Tuesday, August 03, 2004

Napoleon Bonaparte dan Piramid Giza

Semasa berkunjung ke Piramid Giza minggu lepas, seorang sahabat aku bertanya kepada seorang Arab badawi yang membawa unta di kawasan Ahram, " Why the nose of the Sphinx was damaged?Who did that?"
Sphinx atau dalam bahasa Arabnya Abu al-Hol adalah binaan yang menggambarkan salah satu Tuhan atau dewa bagi masyarakat Mesir purba.Binaan ini berupa manusia yang bertubuhkan singa, terletak di bawah Piramid Khafre, salah satu daripada Piramid Giza (2 lagi ialah Piramid Khufu dan Piramid Menkaure).

Jawab Arab Badawi tersebut dengan yakin, " Ohh.......it was bombarded by the French .Napoleon......You know Napoleon??"

Ramai di antara kita yang tidak mengetahui bahawa Mesir merupakan medan pertembungan budaya Timur dan Barat sejak kurun ke-16 lagi. Perancis pada waktu tersebut bersaing dengan British untuk menjadi kuasa besar dunia. British dalam usahanya memodenkan angkatan tentera memerlukan kekuatan ekonomi yang ampuh dan sumber kewangan yang kukuh. Jalan utama untuk mencapai perkara ini ialah dengan memperhebat aktiviti dagangan antara British dan benua kecil India. India dianggap sebagai 'lembu gemuk' oleh British untuk diperas sumber aslinya habis-habisan.Hasil dagangan dengan India merupakan faktor yang paling penting dalam menjamin kelangsungan Empayar British. Pada waktu tersebut, jalan perdangan antara British dan India adalah melalui Mesir. Ini secara tidak langsung menjadikan Mesir sebagai sebuah negara yang penting bagi British.
Napoleon Bonaparte, yang ketika itu masih belum menjadi maharaja Perancis diarahkan untuk mengepalai angkatan tentera Perancis bagi menawan Mesir dengan objektif untuk menamatkan hagemoni British di India. Pada Julai 1798, Napoleon dan tenteranya mendarat di Iskandariah, bandar pelabuhan yang terletak di utara Mesir. Napoleon bukan sekadar jeneral-pemerintah tentera yang bijak, dia juga seorang strategis yang terbilang. Di dalam angkatan tenteranya yang menyerang Mesir, beliau turut membawa 167 pakar dalam bidang-bidang yang tidak berkaitan dengan ketenteraan. Batalion tenteranya mempunyai pegawai-pegawai yang pakar dalam kesenian, sejarah, agama,bahasa, senibina dan sebagainya. Penaklukan yang mahu dibuat ke atas Mesir bukan sekadar penjajahan fizikal. Napoleon turut mahukan pemikiran dan perasaan rakyat Mesir ditawan bersama.
Pertempuran antara tentera Perancis dan tentera Mamalik Mesir yang taat kepada khalifah Turki Uthmaniah meletus dengan berlatarbelakangkan Piramid Giza yang aku lawati ini. Tentera musket Perancis berhadapan dengan ribuan tentera Mamalik yang berkuda dan bersenjatakan pedang, tombak dan sebagainya. Turut serta dalam perang yang dianggap sebagai jihad oleh tentera Mamalik ini, ialah golongan Bey yang merupakan golongan bangsawan kerajaan Mamalik. Tentera Mamalik dikepalai oleh pemerintah Mamalik ketika itu yang bergelar Murad Bey.Nyata sekali dari sudut persenjataan, tentera Perancis jauh lebih bergaya dan moden. Dengan memandang ke arah tentera berkuda Mamalik, Napoleon berpidato di bawah naungan Piramid Giza,
" Soldiers, forty centuries of history look down upon you from this Pyramids!!!"

Keputusan Battle of Pyramids ini terlampau mudah untuk diduga. Dalam masa 45 minit, lebih 1000 tentera Mamalik terbunuh termasuk puluhan golongan Bey manakala pada pihak Perancis hanya 20 pegawai mereka sahaja terkorban.
Kemasukan tentera Perancis ke Mesir merupakan simbol imperialisme Barat yang terawal dalam zaman moden terhadap dunia Islam. Seperti yang telah disebutkan, Napoleon bukan calang-calang jeneral. Dia memahami psikologi penduduk tempatan dan berusaha untuk memenangi hati mereka. Antara perkara pertama yang dibuat oleh Napoleon ialah memanggil pemuka-pemuka Mesir yang berpengaruh untuk duduk semeja dan sama-sama berusaha mengeluarkan idea untuk memakmurkan Mesir. Perubahan-perubahan yang mahu diimplementasi oleh Napoleon termasuk pembaharuan dalam aspek undang-undang, pentadbiran,kewangan dan sosial Mesir. Napoleon menziarahi masjid-masjid dan mengundang tokoh-tokoh agama dan politik Mesir untuk menyertai satu badan yang dipanggil Diwanul Qahirah. Sebagai institusi tertua di Mesir, Al Azhar dirasakan oleh Napoleon sebagai cukup berpengaruh di mata rakyat Mesir.Antara yang dijemput untuk menyertai Diwanul Qahirah adalah Sheikh Al Azhar ketika itu, Sheikh 'Abdullah As Syarqawy. Napoleon mengharapkan Diwanul Qahirah akan menjadi platform bagi berinteraksi dan memahami aspirasi marhaen Mesir. Bagi mengabui mata rakyat Mesir, Napoleon mengemukan manifesto yang menjelaskan bahawa kedatangan Perancis bukan untuk menjajah (alasan biasa penjajah, lihat sahaja Amerika Syarikat di Iraq). Sebaliknya, Perancis hanya mahukan kebebasan mutlak Mesir daripada Turki Uthmaniah.
Antara usul yang terkandung dalam manifesto Perancis terhadap rakyat Mesir ialah :

1) Mesir dibebaskan daripada 'cengkaman' Turki Uthmaniah
2) Kerajaan baru yang bertanggungjawab yang ke atas negara Mesir akan terdiri daripada rakyat tempatan Mesir sendiri, bukan dari kalangan orang luar
3) 'Ulama'-'ulama' Mesir dan pemuka-pemuka agama akan dihormati dan tradisi keagamaan orang Mesir akan turut dimuliakan
4)Perancis akan memperbaiki keadaan ekonomi dan sosial Mesir, lebih baik daripada Turki Uthmaniah


Sekali imbas, manifesto ini seolah-olah menggambarkan Perancis sebagai pembebas, bukan penjajah.Namun, bagi 'ulama'-'ulama' Mesir terutamanya 'ulama Al Azhar, mereka menyedari apa yang terkandung pada manifesto tersebut hanyalah janji-janji muluk penjajah yang cuba mengalihkan pandangan masyarakat daripada isu yang sebenar.Perancis tetap penjajah walau bagaimana sekalipun alasan yang cuba diberikan untuk melembutkan hati rakyat Mesir. Dalam konteks ini, 'ulama Al Azhar tidak begitu mudah tertipu dengan janji-janji manis Perancis. Tidak ada apa yang dibawa oleh penjajah melainkan kehinaan pada anak watan yang dijajah. Menyedari bahawa terlalu sukar untuk 'menjinakkan' 'ulama Al Azhar, Napoleon cuba menonjolkan dirinya sebagai pemimpin yang ikhlas dalam 'membantu' rakyat Mesir. Dalam pada itu, dikatakan Napoleon mengambil kesempatan mengkaji tentang Islam dan segala aspek tentang agama ini. Pegawai-pegawai Napoleon yang terdiri daripada pakar bahasa, artis, sejarawan dan sebagainya menjalankan proses pengumpulan maklumat tentang Mesir dan Islam.Kitab-kitab fiqh Islami diterjemahkan untuk tatapan Napoleon dan fakta-fakta tentang keadaan Mesir dibukukan.Waktu inilah, monumen-monumen terkenal Mesir seperti Piramid, Sphinx dilukis dan diberikan gambaran dan ulasan oleh pakar-pakar senibina Perancis yang dibawa oleh Napoleon.Maklumat-maklumat ini kemudiannya dibukukan dan diberi judul 'Description de I'Egypte'. Karya ' Description de I'Egypte' yang setebal 24 jilid ini menjadi sumber inspirasi dan kekaguman kepada masyarakat Eropah berkurun selepas itu.
Napoleon turut dikatakan sangat tertarik dengan agama Islam. Entah beliau benar-benar mengagumi agama ini ataupun beliau cuba berpura-pura bagi menonjolkan dirinya sebagai pemerintah yang prihatin terhadap rakyat Mesir aku pun tidak pasti. Sepanjang tempoh Napoleon berada di Mesir, beliau dikatakan pernah menyertai dan merayakan perayaan-perayaan keagamaan di Mesir. Misalnya perayaan Mawlidur Rasul pada Ogos 1798 yang dihadiri oleh sebahagian besar Sheikh-Sheikh sufi di Kaherah. Napoleon bukan sahaja membenarkan perayaan Mawlidur Rasul berlangsung, malah turut mengarahkan tenteranya menyiapkan tempat dan menyalurkan wang untuk perayaan ini. Ahli-ahli sufi di Kaherah menyambut perayaan Mawlidur Rasul dalam keadaan sangat meriah selama 3 hari 3 malam. Mereka menari-nari (mengikut amalan tareeqat mereka) di jalan-jalan raya Kaherah sambil disaksikan oleh Napoleon sendiri. Tentera Perancis membakar bunga api dan menganjurkan jamuan bersempena perayaan tersebut dengan dihadiri oleh sheikh-sheikh sufi Kaherah.
Napoleon sebenarnya tidak melalui jalan mudah dalam menjinakkan hati rakyat Mesir.Rakyat Mesir yang ketika itu begitu kuat dengan pegangan agama Islam menerima kejutan budaya dengan kehadiran tentera-tentera Perancis.Tentera penjajah ini dengan selamba memaparkan budaya mereka yang bertentangan dengan prinsip syariat Islam.Arak diminum terang-terangan termasuk ketika bulan Ramadan, wanita-wanita Perancis pula tidak senonoh memakai pakaian yang tidak menutup aurat.Suara-suara yang menyeru kebangkitan umat Islam Mesir untuk menghalau penjajah Perancis ini akhirnya mulai kedengaran. Seruan ini tidak lain dimulakan oleh 'ulama-'ulama Al Azhar sendiri.Antaranya Sheikh Muhammad Syinwani iaitu Sheikh Al Azhar yang menggantikan Sheikh 'Abdullah As Syarqawi. Melalui khutbah-khutbah yang disampaikan oleh khatib di Masjid Jami' Al Azhar, rakyat Mesir diseru supaya bangun melawan pihak kuffar yang kotor dan cuba mencemari agama mereka.Akhirnya terjadi pemberontakan dalam bandar Kaherah di mana salah seorang pegawai kanan Napoleon telah dibunuh. Tentera Perancis bertindak balas dengan membedil kawasan sekitar Masjid Jami' Al Azhar dan menghantar tentera berkuda untuk masuk menyerbu golongan 'pemberontak' yang bersembunyi di dalam masjid. Hati umat Islam semakin terbakar dengan sikap biadap Perancis yang mengotori masjid mulia tersebut dengan menaiki kuda sedangkan orang Islam tidak pernah memakai kasut pun di dalamnya.Sehingga sekarang dikatakan kita masih boleh melihat kesan-kesan bedilan meriam Perancis di salah satu dinding Masjid Jami' Al Azhar (aku telah cuba mencarinya, tetapi tidak ketemu). Lebih 6000 rakyat Mesir terkorban dalam perseteruan baru antara Perancis dan anak watan Mesir ini.
Peristiwa pemberontakan di Kaherah diburukkan lagi dengan berita terbaru yang diterima oleh Napoleon. Tentera Turki Uthmaniah dikhabarkan berhimpun dan berkubu di bandar Jaffa , Palestin (sekarang di bawah jajahan Israel), menunggu masa untuk merebut kembali Mesir dari tangan Perancis. Napoleon sedar khalifah Uthmaniah ketika itu tidak akan melepaskan Mesir sebegitu mudah.Secara pantas, Napoleon memulakan mobilisasi tentera untuk menyerang bandar tersebut. Semasa mengepung kota Jaffa, utusan Perancis dihantar untuk berunding dengan pegawai turus tentera musuh. Walau bagaimana pun, dikatakan utusan tersebut telah dipancung oleh orang Islam di Jaffa. Tidak pasti apakah yang sebenarnya yang telah berlaku.Namun, peristiwa ini benar-benar menaikkan kemarahan Napoleon. Sebagai tindak balas, Perancis tidak lagi mempunyai belas kasihan terhadap musuh mereka. Sejarah menyaksikan kekejaman tentera Perancis yang membunuh kanak-kanak, orang-orang tua dan dewasa dalam proses menundukkan tentera Uthmaniah. Mengikut dokumen-dokumen Perancis sendiri, gadis-gadis dan anak-anak perempuan Islam diperkosa semasa mereka masih diikat pada ibu bapa mereka yang telah mati.Perang di Jaffa dicatat antara perang 'terkotor' yang pernah berlaku semasa pemerintahan Napoleon.
Setelah mengusai Jaffa, Napoleon mulai 'tamak' dan bercita-cita untuk merebut tanah Palestin pula. Cubaan Napoleon bagaimanapun tidak berjaya kerana tentera Perancis gagal menembusi kubu umat Islam di kota Palestin. Pada waktu itu, British turut bergabung membantu umat Islam. Pada saat yang sama, tentera Perancis tiba-tiba dilanda wabak penyakit yang ganjil(dikatakan penyakit Scrofula, sejenis penyakit seperti TB). Puluhan askar Perancis mati di Jaffa setiap hari akibat wabak ini. Perancis betul-betul dilemahkan oleh bencana ini dan akhirnya mereka berundur balik ke Mesir.
Pemerintahan Perancis ternyata menerima tekanan dari pelbagai sudut. Turki terutamanya masih cuba untuk menghalau Perancis dan mereka disokong oleh anak watan Mesir sendiri. British pula tidak akan membiarkan Perancis bersenang-lenang menghalang laluan dagang mereka ke India. Akhirnya, British di bawah pimpianan Admiral Nelson menyerang dan membakar hampir kesemua kapal-kapal Perancis di Iskandariah. Kini, Perancis seolah-olah terpenjara di bumi Mesir. Napoleon kini sedar yang beliau tidak mampu untuk bertahan lagi di Mesir. Untuk menyelamatkan reputasinya sebagai 'Penakluk' Mesir, Napoleon secara senyap-senyap melarikan diri balik ke Perancis. Askar-askar Perancis dibiarkan di bawah kuasa orang kanannya, Genaral Kleber. Di Perancis, Napoleon menerima sambutan besar-besaran sebagai 'Penakluk' Mesir tanpa orang Perancis mengetahui yang dia sebenarnya melarikan diri daripada berhadapan dengan Turki, Mesir dan British!!
Pemerintahan Perancis hanya bertahan 3 tahun 3 bulan sahaja sebelum direbut kembali oleh Turki Uthmaniah. Walaupun singkat, penjajahan Perancis memberi kesan yang nyata terhadap struktur sosial dan politik Mesir. Menurut Sheikh bahasa Arab aku, banyak undang-undang sivil Mesir diambil daripada undang-undang Perancis (seperti di negara kita daripada British public law). Ini termasuk undang-undang kekeluargaan dan sebagainya. Kemasukan singkat Perancis turut memperkenalkan budaya Barat yang selama ini begitu asing pada orang Islam di Timur Tengah.
Sekarang jika ditinjau kembali, rakyat Mesir yang jahil masih ada yang menganggap Perancis sebagai kuasa besar yang maju. Mereka yang fasih berbahasa Perancis dan memakai fesyen daripada negara ini akan dianggap 'moden'. Mentaliti 'golongan terjajah' masih ada di kalangan rakyat negara ini.
Dari perspektif yang berbeza, kedatangan Perancis turut membuktikan keutuhan institusi bernama Al Azhar ini. Sejak seribu tahun lalu, Al Azhar tidak pernah goyah dengan kedatangan mana-mana kuasa besar yang berkeinginan menjajah bumi Mesir. Peranan yang dimainkan oleh Al Azhar begitu besar kesannya terhadap umat Islam baik di Mesir ataupun di negara lain. Al Azhar dianggap sebagai 'mimbar' umat Islam. Pandangan, fatwa dan idea yang berkaitan dengan Islam dianggap tidak sempurna sebelum dirujuk kepada 'ulama-'ulama Al Azhar. Produk Al Azhar iaitu Sheikh-Sheikhnya dalam pelbagai cabang ilmu agama bertebaran di serata pelusuk negara Islam di atas muka bumi termasuk di Makkah, Madinah, Syria, Jordan dan Malaysia sendiri. Pendidikan percuma yang diberikan oleh Universiti Al Azhar merupakan faktor penting dalam pembasmian kejahilan di kalangan umat Islam. Dengan bilangan pelajar seramai 90 000 setiap tahun, universiti ini masih gagah dan dihormati meskipun dengan kemudahan-kemudahan yang sederhana (jauh beza dengan UKM, UM atau UIA). Alangkah baiknya konsep pendidikan percuma Al Azhar dilaksanakan di negara kita. Mungkin dengan cara inilah, setiap anak Islam mempunyai ruang untuk belajar tanpa dibebani hutang atau pinjaman pelajaran seperti kita sekarang!!

No comments: