnya disebut malam ini.
Ketahuilah bahawa zikir adalah lafaz dari lisan kita. Al-Imam al-Haddad yang riwayat hidupnya disebut malam adalah merupakan hamba Allah yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Begitu juga dengan masjid seperti yang ada pada hari ini adalah merupakan binaan yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Ketahuilah bahawa semua makhluk adalah merupakan tempat yang boleh menjadi hubungan yang menyampaikan cinta kita kepada Allah Ta’ala. Nabi saw ada bersabda bahawa Rukun Iman itu ada enam. Empat daripadanya adalah terkait dengan hubungan harta-harta Allah Ta’ala. Iman bermakna kita beriman kepada Allah Ta’ala. Walau bagaimanapun jika dia mengaku beriman kepada Allah tetapi pada masa yang sama dia mendustakan salah satu dari rukun iman yang lain maka jadilah ia orang yang kafir dan kekal di dalam neraka.
Seorang Yahudi datang bertemu Rasulullah saw dan bertanya kepada baginda saw, “Siapakah yang telah menyampaikan wahyu kepadamu?”
Lalu dijawab Rasulullah saw, “Jibril”.
Lalu Yahudi itu berkata, “Dia itu musuh kepada kami”.
Maka Allah menurunkan wahyu dengan maksudnya, “Katakanlah wahai Muhammad, barangsiapa yang memusuhi Allah dan malaikat, Rasul-Rasul Allah, Jibril dan Mikail maka mereka adalah musuh-musuh Allah dan golongan kafir”.
Permusuhan mereka kepada Jibril bererti mereka juga adalah musuh kepada Allah. Allah tidak akan menerima iman orang-orang yang memusuhi para malaikat dan Rasul-Rasul Allah. Iman mereka langsung tidak membawa manfaat. Dalam satu hadith Qudsi yang diriwayat Imam Bukhari, Allah berfirman bahawa barangsiapa memusuhi wali-wali Aku maka Aku mengisytiharkan peperangan ke atasnya”. Para ulama menyatakan bahawa sesiapa yang terkena musibah kerana memusuhi wali Allah tidak mungkin akan mati dalam keadaan Islam. Mana mungkin ia akan mendapatkan keamanan dalam hidupnya apabila ia diperangi Allah Ta’ala.
Wahai sekalian kaum mukminin yang hadir, sesungguhnya hakikat keimanan kita kepada Allah Ta’ala boleh terjalin melalui hamba-hamba yang dekat dengan Allah Ta’ala.
Nabi Yaakub as berkata kepada anak-anaknya ketika baginda as berhadapan dengan sakaratul maut, “Apakah yang akan kamu sembah selepas aku mati?”
Kata anak-anaknya, “Kami akan menyembah Tuhan ayah kami, Tuhan Nabi Ishak dan Tuhan Nabi Ismail”.
Kenapa anak-anaknya menyebut nama Nabi-Nabi ini padahal kesemua Nabi-Nabi bertuhankan kepada Tuhan yang satu iaitu Allah Ta’ala? Ini adalah kerana nama Nabi-Nabi ini memberi kesan kepada mereka untuk mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala. Tidak mungkin tauhid kita menjadi sempurna jika kita putuskan hubungan kita dengan para anbiya dan para wali Allah. Seseorang yang tidak belajar dengan betul dan tidak mempunyai sanad mungkin akan terkeliru dan tidak tahu membezakan pengagungan terhadap orang-orang yang di agungkan Allah dengan orang-orang yang diagungkan oleh orang musyrik. Orang-orang musyrik mengambil keberkatan berhala yang disembahnya sedangkan perbuatan ini adalah batil. Sedangkan para sahabat mengambil keberkatan baginda saw menerusi sisa-sisa air wuduk baginda saw sehinggakan ada sahabat mengambil pula sisa air itu dari sahabat yang lain apabila tidak berkesempatan mendapatkannya dari baginda saw. Sepertimana kisah Nabi Yusuf as yang memberikan gamisnya kepada ayahandanya Nabi Yaakub as. Ayahandanya yang buta itu dapat melihat semula sebaik sahaja meletakkan gamis milik Nabi Yusuf itu ke wajahnya. Kaum musyrikin sujud kepada berhala tanda mereka sekutukan makhluk. Sebaliknya para malaikat sujud kepada Nabi Adam manakala Nabi Yaakub as beserta ahli keluarganya sujud kepada Nabi Yusuf bukanlah bermakna tujuan mengagungkan makhluk sebaliknya ia adalah perintah Allah.Iblis tidak sujud kepada Nabi Adam namun ia tidak memberi manfaat kepada Iblis kerana ia melanggar perintah Allah.
Dalam Sahih Bukhari ada diceritakan tentang peninggalan jubah milik Rasulullah saw yang disimpan oleh isterinya, Maimunah ra. Kata Maimunah ra, “Saya membersihkannya manakala airnya saya berikan kepada orang-orang sakit untuk menyembuhkannya”.
Maka disini hendaklah kita menyedari dan mengetahui akan kedudukan orang-orang yang mempunyai darjat yang tinggi di sisi Allah Ta’ala. Jangan sibukkan diri dengan mengkafirkan orang lain sebaliknya sibukkanlah diri dengan mencari ilmu yang benar. Bersyukur dan pujilah kepada Allah yang telah menyelamatkan kita dari syirik yang besar dan kecil.
Ada seorang masuk dalam majlis Rasulullah saw dengan keadaan janggutnya dibasahi air wuduk.
Rasulullah saw kemudiannya menegur orang itu dengan bertanya, “Adakah dalam hati kamu terdetik rasa riya'?”
“Ya”, kata orang itu.
“Sebab itulah aku nampak ada syaitan pada wajah kamu”, kata baginda saw.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Al-Haddad bermaksud tukang besi. Pernah satu hari seorang anak dipertntah oleh ayahnya pergi berjumpa dengan tukang besi untuk menajamkan pisaunya. Si anak yang lurus ini pergi ke rumah Imam al-Haddad dan berkata kepada Imam al-Haddad,
“Ayahku memerintahkan daku berjumpa denganmu untuk menajamkan pisau ini”.
Imam al-Haddad tersenyum lalu berkata, “Berikan pisau itu kepadaku. Engkau pulanglah dahulu dan ambillah esok”.
Keesokannya, si anak itu datang berjumpa Imam al-Haddad dan Imam al-Haddad pun memberikan pisau yang telah ditajamkannya itu kepada si anak tadi. Si anak bertanya, “Berapa harganya tuan?”
Kata Imam al-Haddad, “Usahlah kamu bayar dan pulanglah ke rumahmu”.
Si anak itu pun pulang dan memberikan pisau itu kepada ayahnya.
Si ayah bertanya, “ Berapa harga upah menajamkan pisau ini?”
Si anak menjawab, “Tukang besi itu tidak mahu menerima upahku”.
Si ayah kehairanan. “Engkau berjumpa dengan tukang besi yang mana? Bukan di pasar?” , tanya si ayah.
“Bukan ayah, saya pergi ke rumah tukang besi”, jawab si anak dengan jujur.
“Ke rumah tukang besi? Adakah kamu ke rumah Imam al-Haddad?”, tanya si ayah lagi.
Si anak mengangguk. Langsung si ayah bergegas menuju ke rumah Imam al-Haddad. Ayahnya berasa sangat malu dengan perbuatan anaknya dan memohon maaf serta ampun dari Imam al-Haddad kerana salah faham yang berlaku. Si anak menyangkakan bahawa Imam al-Haddad adalah tukang besi yang dimaksudkan padahal si ayah menyuruh si anak berjumpa dengan tukang besi di pasar.
Kata Imam al-Haddad, “Janganlah engkau memarahi anakmu jika kamu kasih padaku”. Begitulah mulianya peribadi Imam al-Haddad.
Kata Imam al-Haddad, “Aku langsung tidak rasa terhina dengan peristiwa ini”. Imam al-Haddad mempunyai hati yang sangat bersih dan sanggup menajamkan pisau yang diberikan oleh si anak walaupun beliau bukanlah tukang besi yang dimaksudkan. Cubalah bayangkan jika kita berada di kedudukan Imam al-Haddad, sudah pasti kita akan marah-marah kerana membuat kerja yang tidak sepatutnya.
Imam al-Haddad sentiasa berkata, “Bila aku menuju ke tempat solat, jangan kamu ganggu perasaan takzim aku kepada Allah Ta’ala”. Diriwayatkan pernah terjadi bila Imam al-Haddad mengangkat takbir maka terbelah mihrab yang berada di hadapannya. Terbelahnya mihrab itu adalah disebabkan pengagungan yang terlalu tinggi Imam al-Haddad terhadap Allah Ta’ala. Kata habib, kesan belahan itu masih boleh dilihat sehinggalah masjid itu dibaikpulih.
Ucapan Imam al-Haddad penuh keluhuran. Katanya, “Aku tidak berasa bimbang setelah aku mendengar firman Allah yang menyatakan bahawa tidak akan berlaku apa-apa melainkan rezekinya dijamin Allah Ta’ala”.
Imam al-Haddad mentakzimkan sunnah-sunnah Rasulullah saw. Beliau melaksanakan semua sunnah Rasulullah saw. Beliau sering bermimpi bertemu Rasulullah saw bahkan beliau turut bertemu Rasulullah saw dalam keadaan jaga. Ketika musim haji, apabila beliau mengunjungi makam Rasulullah saw dan memberi salam kepadanya, ada ulama yang turut berada disitu mendengar Nabi saw menjawab salam Imam al-Haddad. Rasa perhambaan yang tinggi yang ada pada Imam al-Haddad telah menyebabkan beliau mempunyai kedudukan yang tinggi disisi Allah Ta’ala. Pernah satu ketika keluarga Bafadhal berhajat hendak menziarahi makam Nabi saw. Pada masa itu, Imam al-Haddad telah pun wafat. Namun disebabkan ada masalah tertentu mereka tidak dapat memenuhi hajat itu sehinggalah mereka berasa sedih yang amat sangat. Pada satu malam, mereka bermimpi bertemu Rasulullah saw. Dalam mimpi itu, Rasulullah saw bertanya, “Adakah kamu rasa sedih kerana tidak dapat menziarahi aku? Ketahuilah jika kamu menziarahi cucuku (Imam al-Haddad), Allah akan tunaikan 70 hajat kamu”.

2 comments:

Tawel Sensei said...

Aku nak pergi dengan Syed, tapi tak dapat. Aku kerja hari Sabtu tu. Syed kata dia macam ternampak kau. Betul la tu rasanya bila kau dah tulis pasal ni.

Ayman Rosland said...

Ko dan Syed bekerja kat Shah Alam?

Aku sekarang di HKL. Sedang mencari-cari tempat-tempat untuk pengajian juga.

Kalau ada masa nanti, kita boleh catch-up di mana-mana