Sunday, February 03, 2008

Sehari di ISTAC

Sebelum 2007 melabuhkan tirai, aku fikir yang aku patut melakukan sesuatu yang bukan berkaitan dengan bidang perubatan. Balik sahaja dari Kuching, Sarawak setelah menghadiri resepsi perkahwinan kakak sulungku, aku masih mempunyai cuti berbaki 2 hari. Aku memutuskan untuk ke ISTAC. Melihat-lihat institusi yang diasaskan oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas itu.
ISTAC masih tersergam indah seperti dahulu. Meskipun sumber-sumber dalaman mengatakan institut ini sudah kehilangan taring, terutamanya selepas era Reformasi yang menyaksikan 'godfather' Syed Muhammad Naquib, Dato Seri Anwar Ibrahim dilucutkan dari kerajaan.

Aku sempat membeli buku di sana. Antaranya ialah karya-karya Syed Naquib seperti Risalah untuk Kaum Muslimin dan Progolemena to Metaphysic of Islam. Sebenarnya banyak karya-karya yang berkualiti diterbitkan oleh sarjana-sarjana ISTAC. Kebanyakannya ialah thesis-thesis sarjana dan PhD yang diterbitkan untuk tatapan umum. Aku lihat karya Ustaz Nik Roskiman pun turut dijual. Yang lain termasuklah buku 'Path to Virtue: The Ethical Philosophy of al-Raghib Isfahani' oleh Yasien Mohamed, ' Early Muslim Scholarship in Religionswissenschaft: The Works and Contributions of Abu Rayhan Muhammad ibn Ahmad al-Biruni' oleh Kamar Oniah, 'Mulla Sadra's Doctrine of the Primacy of Existence (Asalat al-Wujud)' oleh Megawati Moris dan banyak lagi yang tak mampu disebutkan di sini.

Aku tak mahu memborong kesemuanya kerana aku tahu aku tak mungkin dapat menghabiskan buku-buku tersebut sepanjang tahun housemanship di Malaysia. Hakikatnya, housemanship terlalu sibuk! Jadi, aku cuma merembat 2 buku Syed Naguib dan satu lagi karya monumental Dr Osman Bakar, "Classification of Knowledge in Islam'. Aku memang pernah membaca buku ini di Dublin. Malangnya buku tersebut adalah terjemahan dari bahasa Inggeris ke bahasa Indonesia. Edisi di ISTAC ialah edisi baru yang original dan kandungannya tidak ditokok-tambah atau diedit.

Entah bagaimana ketika aku hendak pulang, aku melalui tingkat yang menempatkan bilik-bilik profesor dan pensyarah ISTAC. Tiba-tiba aku terlihat bilik Dr Osman Bakar dan dia juga berada di situ setelah selesai menyampaikan kuliah.
Aku menunggu sebentar di luar kerana kebetulan dia sedang melayan seorang tetamu. Usai berbicara dengan tetamu tersebut, aku dengan pantas masuk dan berjabat tangan dengan profesor besar ini. Sempat juga aku meminta beliau menandatangi autograf dalam buku beliau yang baru aku beli. Antara soalan pertama yang Prof Osman tanyakan padaku ialah;

" How much did they charge you for the book?"

Aku cuma tersengih. Nampak gayanya beliau tidak suka jika mana-mana pelajar dibebankan dengan harga mahal bagi membeli karya-karya beliau. Kami sempat berbual ringkas. Menurutnya, satu lagi buku beliau edisi baru akan muncul dalam pertengahan bulan Februari ini. Judul bukunya 'Tauhid and Science'. Buku ini bukanlah buku baru. Sudah lama buku tersebut diterbitkan oleh ITS tetapi judulnya berbeza, ' The History and Philosophy of Islamic Science'. Sebenarnya menurut Prof OSman, beliau kurang setuju dengan judul yang dipilih oleh ITS untuk bukunya itu. Lantas untuk edisi terbaru, buku ini akan diberikan judul 'Tauhid and Science'.

Bagi yang mengenali Osman Bakar, namanya bukanlah asing dalam dunia akademik. Beliau adalah anak didik Syed Hossein Nasr semasa menuntut di US dahulu. Thesis PhD beliau membicarakan tentang klasifikasi ilmu menurut 3 figure utama dalam gelanggang falsafah Islam. Masing-masing mewakili mazhab-mazhab tersendiri. Antaranya al-Farabi, failasuf-saintis pendiri mazhab Mashsha'i atau Peripatetik, Al-Ghazali jagoan kebanggaan mazhab aqidah Asha'ariyya dan seorang Sufi, serta Qutb al-Din Syirazi pendokong mazhab Isyraqi.

Awas! Buku beliau ini bukan mudah untuk dihadam! Silap-silap haribulan, pembaca yang tiada asas boleh sahaja mengalami 'intellectual diarrhoea'.

Apapun, aku sangat-sangat mencadangkan kepada semua pecinta ilmu Islam supaya membaca karya-karya Prof Osman Bakar. Iqra!

1 comment:

Anonymous said...

what have you learned about islamic medicince and prophetic medicine in Dublin?

have you heard about the training of doctors in the famous Taiwan Buddhist University ..founded by the woman buddhist nun ...?

why there are NOT any CHARITABLE Muslim non-profit hospitals in Malaysia?

or charitable Muslim organisations like the Sikhs and Buddhists who come to Hospitals with food and counselling the patients?

should you not continue the traditions of the great Muslim Hospitals that even give clothing and moeny to patients when they leave ....?

or to treat patients regardless of their colour, income, status and to regard their ailments as a measure for their treatment ....

so go back and learn the real healing medicine as taught by the great ancients including the Muslim physicians ...