Tuesday, August 03, 2004

Syeikhul Islam Zakaria Ansari dan Muhammad bin Idris As Syafi'i

Jika dinilai kitab-kitab fiqh Islami, dari permulaan zaman keilmuan Islam hingga sekarang, kita tidak boleh lari daripada membicarakan bab berkaitan taharah (kesucian). Bacalah kitab-kitab fiqh klasik dari 'Umdat Salik karya Ibnu Naqib al Misri hinggalah kitab-kitab fiqh kontemporari umpama Fiqh Islami wa Adillatuhu karya Dr Wahbah Zuhayli, kita pasti menemukan bab taharah ini pada permulaan kitab-kitab mereka.Ini bagaikan bukti yang jelas bahawa Islam adalah agama yang tiada kompromi dari sudut kebersihan.Islam adalah kebersihan, Islam adalah kesucian, Islam adalah kehormatan dan cahaya.
Bangsa Arab, terutamanya di Mesir ini setelah berkurun melalui kehidupan di bawah istihlal (imperialisme) kuasa asing yang keji dan kotor jiwa mereka, telah mulai kehilangan ruh Islami yang bersih dan suci.Pengalaman ke Maqam Imam Syafi'i betul-betul mengecewakan dan menzahirkan mentaliti bangsa Arab Mesir yang nyata sekali jauh dari budaya yang dilentur oleh Baginda Rasulullah SAW.
Setelah balik dari bersiaran di kawasan Ahram, tempat terletaknya Piramid Giza di luar kota Kaherah, aku mengambil keputusan untuk singgah ke maqam seorang tokoh yang selama ini tidak putus manfaat darinya kepada umat Islam seluruh dunia.Tokoh yang kumaksudkan tak lain daripada imam mazhab kita (umat Melayu) iaitu Al Imam Al Kabir Muhammad ibn Idris Abdullah As Syafi'i Al Hijazi Al Quraishi Al Mutallibi.
Imam Syafi'i adalah salah satu daripada ulama empat mazhab yang terkenal itu.Imam Nawawi menyebut dalam salah satu daripada kitabnya, Majmu' Syarah Muhazzab tentang 3 keistimewaan Imam Syafi'i berbanding dengan ketiga-tiga imam mazhab yang lain.Pertama, dia dilahirkan di Gaza, bumi Palestin yang merupakan tempat suci umat Islam.Kedua, dia mendapat asuhan dan didikan daripada ulama'-ulama' terbaik zamannya di Madinah(juga kota suci Islam), tidak lain daripada Imam Malik bin Anas Asbahi sendiri, iaitu pendiri mazhab Maliki.Ketiga, Imam Syafi'i berketurunan Bani Quraish yang menjadikan beliau mempunyai nasab yang bersambung pada Baginda Rasulullah SAW pada moyang Baginda, Abd Manaf.
Setelah berumur 2 tahun, Imam Syafi'i berhijrah ke kampung halaman ibu bapanya di Makkah.Di sanalah dia mempelajari adab (sastera) Arab dan segala liku-likunya.Kemudian dia mulai bersungguh dalam mempelajari ilmu fiqh dengan cara mempelajari 'ulum hadith dahulu.Pada umur 7 tahun, dia menghafaz keseluruhan Al-Qur'an manakala kitab Muawatta' Imam Malik turut dihafal pada umur 10 tahun.Genap berusia 13 tahun, beliau sudah diizinkan untuk berfatwa bagi pihak gurunya di Makkah!!(umur 13, juz 'amma pun tidak kuhafal!!!)
Syafi'i memiliki ketinggian ilmu dan kecerdasan yang luar biasa.Daya hafazannya cukup mengagumkan.Menurut Al-Nawawi dalam Tahdhib al-Asma' wa al-Lughat (1:44), biografi terbaik Imam Syafi'i dikarang oleh Imam Baihaqi.Ulama'-ulama' yang mencatatkan sejarah hidup Imam Syafi'i pasti tidak lari daripada memperkatakan kehebatan daya ingatannya.Jika dibentangkan nota-nota setebal gunung sekalipun, manusia bergelar Syafi'i ini pasti dapat menghafaznya!!! Abu 'Ubaid al Qassim Ibn Salam pernah berkata,"....kalau ilmu umat ini dihimpunkan, pastinya dia(Syafi'i) dapat menampungnya!!!" Tidak hairan ketika beliau ke Madinah, Imam Malik bin Anas sendiri tidak mampu menahan kehairanan terhadap Imam Syafi'i.Malah Imam Malik menyatakan,"... aku tidak pernah melihat seorang Quraish yang lebih cerdas daripada pemuda ini"
Kekuatan Imam Syafi'i terletak pada kecerdasan juga keelokan bahasa Arabnya, merangkumi sastera, balaghah, syair dan sebagainya.Mungkin tidak ramai yang mengetahui Imam Syafi'i seorang sasterawan yang fasih dan berkualiti kalamnya.Dia menghabiskan masa 10 tahun untuk memperkemaskan aspek bahasanya dengan tinggal bersama satu kabilah Arab (aku tak ingat namanya) yang terkenal dengan bahasa Arab yang fushah.
Sumbangan Imam Syafi'i yang terbesar adalah dalam bidang usul fiqh.Beliaulah orang pertama yang memulakan ilmu ini, kemudian diikuti oleh ulama'-ulama mazhab Hanafi yang lain.Kitab Risalah yang dikarangnya sehingga sekarang tidak pernah gagal memberikan manfaat bagi pelajar-pelajar fiqh dan usul fiqh.Begitu juga dengan ilmu hadith yang diambilnya dari Imam Malik di Madinah.Setelah meneguk ilmu di Madinah, Imam Syafi'i berhijrah ke Baghdad lantas berguru dengan pemuka-pemuka mazhab Abu Hanifah.Di antara gurunya yang terkenal adalah Imam Muhammad Ibn Hassan Syaibani, ulama' mazhab Hanafi yang ketiga paling utama.(Yang pertama ialah Imam Abu Hanifah sendiri, kedua Imam Abu Yusuf sahabat Abu Hanifah).Daripada Hassan Syaibani, As Syafi'i memperoleh lebih banyak ilmu fiqh ahli Iraq.Kesempatan ini digunakan oleh Imam Syafi'i untuk mengembangkan lagi pendapat-pendapatnya menggunakan methodologi ahli Iraq melalui diskusi dan argumentasi dengan ulama' Iraq.Bekalan dari Iraq ini dibawa ke Mesir setelah Imam Syafi'i menerima jemputan untuk mengajar di sana oleh sahabatnya Abdullah Hakam.
Di masjid ini, aku menziarahi maqam Imam Syafi'i yang terletak berhampiran maqam Abdullah Hakam.Di sisi maqam Syafi'i terletak maqam seorang raja yang tidak aku ketahui namanya.Tetapi menurut penjaga maqam ini, raja tersebut adalah bapa saudara kepada Salahuddin al Ayyubi yang merupakan raja Syria ketika itu.
Menurut pemerhatianku, masjid ini begitu dhaif dan terbiar.Alangkah malangnya maqam tokoh sehebat Imam Syafi'i ini dibiarkan dalam keadaan tidak terurus dan kotor.Tandasnya rosak dan berbau.Kawasan solatnya pula penuh debu dan tidak dikemaskan.Di pintu masuk maqam, ada sahaja peminta sedekah yang memohon habuan daripada para pelawat tanpa rasa malu kepada Allah SWT dan empunya maqam ini.Walau bagaimanapun, ada juga pihak yang cuba menjaga kawasan ini dengan baik meskipun tanpa peruntukan daripada kerajaan Mesir.Kerajaan Mesir hanya sibuk berbelanja untuk menjaga tempat-tempat pelancongan tertentu seperti Kuil Fir'aun dan Piramid, tetapi tidak ambil pusing tentang keadaan maqam tokoh besar ini.Kalaulah Imam Syafi'i mati di Malaysia, sudah pasti umat Melayu tidak akan membiarkan maqamnya tidak terurus seperti ini!!!
Tambahan pula, di kawasqan ini juga dikebumikan seorang lagi ilmuan Islam yang agung(tetapi ramai yang tidak mengenalinya).Beliau yang dimaksudkan adalah Syeikhul Islam Zakaria Ansari.Zakaria Ansari ialah tokoh besar dalam mazhab Syafi'i. Beliau hidup pada zaman Sultan Qaitbey, salah seorang sultan kerajaan Mamalik yang terkenal.Pada waktu ini, Zakaria Ansari diangkat menjadi Qadi Quddah (Kadi Besar) Mesir.Beliau mengarang ratusan kitab daripada kitab fiqh hinggalah bahasa dan tafsir Qur'an.Menurut guru bahasa Arab aku di Mesir ini, guruku itu membuat tesis Masters di Al Azhar dalam bidang Lughah berkaitan dengan kitab-kitab sastera yang dikarang oleh Sheikh Zakaria Ansari.Tersenyum lebar guruku apabila aku menceritakan pengalaman aku menziarahi maqam Zakaria Ansari dan Imam Syafi'i. ".....kabiihun wa dhaaifun jiddan yaa Sheikh!!!( buruk dan dhaif sungguh ya Sheikh!!)" kataku mengambarkan kondisi teruk maqam berkenaan.Bagaimanapun, dia bangga kerana orang asing seperti aku pun tahu menilai ulama'-ulama' seperti mereka berdua.Tidak seperti orang Arab Mesir sendiri yang tidak bangga dengan kehadiran tempat-tempat sebegini di bumi mereka.
Selesai kelas bahasa Arab aku pada hari ini, guruku menarikku ke pejabatnya.Lalu ditunjukkan pada aku sebuah kitab tua berjudul Kasyifur Rahman. "Inilah salah satu kitab Zakaria Ansari yang saya kaji ketika program Masters dahulu......." katanya dalam bahasa Arab.
"Mudah-mudahan, satu hari nanti anda akan dapat membacanya dan mengambil manfaat daripadanya..........." Insya Allah, ya Rahman ya Rahim!!!!

No comments: